Wednesday, February 23, 2011

KHABAR DARI MERLIMAU

Untung jadi calon di Merlimau

Khabar dari Melaka

BERDASARKAN faktor sejarah, Pas tidak pernah berjaya menembusi benteng ampuh Barisan Nasional (BN) di Melaka sejak selepas merdeka termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Merlimau pada 6 Mac ini, tidak dinafikan BN mempunyai kelebihan untuk menang selesa sekali gus meneruskan kesinambungan kejayaan terbaru yang dicapai BN dalam PRK DUN Tenang di Johor, baru-baru ini.

Ditambah kejayaan yang dicapai oleh BN pada PRK DUN Bagan Pinang, Parlimen Hulu Selangor, DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi, ia menunjukkan kecenderungan rakyat sudah kembali yakin terhadap parti pemerintah berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Salah satu faktor utama mendorong kejayaan BN ialah suntikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan Gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang berjaya membuka minda rakyat di semua PRK yang dimenangi BN.

Ini menunjukkan tahap populariti BN dalam kalangan rakyat semakin meningkat selepas pelbagai program transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri dapat diterima oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ia juga adalah perkembangan yang menggalakkan bagi BN selaku parti pemerintah selain melihat pemulihan sokongan masyarakat Melayu, Cina dan India yang semakin meningkat di setiap PRK yang diadakan sebelum ini.

Tidak hairanlah DUN Merlimau disifatkan sebagai kawasan putih buat BN dan ini merupakan PRK kali ke-15 diadakan. Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dari parti UMNO pada 20 Januari lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 26 Februari ini dan tarikh 6 Mac bagi hari pembuangan undi.

Pada PRU 2008, Allahyarham Mohamad Hidhir berjaya mengekalkan kerusinya apabila menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon Pas, Jasme Tompang.

Berdasarkan daftar undi sehingga 20 Januari 2011, jumlah pengundi di DUN Merlimau ialah 10,679 orang iaitu Melayu sebanyak 64.1 peratus, Cina (20.84 peratus), India (14.67 peratus) dan lain-lain bangsa (0.39 peratus).

Berdasarkan rekod, DUN Merlimau merupakan kubu kuat BN yang diwakili UMNO kerana setakat ini dalam mana-mana PRU, ia belum pernah terlepas ke tangan pihak pembangkang.

Lebih menarik kejayaan yang dicapai oleh semua calon dari BN menunjukkan peningkatan mendadak dari segi majoriti kemenangan mengatasi apa yang diperoleh pada 2008. Ekoran momentum tersebut, PRK di DUN Merlimau juga dijangka memihak kepada BN dan tidak mustahil kemenangan kali ini bakal mencatat majoriti yang lebih besar berbanding dengan PRU 2008.

Begitupun, kepimpinan tertinggi BN tidak menetapkan jumlah majoriti besar bakal dicapai di Merlimau. Kunjungan dua pemimpin utama negara iaitu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Februari lalu dan disusuli lawatan kerja sehari Perdana Menteri pada Sabtu lalu memberi suntikan semangat, bukan sahaja kepada rakyat di Merlimau tetapi lebih penting menyemarakkan jentera BN.

Jentera BN yang bergerak sejak 25 Januari lalu diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sudah menampakkan tanda-tanda awal sokongan besar bakal berpihak kepada BN.

Diperkuatkan dengan gerak kerja yang diatur oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menggunakan strategi lawatan dari rumah ke rumah di semua tujuh kawasan peti undi DUN Merlimau, selain langkah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menginap di rumah orang kampung mengukuhkan lagi kekuatan BN di Merlimau.

Didorong oleh suasana aman dan damai dalam kalangan tujuh atau lapan calon yang dikemukakan oleh BN Melaka kepada pucuk pimpinan parti, tiada sebarang masalah yang timbul jika ada di antaranya tidak terpilih bertanding mewakili BN pada penamaan calon, Sabtu ini. Muhyiddin akan mengumumkan nama calon DUN Merlimau pada hari ini di Bilik Gerakan BN di pekan Merlimau, sehari selepas beliau mengumumkan nama calon bagi DUN Kerdau.

Suasana ketika ini dilihat lebih memihak kepada BN berdasarkan gerak kerja jentera yang diketuai oleh Mohd. Ali yang merupakan Pengarah Pilihan Raya DUN Merlimau. Tidak dinafikan kekuatan BN di Merlimau disuntik oleh Mohd. Ali. Ini kerana sejak 25 Januari lalu, beliau saban masa sejak pagi hingga lewat malam dan hampir setiap hari berada di Merlimau. Kehadirannya di Merlimau bukan sahaja memantau jentera BN, sebaliknya beliau berjumpa dengan pelbagai masyarakat di kawasan terbabit tidak kira guru, nelayan, petani, kakitangan kerajaan, swasta, pekedai dan orang awam.

Pada siang hari, Mohd. Ali akan bertemu masyarakat di tujuh kawasan peti undi iaitu Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak. Pada sebelah malam setiap hari pula, beliau akan mempengerusikan mesyuarat sama ada di peringkat UMNO Bahagian, Cawangan, Puteri, Wanita dan Pemuda termasuk BN negeri serta BN di DUN Merlimau.

Najib pada lawatan kerja sehari di Merlimau Sabtu lalu sewaktu berucap pada majlis Jamuan Rakyat dan sambutan Tahun Baru Cina di padang Politeknik Merlimau turut melahirkan rasa kagum dengan Mohd. Ali yang bergerak dari pagi hingga lewat malam memantau jentera BN. ‘‘Saya tidak tahu waktu bila beliau (Mohd. Ali) tidur kalau sepanjang hari hingga lewat malam masih bermesyuarat di Merlimau,” ujarnya.

Cakap-cakap masyarakat di Merlimau, siapa yang bakal menjadi calon BN, orang itu diibaratkan seperti memasuki rumah baru dengan segala peralatan dan kelengkapan rumah sudah siap dipasang. ‘‘Untung siapa yang menjadi calon BN di Merlimau. Semua masalah rakyat telah diselesaikan oleh Ketua Menteri. Daripada parit tersumbat hingga atap ditukar barupun beliau ambil kisah.

‘‘Calon yang akan diumumkan pada hari ini hanya perlu melawat semua tujuh kawasan peti undi bertemu masyarakat dan memperkenalkan diri kerana semua kerja sudah dibereskan oleh Mohd. Ali dan jenteranya,” katanya. Seperti kata Pengerusi BN Melaka itu sewaktu membuat pertemuan dengan seluruh jentera BN di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau pada 25 Januari lalu, beliau mahu membereskan segala masalah rakyat Merlimau sebelum penamaan calon.

Perkara itu perlu dilaksanakan kerana ia akan memudahkan tugas jentera BN selepas penamaan calon iaitu bertemu rakyat dari rumah ke rumah di semua tujuh kawasan peti undi untuk menambat hati mereka bagi memberi undi kepada BN dan bukannya Pas.

Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia

di Melaka.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]