Roslan dipilih berdasar merit Oleh Amirullah Andi Nur, Badrul Hizar Ab Jabar, Nurhasyima Hasim dan Amir Mamat
2011/02/24
MERLIMAU: Pemilihan Pengurus Bahagian Pembangunan Bisnes dan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, Roslan Ahmad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau adalah berdasarkan merit dan bukan kerana faktor beliau anak bekas wakil rakyat di situ.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata anak jati Merlimau itu didapati calon paling berpotensi oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berdasarkan pengalaman dalam pengurusan, selain memiliki perwatakan sesuai dan berkewibawaan.
“Itu (anak bekas Ahli Parlimen Jasin) tidak menjadi faktor. Kita nilai atas dasar merit beliau, biarpun dari segi hubungan ada pertalian sebab itu memang tidak boleh dielakkan. Tapi yang penting, yang dinilai oleh pimpinan adalah beliau sendiri.
“Sebagai calon berpotensi, latar belakang Roslan paling utama. Biarpun kita sedar, ada juga dari sudut positifnya, jika melihat kepada jasa perjuangan bapanya dulu, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin sebagai tokoh politik tempatan di sini.
“Tapi lebih penting, beliau mempunyai pengalaman dalam pengurusan, selain perwatakan dan kewibawaan diambil kira sebagai pertimbangan pertama,” katanya selepas mengumumkan nama Roslan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau di Bilik Gerakan BN, di sini, petang semalam.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pemilihan calon BN itu kerana faktor kedudukannya sebagai anak bekas Ahli Parlimen Jasin (dulu Melaka Utara) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai.
Roslan juga adalah anak saudara bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin (adik Allahyarham Ahmad Ithnin). DUN Merlimau adalah pecahan daripada DUN Sungai Rambai selepas persempadanan semula kawasan itu pada 1994.
Muhyiddin turut menolak andaian pemilihan Roslan juga seolah-olah mewujudkan trend dinasti di kalangan pemimpin politik bahagian kerana sebelum ini pada pilihan raya kecil DUN Tenang, calon BN juga adalah bekas anak wakil rakyat di situ.
“Pemilihan Roslan seperti dinyatakan tadi berdasarkan merit. Kalau bukan begitu, maka kita kena cari siapa-siapa anak ketua bahagian untuk jadi calon selepas ini. Dalam senarai yang dipertimbangkan masing-masing ada kekuatan dan kebetulan Roslan mempunyai ciri itu.
“Kita harap pengundi DUN Merlimau berpuas hati dengan beliau dan akan memberi sokongan untuk menjadi ADUN Saya percaya dengan penampilan beliau, dan dibantu jentera hebat di bawah kepemimpinan ketua menteri, akan memberi kita peluang lebih baik.
“Bukan setakat mempertahankan kerusi ini tapi meraih sejumlah majoriti undi lebih besar,” katanya.
Mengenai usia Roslan, 44 tahun yang kebetulan sama dengan calon BN di Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, Muhyiddin berkata ia berlaku secara kebetulan.
“Ia kebetulan saja. Tapi dari satu sudut, ia adalah calon yang masih muda, tapi sudah mempunyai asas pengalaman. Muda sangat tidak, tua pun tidak, masih bertenaga dan badan sihat. Kita harap ini membolehkan beliau bekerja kuat untuk membantu rakyat nanti,” katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan jentera BN DUN Merlimau tidak mengambil mudah calon PAS yang diletakkan untuk bertanding di situ dan terlalu yakin untuk memenangi kerusi berkenaan.
No comments:
Post a Comment