Saturday, February 12, 2011

PRK Merlimau: Utamakan Calon Berwibawa


A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

DENGAN kemenangan besar dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang, Johor 30 Januari lalu, Barisan Nasional, khasnya Umno, wajib mula memberi tumpuan kepada pemilihan calon yang bermutu.

Peluang melakukan tugas ini lebih cerah dan mudah di negeri-negeri di mana Umno kuat seperti Johor dan Melaka.

Jadi, pemilihan calon yang berwibawa, bersih, disenangi serta sihat tubuh dan akal wajib menjadi matlamat utama dalam pilihan raya kecil Merlimau.

Media atas talian melaporkan tujuh orang pembesar tempatan Umno, termasuk bekas Ahli Parlimen Jasin, Mohd Said Yusof, telah disenaraikan untuk pertimbangan BN pusat.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dijangka mengumumkan calon BN pada 24 Februari, dua hari sebelum penamaan calon. Pengundian adalah pada 6 Mac.

Nama-nama lain yang disenaraikan adalah Ketua Wanita Zaleha Bujang, Ketua Pemuda Zaidi Atan, Ketua Puteri Siti Faezah Aziz dan ahli jawatankuasa bahagian Nasser Selamat, Nasir Bazir dan Roslan Ahmad.

Mungkin BN/Umno tidak perlu berjudi dengan Mohd Said yang tercemar imejnya akibat pendedahan media pada tahun 2006 di mana dia didakwa meminta layanan istimewa daripada Kastam dan Eksais Melaka berkaitan kargo balak dari Indonesia yang diimport oleh syarikatnya.

Lagipun dia tidak dipilih bertanding semula dalam pilihan raya umum 2008. Tapi dengan rekod BN dan kerajaan yang suka mengitar semula pembesar-pembesar yang dipertikai wataknya, adalah tidak mustahil Mohd Said dikitarkan semula.

Eloklah BN/Umno memikirkan orang baru yang lebih muda, berpelajaran, berwibawa dan tidak tercemar oleh masalah peribadi dan kerjaya. Populariti saja tidak cukup kerana seorang yang popular tidak semestinya berkualiti.

Kalau BN dan Umno serius mengenai kelangsungannya, ia hendaklah menempatkan dirinya sebagai parti masa depan yang bersih, mesra generasi muda dan komited.

Satu lagi, seperti diuar-uar dan dijanjikan, calon BN itu nanti biarlah orang yang diketahui sihat atau setidak-tidaknya pun tidak menderita penyakit yang mengancam nyawa (life threatening).

Merlimau adakah kerusi selamat BN/Umno. Dalam PRU 2008, Allahyarham Mohamad Hidhir Abu Hasan yang meninggal pada usia 54 tahun menang dengan majoriti 2,154 undi atau 27.5 peratus undi popular.

Dia menewaskancalon Pas, Mejar (b) Jasme Tompang. Mohamad Hidhir memperoleh 4,981 undi atau 63.8 peratus undi sah manakala Jasme mendapat 2,827 atau 36.2 peratus.

Hal yang sama wajib diberi perhatian oleh Pas setelah pemilihan calon PRK Tenang dikatakan menjadi masalah kepada parti itu. Pas masih boleh memberi tentangan yang bermakna kepada BN.

Dikotomi politik Melaka sebenarnya adalah antara Umno dan DAP, di mana pengundi Melayu umumnya memihak kepada Umno (BN) manakala undi Cina dan India memihak kepada DAP.

Dalam PRU 2008, BN menang 23 daripada 28 kerusi DUN Melaka. Baki dimenangi oleh DAP.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]