Monday, February 7, 2011

PM BAWA KAEDAH YANG INKLUSIF BERTEMU ADUN....

Pertemuan dengan Najib satu pendekatan tulen, positif - ADUN BN

MIRI 6 Feb. - Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sarawak melahirkan rasa puas hati dengan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan sebagai sesuatu pendekatan yang tulen serta positif.

ADUN Jepak yang juga Menteri Muda Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Talib Zulpilip berkata, Perdana Menteri bersikap terbuka dalam pertemuan itu dan bersungguh-sungguh ingin mengetahui masalah yang dihadapi oleh semua ADUN BN di negeri ini.

''Saya rasa ini adalah satu pendekatan tulen daripada Perdana Menteri yang ingin mengetahui keadaan sebenar mengenai masalah yang dihadapi oleh ADUN BN negeri dan bukannya menerusi perantaraan atau pihak tertentu.

''Pertemuan ini adalah sesuatu yang baik dan kita dapat meluahkan hasrat rakyat kepada Perdana Menteri sendiri," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan secara empat mata dengan Najib di sebuah hotel di sini hari ini.

Terdahulu Najib meluangkan masa kira-kira tujuh jam melakukan sesi pertemuan dengan 62 ADUN BN Sarawak secara tertutup bermula pada pukul 11.30 pagi ini.

Perdana Menteri bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mendengar laporan dan masalah yang dikemukakan oleh setiap ADUN mengenai kawasan masing-masing dengan setiap seorang diberikan tempoh selama tiga minit.

Sementara itu, ADUN Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi memberitahu, Perdana Menteri memberi perhatian serius terhadap setiap permasalahan yang dibangkitkan oleh semua ADUN BN Sarawak pada hari ini.

''Selepas Perdana Menteri bertanyakan soalan mengenai masalah-masalah pembangunan di kawasan saya, beliau kemudian mendengar dan memberi perhatian kepada setiap apa yang saya nyatakan kepadanya," katanya.

Bagi ADUN Semariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pula , dia mendapat semangat baru untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat selepas bertemu dengan Perdana Menteri hari ini.

''Ini kerana Perdana Menteri memberi nasihat supaya saya perlu lebih berusaha serta rajin berkhidmat kepada rakyat di kawasan saya," katanya.

ADUN Tasik Biru yang juga Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, Datuk Peter Nansian memberitahu, beliau berasa gembira dan lega apabila dapat menyampaikan terus masalah rakyat di kawasannya kepada Najib.

''Perdana Menteri bukan sahaja mendengar masalah yang saya sampaikan bahkan beliau turut memberi nasihat dan perangsang kepada saya untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, ADUN Pelagus, Larry Sng pula menyifatkan pertemuannya dengan Perdana Menteri sebagai peluang untuknya berterus terang mengenai masalah-masalah yang dihadapi di kawasan yang diwakilinya.

''Saya berpuas hati dengan sesi pertemuan bersama Perdana Menteri selepas dapat menyatakan masalah-masalah yang dihadapi di kawasan saya malah tiada apa-apa yang perlu disembunyikan," katanya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]