Sudah bersediakah BN? Oleh DR. SIVAMURUGAN PANDIAN SEJAK Konvensyen Barisan Nasional (BN) pada Disember 2010, Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak secara berterusan bertemu dengan pelbagai lapisan pemimpin. Ekoran itu, ramai pihak menafsirkan bahawa Parlimen akan dibubar dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan tidak lama lagi. Benarkah BN sudah bersedia untuk berhadapan dengan PRU-13? Mampukah BN kembali meraih cemerlang sebelum PRU-12 pada 2008? Benarkah BN akan sekadar berpuas hati dengan keputusan yang hampir sama dengan PRU 2008 atau berpuas hati dengan peningkatan beberapa kerusi sahaja? Selepas Mac 2008, tidak dinafikan BN sudah melalui proses muhasabah dan cuba membina parti berasaskan perubahan persekitaran landskap politik tanah air. Pelbagai pendekatan cuba diketengahkan termasuk memperkenalkan gagasan 1Malaysia yang diikat dengan tiang seri seperti Pelan Transformasi Kerajaan (PTK). Ia didokongi pula dengan Bidang Keberhasilan Utama Baru (NKRA), Pelan Transformasi Ekonomi (PTE), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK-10). Malahan, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak kebelakangan ini menyebelahi BN dan antara faktor penarik adalah Najib dan gagasan besar beliau. Walaupun begitu, adakah ini boleh dijadikan kayu pengukur bahawa BN sudah bersedia berhadapan dengan PRU-13? Ada ura-ura untuk mengadakan PRU dan pilihan raya negeri Sarawak serentak. Barangkali, perlu diingatkan kepada pihak yang berpandangan sedemikian bahawa PRU tidak boleh diadakan serentak semata-mata untuk menyelamatkan keputusan dan kepimpinan di Sarawak, walhal ia boleh diadakan pada masa berlainan dengan menanam keyakinan untuk mempertahankan majoriti dua pertiga, walaupun kemungkinan tidak sama dengan keputusan tahun 2006. Keputusan PRU-13 adalah untuk membolehkan Najib diberi mandat bagi mentadbir urus negara tanpa perlu memikirkan persoalan politik yang terus menghujani negara sejak Mac 2008 terutama manipulasi yang berterusan sehingga melahirkan keadaan tidak menentu. Terdapat beberapa perkara yang perlu dijadikan iktibar dan iltizam sebelum benar-benar bersedia untuk melangkah ke PRU. Pertama, adakah BN sudah melalui proses reformasi, pembaharuan menyeluruh dan bersedia menunjukkan keunikannya supaya pengundi memilih calon BN dan keluar dari krisis keyakinan serta kepercayaan yang terhakis sebelum Mac 2008? Ia harus bermula dengan persiapan dalam parti komponen termasuk mengiktiraf kumpulan keahlian langsung parti BN serta beberapa kumpulan yang dilancar sewaktu Konvensyen 2010. Jika ahli terus BN dipilih sebagai calon, bersediakah parti komponen BN menerima keputusan sedemikian atas kepentingan martabat parti induk? Kedua, adakah persediaan BN kali ini bebas dari kumpulan serpihan dalam parti yang menjadi dalang sehingga melakukan cah keting, sabotaj, boikot dan cantas mencantas. Musuh BN adalah BN sendiri dan bukan barisan pembangkang. BN tidak boleh menyatakan ia sudah bersedia semata-mata kerana pihak pembangkang berhadapan dengan masalah kepincangan kepimpinan parti ataupun PRU perlu diawalkan memandangkan global akan berhadapan dengan kegawatan ekonomi yang lebih buruk. Malahan rentetan peristiwa di Asia Tengah seolah-olah menunjukkan krisis ekonomi global satu kebarangkalian besar terutama dengan penawaran dan permintaan minyak yang mungkin akan melambung selepas ini. Apapun, persediaan BN perlu melangkaui elemen-elemen tersebut. Ketiga, apakah jentera parti sudah mantap berbanding dengan persediaan sebelum ini yang sering berkeyakinan tinggi sebelum PRU tetapi lembap dan kurang berdaya ketika PRU kerana sikap terlalu yakin. Apakah ia sudah padat dengan skil berpolitik alaf baru dengan keupayaan manipulasi politik secara kreatif termasuk media alternatif untuk bersifat ofensif daripada defensif dalam parti komponen agar ia dapat digerak sebagai satu pasukan 1Malaysia BN. Pengerusi BN perlu diberikan informasi tepat mengenai persekitaran komuniti serta anggota parti kerana masa depan BN juga bergantung kepada prestasi komponen BN. Pemimpin akar umbi perlu diberi pengiktirafan terhadap tanggungjawab mereka untuk membawa sokongan ke atas BN. Keempat, adakah manifesto PRU-12 sudah dipenuhi beserta dengan pelaksanaan menyeluruh gagasan doktrin Najib kerana slogan 'pencapaian diutamakan', sudah pasti akan menjadi sebahagian daripada manifesto BN pada PRU-13. Kegagalan melaksanakan apa yang dirungkai dalam manifesto 2004 pada PRU-11 menyebabkan keyakinan pengundi BN merosot pada PRU-12. Kelima, apabila BN nyatakan sudah bersedia, ia juga akan mencerminkan ia sudah berdiri dengan kekuatan sendiri dan bukan kelemahan lawan. Politik adalah 'the arts of possible', banyak kemungkinan yang perlu dihalusi, diteliti dan diperincikan sebelum BN boleh menganggap ia bersedia. BN perlu belajar daripada kesilapan congakan Mac 2008 apabila ada laporan tidak benar bersifat membodek pemimpin diberikan semata-mata untuk menyedapkan hati pemimpin atasan termasuk fakta yang tidak memperlihatkan sentimen di peringkat akar umbi. Banyak nilai seperti maklumat empirikal perlu menyokong laporan yang menyatakan BN sudah mendapat sokongan. Jika ya..., bagaimana dan mengapa sudah berubah untuk membolehkan strategi yang sesuai disusun dalam kerangka pemasaran politik BN. Keenam, persediaan akan menyerlah jika isu nasional dapat diminimumkan serta mempunyai pemikiran sebagaimana pihak pembangkang berfikir untuk menangkis sebarang isu dengan segera dan lincah dalam menangani isu tersebut. Ini memerlukan latihan berterusan melibatkan pemimpin akar umbi yang perlu diberi pengiktirafan sewajarnya secara berterusan. PRU-13 akan bersifat lokal dan pemimpin akar umbi merupakan 'pelengkap' antara parti dan pengundi setempat. Ketujuh, koordinasi dengan badan bukan kerajaan dan organisasi baik di peringkat lokal, negeri mahupun kebangsaan sudah diperbaiki kalaupun tidak diperkukuhkan. Yang penting adalah kestabilan hubungan yang berpanjangan dan bukan bermusim. Kelapan, integrasi dengan pengundi muda yang sebilangannya mempunyai tendensi untuk menilai dan bergantung kepada maklumat yang diperoleh dari media alternatif yang kemudiannya turut digunakan untuk mempengaruhi orang tua mereka. Kesembilan, sokongan penjawat awam yang merudum ketika Mac 2008. Adakah usaha dilakukan untuk mengenal pasti faktor mengapa ia berlaku dan dalam proses menjadi negara berpendapatan tinggi, adakah sudah tiba masanya untuk meminda skala gaji penjawat awam termasuk anggota polis, tentera, guru, pensyarah, kakitangan agensi lain mengikut skala gaji negara berpendapatan tinggi? Kesepuluh, 'winneable candidate' termasuk kedudukan BN di konstitusi yang tewas pada PRU-12. Adakah penyelaras akan dilantik semula sebagai calon atau BN sudah mengenal pasti beberapa calon agar pengundi diberi pilihan dan diminta pandangan sebelum dipilih sebagai calon agar masalah pilihan raya lalu tidak berulang sehingga berlaku penukaran senarai calon pada saat-saat akhir yang boleh menimbulkan masalah dalaman berpanjangan. Kesebelas, formula agihan kerusi termasuk penukaran kerusi sesama parti komponen perlu dirancang dan dibincang, bukan beberapa hari sebelum atau selepas pembubaran Parlimen. Perbincangan menyeluruh dari semasa ke semasa dengan nilai konsistensi dari semua pihak akan menguntungkan BN. Kedua belas, adakah BN sudah bersedia untuk 'menggempur' dengan perang saraf di ruang siber bersandarkan kepada matlamat untuk kekal di Putrajaya? Persoalan faktor 'X' mengapa pengundi perlu mengundi BN perlu diteliti sepenuhnya sebelum tarikh PRU-13 diumum. Ketiga belas, tarikan ke atas pengundi atas pagar yang memerhati, meninjau dan akan membuat keputusan di saat-saat akhir hari pengundian. BN perlu konsisten untuk memenangi kumpulan ini dan pendekatan BN juga perlu disesuaikan dengan kumpulan sasar seperti wanita, belia, orang kelainan upaya dan warga emas. PRU-13 penting untuk mendapatkan semula mandat besar bagi BN dan kesemua 13 indikator di atas boleh dijadikan rujukan ke arah tersebut. BN hanya dapat mengisytiharkan sudah bersedia jika masalah dalaman berjaya diminimumkan, manifesto PRU-12 dan doktrin Najib sudah dipenuhi, isu tempatan sudah diselesaikan, jentera mantap sebagai satu pasukan dan amalan skil berpolitik matang bersesuaian dengan persekitaran politik baru tanah air. Apa yang wajar dilakukan kini adalah mengambil kira pertimbangan dan pandangan Najib sepanjang pertemuan yang diadakan untuk kemenangan BN dan ia banyak bergantung kepada motivasi dan keazaman kepimpinan setempat untuk melakukan apa sahaja tanggungjawab yang belum diselesaikan demi masa depan BN. Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia |
Friday, February 25, 2011
PENA DR SIVA :BN SUDAH BERSEDIA!
Label:
PRU 13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment