Sunday, March 20, 2011

Analisis: Isu kempen, pengganti Abdul Taib mula dicanang


Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman
bhnews@bharian.com.my
2011/03/20

ABDUL TAIB  menjawab soalan pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.
ABDUL TAIB menjawab soalan pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.
Ketua Menteri berdepan 'gangguan' pembangkang menjelang peralihan kuasa di Sarawak

TEKA-teki bila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan sudah terjawab. Seperti yang diramalkan sejak seminggu lalu, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan DUN akan dibubarkan esok walaupun ramai menjangka ia hanya akan diumumkan pada persidangan akhbar khas, di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching.
Abdul Talib, sebaliknya mengumumkan secara spontan apabila ditanya wartawan pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching petang semalam selepas lawatan sehari dua pemimpin negara itu ke Sarawak.
Yang belum terjawab ialah bila tarikh penamaan calon dan hari pengundian. Sama ada Abdul Taib akan bertanding atau sebaliknya juga sudah terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan akan bertanding. Namun, ia sebenarnya tidak lagi penting kerana yang masih menjadi teka-teki ialah peralihan kuasa dan siapa pengganti Abdul Taib yang sudah 30 tahun sebagai Ketua Menteri dalam tempoh 48 tahun pembabitannya dalam politik.

Semalam, ketika program Sejiwa Senada di Serian, Abdul Taib buat kali ketiga tahun ini menyuarakan hasratnya untuk berundur selepas di Mukah dan di Betong sebelum ini. Namun, masih ramai, khususnya pembangkang sukar mempercayainya sehingga beliau melakukannya atau sekurang-kurangnya menamakan penggantinya.

“Saya sudah tua dan akan berundur, tetapi saya tidak mahu cita-cita (membangunkan rakyat dan negeri) mati mengikut saya. Saya telah mendidik banyak pemimpin. Saya dan adik saya Jabu (Timbalan Ketua Ketua Menteri, Alfred Jabu)... bila kami pergi nanti siapa yang akan ganti dan teruskan.

“Saya akan mengetuai pilihan raya bagi memastikan kelicinannya dan selepas itu pemimpin yang kita bentuk akan bersatu menjadi kumpulan yang komprehensif dan inklusif untuk semua kaum supaya tiada seorang pun yang ketinggalan. Yang berundur akan sokong yang baru,” katanya di depan kira-kira 10,000 orang yang menghadiri program di Serian itu.
Pada sidang akhbar bersama Najib, beliau sekali lagi mengulangi mengenai peralihan kuasa, termasuk harapannya untuk berbuat demikian dalam tempoh separuh penggal DUN akan datang.

Justeru, kenyataan beliau itu seharusnya mematikan terus spekulasi sama ada beliau akan berundur atau kekal. Mereka dalam BN yang mahukannya berundur serta pembangkang juga sudah boleh menghentikan desakan supaya beliau melepaskan jawatan Ketua Menteri jika itu yang mereka mahukan.

Yang menjadi tanda tanya sekarang ialah siapa penggantinya. Banyak nama sudah disebutkan sejak kali pertama beliau menyuarakan hasrat mahu berundur 18 tahun lalu. Antaranya, Datuk Seri Effendi Nawawi, Tan Sri Adenan Satem, Datuk Amar Abang Johari Openg dan yang terbaru Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Pelbagai spekulasi dan ramalan dibuat. Effendi dan Adenan yang pernah menjadi menteri Pusat dikatakan sengaja dihantar ke Kabinet Persekutuan bagi dilatih menjadi Ketua Menteri. Namun Effendi kemudian dilaporkan bersara daripada politik. Adenan yang kemudian tidak dipilih semula sebagai menteri Pusat dikatakan mahu dilantik sebagai Ketua Menteri menggantikan Abdul Taib, tetapi tidak menjadi realiti.

Kali ini, nama Adenan, Abang Johari dan Awang Tengah muncul kembali. Semua mereka memegang jawatan penting dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Yang paling kanan ialah Abang Johari sebagai Timbalan Presiden II; Awang Tengah, Naib Presiden Kanan I, manakala Adenan pula Ketua Penerangan.

Ramai yang meramalkan, calon Ketua Menteri kelima Sarawak adalah di kalangan mereka bertiga, walaupun ada yang tidak menolak kemungkinan Effendi menjadi pilihan jika beliau bertanding pilihan raya kali ini. Namun, dua nama yang paling disebut-sebut ialah Abang Johari dan Awang Tengah. Pilihan mungkin bukan di tangan Abdul Taib sepenuhnya kerana yang lebih penting ialah kesepaduan dan kesatuan di kalangan anggota BN, iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Selain itu, Kerajaan Pusat, iaitu Najib juga perlu memberikan ‘restu’ supaya proses peralihan kuasa dan pengganti yang bakal dipilih tidak menyebabkan kestabilan dalaman politik Sarawak berkocak seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Sebenarnya, kedudukan politik Abdul Taib dipenuhi pelbagai dugaan dan ancaman. Kali ini, ancaman datangnya dari luar, iaitu gerakan parti pembangkang yang bukan saja mahu menjatuhkannya, malah merampas kuasa politik Sarawak daripadanya.

Tahun 1984 adalah cabaran paling getir bagi Abdul Taib, apabila berlaku pergeseran dalam komponen BN kerana wujud pakatan sulit antara beberapa ‘orang lama’ dalam PBB dengan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bagi menggulingkannya.

Rancangan kumpulan itu ialah meluluskan undi tidak percaya dan membawanya ke perhatian Kerajaan Pusat. Pada masa sama Permas (Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak) ditubuhkan oleh bekas ahli PBB, manakala awal 1987, PBDS keluar daripada BN pada peringkat negeri.

Pada masa sama, Datuk Daniel Tajem dari PBDS mengumumkan sudah tiba masanya kaum Dayak menjadi jeneral dan beliau antara empat anggota Kabinet meletakkan jawatan. Pada Mac 1987, seramai 26 ADUN menghantar teleks kepada Abdul Taib memintanya melepaskan jawatan secara terhormat atau menghadapi usul undi tidak percaya. Kumpulan itu berkumpul di Hotel Ming Court, Kuala Lumpur diketuai bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Yaakub. Peristiwa itu tercatat dalam sejarah politik Abdul Taib sebagai ‘Ming Court Affair’.

Abdul Taib bagaimanapun membubarkan terus DUN dan menghadapi pilihan raya. Nasib menyebelahinya apabila BN menang 28 daripada 48 kerusi walaupun bukan majoriti dua pertiga. Sejak itu, BN kembali pulih dan Abdul Taib terus membina semula BN dan berjaya menyatupadukan pelbagai kaum di Sarawak. Tiada siapa boleh menafikan beliau berjaya menerajui negeri dan membawa perubahan besar kepada pembangunan Sarawak serta rakyatnya.

Kali ini, beliau sekali lagi menghadapi cabaran politik, tetapi dari luar, iaitu pembangkang yang bukan saja mahu beliau melepaskan jawatan, malah untuk mengambil alih pemerintahan Sarawak. Namun, ramai meramalkan tidak sukar bagi BN mengekalkan kedudukannya di Sarawak. Yang penting ialah BN memastikan ia dapat mengekalkan majoriti dua pertiga walaupun ramai yang menjangkakan BN tewas di sekurang-kurangnya 15 daripada 71 kerusi DUN Sarawak.

Parti pembangkang, terutama DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS walaupun dijangka tidak menyengat, mereka masih boleh menggigit BN. Bagi Abdul Taib, ia satu lagi cabaran yang perlu dihadapinya sebelum peralihan kuasa.

Beliau bukan saja perlu memastikan bakal penggantinya diterima oleh semua komponen BN dan pengundi, malah yang lebih penting menetapkan calon yang akan membawa cabaran mengibar bendera BN dan memastikan kemenangan sebelum bersara dengan bangga sebagai pemimpin ulung dalam sejarah politik Sarawak.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]