Monday, February 21, 2011

Melaka Trem dibuka kepada orang ramai Mei 2012

PPUBJ : NIKMAT NEGERI MAJU DAN TERBERSIH.

AYER KEROH 20 Feb. - Pengeluar tren, Mrails International Sdn. Bhd, mengunjurkan projek Melaka Trem bernilai RM272 juta, trem pertama yang menggunakan gas asli (NGV) di dunia, akan dibuka kepada orang ramai, Mei tahun depan.

Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Jeya Kumar berkata, aplikasi dan pelaksanaan "Trem Generasi Akan Datang" mesra alam itu, akan merevolusikan industri lokomotif.

"Kami akan menggunakan teknologi ini untuk mengekalkan budaya dan warisan, tanpa menjejaskan alam sekitar, sebagai mematuhi status Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco," katanya pada taklimat media di sini semalam.

Kumar berkata, trem itu akan menggantikan sistem "pantograph" tradisional agar seiring dengan perkembangan semasa, serta selari dengan Konvensyen Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim, dalam menangani pemanasan global.

"Ini juga menetapi wawasan kami untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan Melaka sebagai pusat destinasi hebat untuk pelancong, dan membuktikan komitmen kami untuk mewujudkan sistem pengangkutan mampan," katanya.

Majlis pecah tanah projek itu dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Melaka Trem dilaksanakan hasil perjanjian antara Ketua Menteri Diperbadankan (CMI) dan Mrails pada Mac tahun lepas.

Menerusi perjanjian itu, syarikat bersetuju untuk mereka bentuk, membina, mengurus dan menyelenggara serta memantau operasi landasan dan "tramcar" selama 25 tahun, selain membiayai kos projek yang bernilai RM272 juta.

Syarikat itu juga dipertanggungjawabkan untuk mengurus kutipan tiket selama 25 tahun, dengan CMI memperoleh 20 peratus daripada hasil kutipan itu, kata Kumar.

Beliau berkata, Koridor Melaka Trem akan dimulakan dari depot bersebelahan Plaza Tol Ayer Keroh ke bandar warisan Melaka, meliputi jarak 40 kilometer, yang meliputi 11 daripada 14 kawasan tarikan pelancong.

"Kami akan bekerja rapat dengan rakan usaha sama kami, CNR Tangshan Railway Vehicles Co Ltd, pengeluar lokomotif China," katanya.

Trem ialah pengangkutan rel yang lebih ringan daripada kereta api dan berbeza daripada bentuk lokomotif lain memandangkan trek dibina di atas jalan raya.

Ia berupaya mengangkut 120 penumpang pada satu-satu masa, dan sesuai untuk golongan kurang upaya kerana reka bentuk paras buminya, selain beroperasi pada kelajuan 40 km/j.

Kumar berkata, Mrails, yang mengunjurkan sekurang-kurangnya 40,000 pengguna sehari, akan memastikan tambangnya rendah iaitu RM2 dan percuma untuk golongan kurang upaya dan pelajar.

Untuk masa depan, syarikat itu merancang mengeksport tren ke bandar lain di Malaysia dan luar negara, seperti India dan Afrika, tahun depan, katanya. - BERNAMA

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]