Saturday, February 12, 2011

PAS BERI LALUAN DI MERLIMAU & KERDAU?


AL-FATIHAH.

ADUN Kerdau, Dato’ Zaharuddin Abu Kassim meninggalkan dunia selepas jatuh kerana serangan sakit jantung di rumahnya. Sewaktu serangan jantung tersebut, isteri beliau dikatakan pulang menziarahi ibunya yang tinggal berdekatan.

Dengan pemergian Allahyarham, negara akan berhadapan dengan pilihanraya kecil ke 16 selepas pilihanraya umum lalu, yang bakal diadakan selepas PRK Merlimau awal Mac nanti.

Sehingga blog ini ditulis, Perlis adalah merupakan satu-satunya negeri yang belum berpeluang mengadakan pilihanraya kecil.

Bagai diatur, tiga pilihanraya kecil yang terakhir ini diadakan di kawasan yang boleh disifatkan sebagai kubu Barisan Nasional. Setelah calon-calon Pakatan Rakyat tewas di Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi, PAS diamanahkan untuk memikul tanggungjawab di Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Di Tenang, PAS tewas. Saya tidak mahu meramalkan keputusan di Merlimau dan Kerdau. Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615, manakala pada tahun 2004, BN menewaskan PAS dengan majoriti 2,565 undi. Kerdau mempunyai 13 daerah mengundi dengan 8,452 pemilih (2008) di mana 89% adalah Melayu, Cina 6%, India 4% dan selebihnya adalah lain-lain kaum.

Membaca komentar di Twitter dan Facebook, saya dapati cukup ramai yang menulis betapa negara mengadakan terlalu banyak pilihanraya kecil sejak 2008.

Atas semangat itulah, maka saya ingin menyarankan agar kedua-dua kerusi Merlimau dan Kerdau ini diisi oleh parti penyandang secara tanpa pertandingan. Untuk itu, PAS bolehlah memberikan laluan kepada BN di kedua-dua tempat tersebut.

Cadangan ini dibuat bukan kerana saya mengatakan PAS tidak boleh menang. Dalam mana-mana pilihanraya, semua parti politik ada peluang untuk menang. Adalah menjadi kesilapan besar untuk BN merasakan ia boleh menang mudah di Merlimau dan Kerdau. Sebelum ini, saya membuat ingatan yang sama di Tenang.

Saya faham cadangan ini akan mengundang rasa kurang senang di kalangan sesetengah penyokong PAS. Namun saya fikir cadangan ini adalah juga hasrat ramai rakyat yang ingin melihat pemimpin politik yang dipilih memberikan tumpuan kepada pengurusan kerajaan; bukannya menghabiskan sumber dalam pilihanraya kecil yang entah bila akan tamat.

Sementara PAS atau mana-mana parti ada hak untuk meletakkan calon, namun saya fikir hanya pemimpin politik yang berjiwa besar sahajalah yang mampu menimbangkan cadangan ini secara objektif.

Saya faham ramai pemimpin politik politik – termasuklah dari PAS yang bercita-cita besar untuk menjadi wakil rakyat – dan tidak mahu dilihat menyerah kalah kepada BN sebelum berjuang. Saya juga faham ada penyokong Pakatan Rakyat yang bimbang diperlekehkan seperti sesetengah mereka yang memperlekehkan BN dalam pilihanraya kecil Penanti dulu. Kebimbangan itu ada asasnya.

Bagaimanapun, satu perkara yang kita perlu ingat: PAS pernah tidak mengambil bahagian dan memberikan laluan kepada BN dalam pilihanraya kecil Batu Talam, Pahang beberapa tahun dulu. Malah, BN juga pernah tidak meletakkan calon dalam pilihanraya kecil di Penanti yang membolehkan Dr Mansor Othman menang mudah dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Maksudnya, ia bukanlah sesuatu yang anih. Ia boleh dilakukan, kalau mahu.

Oh ya, sekiranya PAS masih bertegas untuk bertanding di Merlimau dan Kerdau, maka saya katakan:

SILAKAN!

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]