KUALA LUMPUR 13 Feb. - Pas akan mengumumkan nama calon yang mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau, pada 24 Februari ini. Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengumuman itu akan dibuat sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Tapak Pasar Merlimau. "Antara kriteria yang menjadi pilihan Pas ialah orang tempatan, diterima ramai dan sedia berkhidmat untuk rakyat. Lelaki atau perempuan tidak menjadi masalah," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pas Pusat, di sini hari ini. Tuan Ibrahim yakin bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau, peratusan kejayaan bagi Pas berkemungkinan lebih tinggi berdasarkan penduduk di kawasan itu yang lebih bermaklumat. "Selain itu, hampir semua peti undi di sana seimbang daripada segi peratusan kaum, termasuk juga peti undi pos," katanya sambil menambah DUN Merlimau boleh disifatkan sebagai medan terbuka bagi setiap parti yang bertanding. Beliau tidak menolak kemungkinan kemenangan di DUN itu agak sukar, namun berkata, setiap jentera Pas akan berjuang habis-habisan, sekurang-kurangnya untuk menambah jumlah undi kepada calonnya. "Setakat ini, jawatankuasa Pas setiap negeri telah memutuskan untuk menghantar sekurang-kurangnya 100 orang, ini tidak termasuk daripada Pemuda dan Muslimat Pas ke Merlimau untuk membantu berkempen," kata beliau. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Februari dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 6 Mac. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54, daripada Barisan Nasional pada 20 Januari lepas. - BERNAMA |
Monday, February 14, 2011
Pas umum calon Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau 24 Februari
Label:
PRK MERLIMAU.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment