Wednesday, March 9, 2011

Kempen tujuh hari pada pilihan raya di Sarawak?



PUTRAJAYA 8 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan tempoh kempen pilihan raya negeri Sarawak kurang dari 12 hari seperti dilaksanakan semasa pilihan raya negeri 2006.

Pengerusinya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, tempoh kempen terlalu lama dikhuatiri boleh mengundang amalan politik tidak sihat antaranya provokasi yang ditimbulkan oleh parti tertentu.

Beliau menarik perhatian bagaimana kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau selama lapan hari pun sudah cukup mencetuskan kebimbangan dan kekecohan menerusi kemunculan isu pergolakan politik dari Timur Tengah.

“Semasa kempen pilihan raya kecil Sibu, ramai penduduk tempatan melahirkan rasa terkejut dengan cara pendekatan yang dibawa oleh parti-parti pembangkang dari Semenanjung.

“Di Merlimau dan Kerdau begitu juga apabila sentimen kebangkitan rakyat di Mesir, Tunisia dan Libya dikaitkan dengan suasana negara ini sehingga membangkitkan provokasi dalam kempen.

“SPR sedang mengkaji semua ini. Kita bimbang jika penduduk Sarawak yang dikenali sebagai orang yang sabar hilang kesabaran dengan provokasi ditekankan ke atas mereka, maka ia mungkin mencetuskan kejadian tidak diingini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Pada 2006, DUN Sarawak dibubarkan pada 24 April, dengan penamaan calon ditetapkan pada 9 Mei dan pengundian pada 20 Mei.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh kempen selama 12 hari pada pilihan raya berkenaan.

Namun tindakan agresif dan taktik provokatif pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu menimbulkan kebimbangan parti pembangkang akan menggunakan strategi sama pada pilihan raya negeri akan datang.

Pilihan raya negeri Sarawak dikatakan semakin hampir dengan banyak pihak mengatakan ia kemungkinan diadakan pada 9 April ini.

Malah, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak mengiakan atau menolak spekulasi mengenai tarikh itu yang bertiup kencang di Sarawak.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Fadillah Yusof mahu SPR menetapkan tempoh kempen pilihan raya kepada sekurang-kurangnya tujuh hari bagi memastikan pilihan raya berlangsung dengan aman dan teratur.

Sarawak mempunyai 71 kerusi DUN, 62 daripadanya dikuasai oleh Barisan Nasional.

Pada pilihan raya 20 Mei 2006 itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki 34 kerusi DUN diikuti oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebanyak 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebanyak sembilan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebanyak lapan kerusi.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]