Thursday, February 17, 2011

YANG BERMUSUH HANYA PEMIMPIN, RAKYAT TIDAK?

Perpecahan boleh selesai jika UMNO, Pas boleh sepakat

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini boleh diselesaikan sekiranya UMNO dan Pas sedia bersepakat dalam isu-isu yang membabitkan Islam serta survival orang Melayu walaupun ideologi perjuangan masing-masing berbeza.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, memang tidak dinafikan kedua-dua parti orang Melayu itu bermusuh dari segi politik, namun ia bukan penghalang kepada UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama kerana asas kedua-duanya adalah sama iaitu Islam serta Melayu.

Justeru, beliau meminta pemimpin UMNO dan Pas menjadikan saranan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya masyarakat Malaysia menghakiskan sikap curiga mencurigai sebagai titik permulaan ke arah itu.

"Yang di-Pertuan Agong telah memberi satu mesej yang cukup jelas kepada kita iaitu baginda mahu umat Islam kembali bersatu padu dan saling mempercayai. Bukan sahaja Seri Paduka malah semua umat Islam mengimpikan hasrat ini benar-benar berlaku.

"Umat Islam di negara ini telah lama berpecah dan punca utamanya adalah pegangan serta ideologi politik yang berbeza. Oleh itu sudah tiba masanya perpaduan ini dikembalikan. Langkah pertama UMNO dan Pas perlu duduk semeja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Seri Paduka bertitah, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu 1Malaysia 1Ummah mampu menjadi jambatan dalam memupuk perpaduan sama ada di kalangan umat Islam mahu pun sesama masyarakat.

Dalam mengorak langkah ke arah itu titah Seri Paduka, setiap rakyat Malaysia harus menghakis sikap curiga mencurigai antara satu sama lain.

Nakhaie dalam pada itu berkata, permusuhan politik yang tidak ada batas selain tidak bersandarkan al-Quran dan sunah hanya akan merugikan umat Islam.

Beliau berkata, itulah yang berlaku antara UMNO dan Pas sehingga usaha menemukan kedua-dua parti demi masa depan Islam serta bangsa Melayu tidak pernah tercapai.

"Pas sebagai contoh lebih rela bekerjasama dengan orang bukan Islam berbanding dengan orang Islam sendiri. Ia ditambah lagi dengan sikap fanatik dalam berpolitik hingga sanggup mengetepikan seruan dan saranan yang terdapat di dalam al-Quran dan sunah.

"Rasulullah menyuruh kita bersatu padu serta mendamaikan saudara kita yang bertelagah. Asasnya sekarang ahli-ahli dan barisan pemimpin UMNO adalah Islam. Mengapa sukar Pas bekerjasama dengan UMNO atas nama Islam?

"Ini adalah perintah Allah dan rasul-Nya. Sebagai hamba dan umat kita wajib mematuhi arahan ini. Jika tidak kita akan dipertanggungjawabkan apabila bertemu dengan Allah di akhirat kelak," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama beliau melahirkan harapan supaya ada di kalangan pemimpin-pemimpin Pas insaf terhadap kesan kepada Islam dan orang Melayu sekiranya masalah perpecahan itu gagal diselesaikan.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid turut menegaskan betapa pentingnya UMNO dan Pas bersepakat dalam isu-isu melibatkan kepentingan umat Islam.

Sambil mengakui kedua-duanya tidak mungkin bergabung dalam satu parti beliau berkata, kedua-dua parti itu tidak harus bermusuh dalam semua perkara kerana ia tidak akan memberi sebarang manfaat kepada umat Islam.

"Sudah menjadi adat dua parti politik bermusuh tetapi ia hendaklah terbatas. Ada sesetengah perkara UMNO dan Pas wajib bersepakat terutama isu berkaitan Islam dan orang Melayu," katanya lagi.

Menjawab satu soalan beliau mahu saranan Yang di-Pertuan Agong diambil serius oleh semua pihak kerana ia melibatkan usaha membina semula perpaduan umat Islam di negara ini.

"Seri Paduka telah menunjukkan komitmen untuk melihat umat Islam lebih bersatu padu dan demi menyahut saranan ini saya amat berharap semua pihak sama ada ulama, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan serta UMNO dan Pas segera mencari titik persamaan agar impian ini terlaksana," ujarnya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]