5,000 jentera Wanita BN turun padangJASIN 16 Feb. – Seramai 5,000 ahli Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara akan turun padang bagi membantu jentera parti menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau. Pengerusinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kesemua mereka akan mula berkampung di Merlimau sehari sebelum hari penamaan calon 26 Februari ini hingga selesai pengundian 6 Mac nanti. Menurutnya, pergerakan itu akan bergerak secara berhemah sepanjang tempoh berkempen untuk memperkukuhkan sokongan rakyat di Merlimau dalam usaha memastikan BN mengekalkan kerusi tersebut yang setakat ini belum pernah terlepas ke tangan pembangkang. “Saya telah beri arahan jentera ini akan bergerak secara berhemah dengan ada nilai-nilai murni, amanah dan mengikut undang-undang. Hanya dengan cara ini saya yakin jentera Wanita BN dapat menyakinkan rakyat untuk memilih BN. “Jentera ini juga akan pergi dari rumah ke rumah berjumpa dengan rakyat untuk memberi penjelasan mengenai agenda utama kerajaan pimpinan BN serta menjawab sebarang tohmahan pembangkang,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Wanita BN dan Gelombang Merah Wanita 1Malaysia di Bilik Gerakan Wanita DUN Merlimau, Taman Merlimau Jaya di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan kira-kira 1,000 ahli sayap Wanita pelbagai parti komponen BN. Menurut Shahrizat, strategi jentera Wanita BN yang akan digerakkan di Merlimau adalah sama seperti yang dilaksanakan sewaktu Pilihan Raya Kecil DUN Tenang baru-baru ini. “Kita ada jentera jalinan rakyat Wanita BN, Skuad Sayang dan Gelombang Merah 1Malaysia yang akan memastikan misi membantu calon BN bukan sahaja menang tetapi memperoleh majoriti yang lebih besar berbanding 2008,” ujarnya. Beliau menambah, berdasarkan kemenangan di DUN Tenang jelas membuktikan rakyat khususnya pengundi wanita sudah kembali yakin dan mahu BN terus memimpin negara. Di Tenang katanya, beliau telah menemui ramai pengundi wanita yang menunjukkan semangat berkobar-kobar menyokong BN kerana mereka yakin parti itu sahaja dapat menentukan keamanan negara dan perpaduan di antara kaum. Justeru katanya, beliau tidak menolak BN mampu menang di Merlimau dengan majoriti yang lebih besar bagi meneruskan kecemerlangan di Galas, Batu Sapi, Hulu Selangor dan Bagan Pinang. |
Thursday, February 17, 2011
SEMANGAT TUN TEJA : 5000 TURUN PADANG
Label:
PRK MERLIMAU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment