Wednesday, March 16, 2011

Anwar tegur Nik Aziz haram semua perjudian


Anwar tegur Nik Aziz haram semua perjudian
Oleh Nazura Ngah, Norakmah Mat Youb dan Zanariah Abd Mutalib
bhnews@bharian.com.my
2011/03/15
PAS, PKR, DAP adakan perbincangan Khamis

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung pendiriannya mengharamkan segala perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu walaupun didesak sekutunya DAP supaya menarik balik pengharaman berkenaan.
Anwar berkata, sepatutnya kerajaan Kelantan berbincang bersama dengan pemimpin parti lain sebelum melakukan sebarang perubahan dari segi undang-undang, peraturan atau pelaksanaan undang-undang di negeri itu.
"Saya percaya ini akan memberi gambaran tepat sekali gus mengelakkan salah faham yang boleh mengeruhkan suasana atau disalah tafsir," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pembangkang di Parlimen di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kerajaan Kelantan tetap tidak berganjak dengan keputusan mengharamkan perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu walaupun didesak supaya pengharamannya ditarik semula.

Berikutan pengharaman itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh mendesak kerajaan Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu kerana ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-Undang Kerajaan Persekutuan dan Kelantan.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata beliau menyambut baik kesediaan PAS untuk berbincang bersama PKR dan DAP berhubung pengharaman segala perjudian termasuk loteri kebajikan di Kelantan, selewat-lewatnya Khamis ini.

“Lokasi perbincangan itu masih belum ditetapkan sama ada di Kedah atau Kelantan,” katanya.

Anwar yang juga Penasihat PKR itu berkata, antara yang terbabit dalam perbincangan itu nanti termasuk Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pilihan raya Sarawak, Abdul Hadi, berkata pembahagian kerusi antara parti sudah hampir selesai berdasarkan persetujuan semua pihak.

"Hanya ada sebahagian kecil saja yang belum ditentukan. Bagaimanapun ia dijangka selesai sebaik saja pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak," katanya

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]