Friday, February 25, 2011

Risalah perkauman: Perkasa Melaka buat laporan polis







JASIN 24 Feb. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Melaka hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran satu risalah berbaur perkauman menggunakan lambang pertubuhan itu yang diedarkan di sekitar taman-taman perumahan di Merlimau.

Laporan polis tersebut dibuat oleh Yang Dipertuanya, Abd. Rahim Osman, 50, di Balai Polis Merlimau kira-kira pukul 1 petang ini.

Menurut Abd. Rahim, pihaknya terpaksa membuat laporan polis ekoran tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan risalah yang mengandungi Artikel 153 Perlembagaan Malaysia dan tertera ayat 'Cina khianat negara.'

"Pengedaran ini adalah satu fitnah. Perkasa Melaka tidak pernah mengeluarkan apa-apa risalah yang berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Risalah yang diedarkan di lima taman perumahan di sekitar Merlimau sebenarnya cuba memburuk-burukkan nama Perkasa dan membangkitkan kemarahan orang Cina.

"Perkasa Melaka terpaksa membuat laporan polis kerana risalah yang diedarkan berbaur perkauman dengan menggunakan lambang Perkasa," katanya selepas membuat laporan hari ini.

Menurutnya, ahli Perkasa mengesan risalah tersebut diedarkan di Taman Muhibbah, Taman Merlimau Baru, Taman Debunga, Taman Seri Merlimau dan Taman Deretan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Sehubungan itu, Abd. Rahim mendesak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan risalah berbaur perkauman.

"Polis perlu mengambil langkah pencegahan kerana pengedaran risalah sebenarnya cuba menghuru-harakan perjalanan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac depan," tegasnya.

Beliau tidak menafikan risalah yang diedarkan di sekitar taman-taman perumahan di Merlimau itu dilakukan oleh pihak yang mungkin terlibat dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Di Merlimau, katanya, Perkasa tidak pernah berkempen untuk mana-mana parti politik sebaliknya ceramah yang diadakan di sini dua hari lalu lebih memperkatakan mengenai orang Melayu semata-mata.

Menurutnya, Perkasa, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak pernah menafikan sumbangan penting kaum Cina dalam pembangunan negara.

"Perkasa tidak pernah mengajak ahlinya untuk bersifat perkauman dan cukup jelas risalah ini bertujuan menghasut pengundi Cina supaya membenci Barisan Nasional (BN)," katanya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]