Monday, February 21, 2011

Peminat Facebook Najib Cecah 560,000.


0Share

PUTRAJAYA, 20 Feb – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bilangan peminat Facebook beliau sudah mencecah 560,000 orang manakala Twitter sebanyak 80,000 orang.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri menjawab semua pertanyaan rakan online apabila mempunyai masa terluang terutamanya ketika dalam perjalanan dari Putrajaya ke Kuala Lumpur dan pada waktu malam.

“Saya terpaksa ikuti komunikasi moden seiring dengan perubahan dunia termasuk rakyat Malaysia yang mengikuti cara hidup baru dengan kaedah komunikasi moden antara satu sama lain. Jadi sebagai pemimpin negara, saya tidak boleh lari daripada komunikasi tanpa sempadan dan bilangannya semakin meningkat setiap hari,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap dalam Jamuan Petang 1Malaysia dan Sesi Dialog Bersama Rakan Internet, kira-kira 600 orang berusia 16 hingga 72 tahun dari seluruh negara, di pekarangan Seri Perdana, di sini hari ini.

Selain menjawab segala pertanyaan rakan internet, beliau juga menggunakan media baru Facebook dan Twitter itu untuk memaklumkan pengumuman antaranya maklumat mengenai penubuhan Dana Belia 1Malaysia yang bernilai RM20 juta, demi kepentingan belia di negara ini.

Perdana Menteri berkata pengumuman berkenaan projek itu akan dibuat mulai bulan depan dengan belia-belia sendiri mencadangkan projeknya.

Bagi mengetahui pandangan, idea dan cita rasa belia, Najib berkata beliau sedia berjumpa dengan rakan Internet ketika mengadakan lawatan di seluruh negara.

“Kita boleh adakan mesyuarat kecil di lapangan terbang apabila saya tiba atau sebelum saya berlepas, mesyuarat di dewan majlis daerah. Apa yang penting ialah saya akan aturkan lebih banyak pertemuan dan sesi perjumpaan dengan rakan Internet dalam masa terdekat nanti,” kata Najib.

Katanya ribuan rakyat Malaysia juga sudah menandatangani program “Mari Berjumpa, Mari Berhubung” program terbaru yang digariskan Perdana Menteri dan akan diperluaskan di seluruh negara dalam masa terdekat.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]