Pas tidak yakin kemampuan DAP MELAKA, 25 Feb. - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan meluahkan kehairanan dengan kesungguhan Pas untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka sedangkan suara pembangkang sudah diwakili DAP yang juga rakan sekutu Pas. "Kawan sepermainan Pas ialah DAP jadi gunakanlah DAP hendak suarakan apa sahaja (dalam DUN di Melaka)," katanya kepada pemberita selepas majlis Bicara Penerangan anjuran Biro Penerangan UMNO Terengganu di sini hari ini. Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Pas bersikap sedemikian kerana tidak percaya kepada kemampuan DAP membawa suara pembangkang khususnya berkaitan Islam. Beliau mengulas kenyataan pemimpin Pas yang mahukan kemenangan pada pilihan raya kecil DUN Merlimau bagi menyuarakan isu membabitkan Islam dan orang Melayu semasa sidang DUN Melaka. Isu itu, kata Ahmad, tidak sepatutnya timbul kerana PAS pernah menguar-uarkan untuk mengajar DAP mengenai agama Islam. Beliau juga mencadangkan kepada Pas agar meninggalkan pakatan pembangkang jika sudah tidak mempercayai kemampuan parti sekutu memperjuangkan agenda Islamnya. Melaka mempunyai 28 kerusi DUN yang mana 23 daripadanya dimiliki Barisan Nasional (BN) manakala lima lagi diwakili DAP. Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan yang mewakili BN meninggal dunia pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung dan esok adalah hari penamaan calon, manakala pengundian pula pada 6 Mac ini. Sementara itu, Ahmad berkata, program Juara Rakyat akan diteruskan dengan penambahan aktiviti ceramah yang boleh diadakan mengikut kreativiti Bahagian sama ada dalam bentuk ceramah berkelompok, dialog, forum atau pidato. "Bagaimanapun dilihat pada Januari lepas program Juara Rakyat di peringkat Bahagian kurang dilaksanakan, mungkin tidak sampai berita program Juara Rakyat diteruskan," katanya. Beliau turut memuji usaha Biro Penerangan UMNO Terengganu yang mengumpulkan anggotanya dalam satu seminar bagi menerangkan isu-isu semasa dan hala tuju biro itu. "Ini negeri pertama lakukan seumpamanya, saya juga cadangkan agar negeri-negeri lain contohi Terengganu kumpulkan jentera penerangan serentak," katanya. - BERNAMA |
Wednesday, March 16, 2011
BENARKAH PAS TIDAK YAKIN KEMAMPUAN DAP DI MELAKA?
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment