Wednesday, February 23, 2011

Syed Ibrahim calon BN DUN Kerdau

TEMERLOH 22 Feb. – Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Sri Ketumbit, Kerdau dekat sini hari ini.
Pengumuman tersebut disambut sorakan kira-kira 5,000 penyokong BN yang hadir di dataran tersebut.
Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau dan para pemimpin parti komponen.
Dalam ucapannya, Muhyiddin yakin Syed Ibrahim mampu memberi kemenangan kepada BN pada pilihan raya tersebut berdasarkan kepada pengalaman dan keyakinan pengundi terhadapnya.
Tegas beliau, pemilihan Syed Ibrahim dibuat selepas melalui proses pemilihan yang ketat apabila disaring berkali-kali oleh pucuk pimpinan parti.
“Saya yakin ini adalah calon terbaik. Memang kita janjikan kepada pengundi bahawa kita akan letak calon terbaik. Calon yang diterima oleh semua.
“Calon ini kita anggap sebagai ‘most winnable candidate’ (calon paling berpotensi menang),” katanya.
Selain mempunyai sifat mesra rakyat, Muhyiddin memberitahu, Syed Ibrahim yang merupakan lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan dan parti.
Sehubungan itu, beliau berharap semua ahli BN dan jentera parti memberi sokongan padu kepada calon tersebut.
“Terimalah dengan ikhlas dengan semangat perpaduan,” katanya.
Dengan pemilihan tersebut, beliau berharap BN dapat mencapai majoriti yang lebih besar berbanding yang diraih pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) iaitu sebanyak 1,615 undi.
Syed Ibrahim ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memilihnya sebagai calon Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau.
Beliau berjanji akan membela nasib rakyat dan berkhidmat dengan penuh dedikasi jika dipilih sebagai wakil rakyat DUN tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada penyokong BN kerana memberi sokongan kepada saya,” katanya.
Syed Ibrahim, 44, atau dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Ustaz Syed Ibra merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Pahang.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]