Friday, February 25, 2011

 


ROSLAN AHMAD


JASIN 24 Feb. - Setiap pagi kebiasaannya, Roslan Ahmad, 44, sudah berada di pejabatnya di Perbadanan Melaka Holdings Sdn. Bhd. di Kota Cemerlang, Ayer Keroh.
Namun, mulai hari ini, perwatakan Roslan yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin berubah sekelip mata selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau 6 Mac ini.
Pakaian dulunya kasual kini sudah beralih ke pakaian baju putih tertera lambang Barisan Nasional (BN) dan bersongkok, selain wajahnya yang dulunya agak serius tetapi berubah dengan terukir wajah gembira.
Kira-kira pukul 8 pagi, beliau bersama ibunya, Datin Ramlah Jaafar, 76, serta empat kakaknya menziarahi dan membaca surah Yasin di pusara bapanya, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin di Tanah Perkuburan Islam Merlimau di sini.
Arwah bapanya merupakan bekas Ahli Parlimen Jasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai.
"Menziarahi pusara arwah ayah memang sudah menjadi kebiasaan saya serta ibu dan kakak-kakak yang lain.
"Saya memohon berkat agar saya dapat menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan sebagai wakil rakyat di Merlimau," ujarnya ringkas ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Merlimau di sini hari ini.
Sejurus selepas itu, Roslan berkunjung ke bilik gerakan BN sebelum berkenalan dengan semua warga jentera pilihan raya di situ.
Selepas itu, beliau dibawa oleh jentera NGO berkunjung ke beberapa buah rumah di Kampung Permatang Bukit dan Kampung Solok Telok sambil menyerahkan bantuan kerusi roda kepada warga emas yang tidak dapat berjalan.
Gelagat Roslan nyata nampak kekok pada awalnya apabila bersalaman dengan penduduk sambil memperkenalkan dirinya sebagai calon BN yang bertanding di pilihan raya kecil DUN Merlimau.
"Hidup saya rasa lain daripada yang lain. Rutin hari ini cukup berbeza daripada kebiasaannya. Kali ini saya mula menjelajah dari kampung ke kampung bertemu masyarakat daripada pelbagai kaum.
"Ini tugas baru saya dan agak kekok juga pada awalnya tetapi sudah semakin serasi," katanya

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]