Monday, February 14, 2011

PAS suara keyakinan tanding kerusi DUN Merlimau



2011/02/14
KUALA LUMPUR: PAS yakin mempunyai peluang merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil pada 6 Mac ini selepas mendakwa BN tidak mempunyai kubu kuat di kawasan itu.

Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata semua tujuh peti undi di Merlimau tidak mempunyai pengundi khusus sama ada mempunyai ramai pengundi Melayu, Cina atau India yang boleh menjadi kubu kuat BN.
“Agak menariknya seluruh peti undi di DUN Merlimau mempunyai pengundi campuran, tidak ada pengundi khusus berbanding di DUN Tenang kerana di Tenang ada peti undi dikuasai Melayu, Cina dan Orang Asli.
“Bagaimanapun, di Merlimau, pengundinya bersifat campuran, tidak ada kawasan boleh dibanggakan BN yang menjadi kubu kuat mereka. Tidak mustahil PAS akan berjaya mendapat kerusi pertama di Melaka, ” katanya di ibu pejabat PAS di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau ke-15 pada 26 Februari dan 6 Mac sebagai tarikh mengundi.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54, yang meninggal dunia 20 Januari lalu.

Tuan Ibrahim yang juga pengarah pilihan raya kecil itu berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan calon bertanding pada 24 Februari ini di Merlimau.
“Kita menerima empat calon untuk diteliti dan akan diserahkan kepada Majlis Syura untuk diputuskan. Calon PAS adalah anak tempatan, profesional dan bukan pegawai kerajaan yang meletak jawatan,” katanya.

Empat nama calon itu ialah Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man; Ketua Penerangan PAS Melaka, Kamaruddin Sidek; Yang Dipertua PAS Jasin, Jasme Tompang dan Timbalannya, Yuhaizan Abdullah.

Namun, PAS Melaka dikatakan lebih berminat untuk mencalonkan sama ada Kintan atau Yuhaizan.

Mengulas mengenai kekosongan DUN Kerdau berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, katanya, PAS perlu menunggu pengumuman Speaker DUN Pahang mengenai kekosongan DUN itu dan keputusan SPR berhubung pilihan raya kecil itu.

Katanya, PAS turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Zaharuddin di atas kematian ADUN Kerdau itu akibat penyakit jantung.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]