Oleh ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my MASIH segar dalam ingatan bagaimana sikap pandang enteng calon terhadap undang-undang pilihan raya menyebabkan mereka kalah sebelum masuk gelanggang. Pada pilihan raya umum (PRU) 2004, empat pencalonan ditolak. Pertama, Barisan Nasional (BN) kehilangan kerusi di DUN Senggarang akibat nama pencadang dan penyokong untuk calon berkenaan tidak ada dalam Bahagian Pilihan Raya. Maruah BN tercalar kerana akhirnya Johor menerima kerusi pertama Pas di negeri itu. Tiga yang lain pula melibatkan kerusi DUN Subang Jaya (DAP), Penawar (Pas) dan Parlimen Pengerang (Pas). Calon DAP dan Pas terbabit gagal menghantar penyata perbelanjaan pilihan raya. Di DUN Subang Jaya, Lee Hwa Beng (BN) menang tanpa bertanding. Pada 1999, beliau mendapat undi sebanyak 15,701 berbanding Ong Ing Siong sebanyak 8,806 undi (tidak sampai dua pertiga majoriti). Sama ada tersilap atau sengaja, DAP telah memberi laluan mudah buat BN pada 2004 di kawasan yang majoriti penduduknya kaum Cina. Pas di DUN Penawar dan Parlimen Pengerang hilang kelayakan bertanding di kedua-dua kawasan sekali gus kerana kesilapan pasukan Fikri Sudari (calon Pas) yang tidak menghantar penyata. Demikianlah senario sesebuah kerusi yang belum lagi panas dan hangat dipertandingkan tetapi secara tiba-tiba begitu mudah dimiliki pencabar dalam persaingan dua penjuru. Seseorang calon mungkin cerdik pemikirannya tetapi implikasinya cukup besar jika calon cuai atau sambil lewa mematuhi peraturan dan undang-undang pilihan raya. "Risiko ini juga tidak mustahil berlaku pada hari penamaan calon di DUN Merlimau dan Kerdau esok (Sabtu) jika parti-parti bertanding tidak berhati-hati," kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar kepada Utusan Malaysia. Wan Ahmad menarik perhatian bagaimana sesiapa sahaja akan mencari kesilapan pencabar mereka selepas borang pencalonan diisi, hatta 'sekecil zarah' sekali pun. "Contohnya cara nombor kad pengenalan itu ditulis, akan ada yang persoalkan mengapa tidak ada sengkang (-) di antara nombor-nombor atau kenapa pula ada sengkang. "Asal jangan tidak (pasti ada yang tidak kena), tidak kira sesiapa pun akan membangkitkannya semasa proses bantahan (selepas pukul 10 pagi). Jadi, semasa mengisi borang antara pukul 9 hingga 10 pagi, berhati-hatilah," katanya. Ditanya apa antara kesilapan remeh yang dilakukan mereka yang mengisi borang pencalonan, beliau lantas mengingati sesuatu. "Pernah ada bakal calon yang terlepas pandang berikutan pada saat-saat akhir, penyokong dan pencadangnya tarik diri. Dia kemudian menggelabah dan 'tangkap muat' penyokong dan pencadang yang lain. "Malangnya, salah seorang daripada yang dipilih itu belum dilepaskan daripada muflis. Akibat daripada itu, lawannya diisytiharkan menang tanpa bertanding," katanya. Selain itu, antara kesilapan mudah dilakukan bakal calon adalah lupa membawa resit bayaran deposit yang telah dijelaskan dan membiarkan kosong pada ruangan pekerjaan. Wan Ahmad memberitahu, SPR seboleh-bolehnya mahu pertandingan berlaku di sesebuah kerusi pilihan raya berkenaan. "Jika pertandingan itu tidak terjadi disebabkan kesilapan teknikal semasa mengisi borang pencalonan, ia seolah-olah tidak menepati semangat demokrasi untuk rakyat memilih wakilnya di bahagian pilihan raya berkenaan," katanya. |
Friday, February 25, 2011
Padah cuai isi borang
Label:
PRK MERLIMAU.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment