Sunday, March 20, 2011

NASIB SUPP DI TANGAN PENGUNDI CINA....

Pemimpin tak boleh ketepi idea akar umbi untuk pikat semula pengundi Cina

"GEORGE...Please give only winnable candidate" (George..tolong berikan hanya calon yang boleh menang). Itu antara amanat penting Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika merasmikan Konvensyen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Ahad lalu.
Amanat berkenaan ditujukan khas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kepada Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, di depan semua perwakilan berikutan SUPP dilihat satu-satunya parti yang prestasinya agak membimbangkan di Sarawak, apa lagi selepas kalah di lapan daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-9 pada 2006.
Malah pemerhati politik di Sarawak meramalkan SUPP bakal berdepan laluan lebih sukar pada PRN Ke-10 yang dijangka diadakan antara April dan Mei ini, terutama di kawasan Sibu yang menyaksikan DAP semakin kuat berkubu selepas kemenangan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng, pada pilihan raya kecil Sibu tahun lalu.

Pada 2006, SUPP kalah di enam kerusi kepada DAP, manakala masing-masing satu kerusi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP). Kecuali kerusi DUN Engkelili yang menyaksikan penyandang, Dr Johnicol Rayong, yang menang atas tiket SNAP pada 2006, sudah pun menyertai SUPP dan dijangka tidak berdepan masalah mempertahankan kerusi berkenaan, parti itu dijangka menghadapi laluan sukar untuk merampas balik tujuh lagi kerusi – Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Meradong, Bukit Assek dan Kidurong.

Malah SUPP kini dikatakan berdepan ‘bahaya besar’ di tiga lagi kerusi iaitu DUN Pelawan yang hanya menang majoriti 263 undi pada 2006, Dudong (408 undi) dan Repok (576 undi). Rekod 2006 dan pilihan raya sebelumnya turut menyaksikan kawasan majoriti besar SUPP adalah juga kawasan majoriti pengundi Bumiputera.

Keputusan PRN 2006 amat ketara menyaksikan SUPP semakin hilang sokongan kaum Cina dan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Sibu pastinya menambahkan lagi kegusaran SUPP.
Sama ada suka atau tidak, antara faktor yang menyebabkan SUPP ditolak pengundi Cina di bandar kerana mereka sudah muak dengan kedegilan pemimpin parti itu untuk terus mengekalkan pemimpin lama yang kini berusia antara lewat 60-an dan 70-an, berbanding DAP yang banyak mengetengahkan pemimpin muda.

Ditambah dengan kebosanan masyarakat Cina terhadap krisis dalaman parti itu selama ini, bukan saja berlaku antara pemimpin cawangan Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh dan pemimpin di Dudong, Datuk Dr Soon Choon Teck, malah antara SUPP Kuching, Sibu dan Miri yang dikatakan kerap ‘tidak sebulu’.

Benar kekalahan di semua kerusi majoriti pengundi Cina iaitu 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali pun, Insya-Allah tidak akan menggugat kerajaan BN di Sarawak kerana terdapat 71 kerusi DUN kesemuanya. Jika ini berlaku, BN tetap berpeluang menang dua pertiga daripada kerusi DUN.

Namun apa akan jadi kepada kaum Cina yang mewakili 26 peratus daripada 2.5 juta penduduk Sarawak, jika tiada wakil dalam kerajaan baru yang akan dibentuk kelak? Justeru apabila Najib meminta supaya kaum Cina memberikan maklum balas atau respon dan bukan hanya sentiasa meminta-minta, ia amat kena pada tempatnya.

Seperti yang ditekankan Perdana Menteri dalam ucapannya, beliau mahu supaya SUPP bekerja keras memantapkan kembali kedudukan, memenangi semula hati dan sokongan rakyat khususnya kaum Cina dan menjadi rakan kongsi BN yang kuat.

“Ada dua mesej utama saya kepada SUPP, dekati rakyat dan berikan saya calon yang boleh menang. Tolong rasai nadi rakyat dan berjuang untuk kepentingan rakyat. Ada kalanya kita perlu membuat kenyataan, tetapi pastikan ia tidak menyinggung orang lain.

“Kita sudah atasi banyak masalah. Kita sudah tangani masalah tanah sehingga Sarawak kini mempunyai kadar premium tanah paling rendah di Malaysia. Ada banyak yang anda mahu. Anda mahu lebih banyak wang untuk sekolah Cina, lebih banyak peruntukan untuk Industri Kecil dan Sederhana (SME), lebih banyak tanah untuk pertanian.

“Tapi anda tidak boleh terus meminta-minta tanpa memberikan maklum balas. Tolong beritahu masyarakat Cina bahawa mereka perlu memberikan maklum balas dengan menyokong BN yang selama ini turut membantu mereka dan bersama-sama kita berjuang untuk kepentingan semua,” katanya.

Peringatan Najib ini ada logiknya apa lagi beliau mengaitkan dengan yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu pada Mei tahun lalu yang menyaksikan puluhan juta ringgit diberikan bagi memenuhi permintaan sekolah Cina di Sibu, namun ia juga gagal memenangi sokongan kepada BN sehingga calon BN tewas.

Justeru apabila Pengerusi BN itu mahukan supaya SUPP memastikan kaum Cina memberikan respon dengan menyokong BN ia memang amat wajar.

Begitu juga mesej keduanya yang meminta SUPP memberikan calon yang boleh menang. Apa yang berlaku pada 2006 boleh dijadikan iktibar apabila parti itu berkeras mahu menurunkan calon pilihan parti kerana kedudukan mereka dalam parti, bukannya calon yang dipilih rakyat sehingga memberi tamparan hebat kepada parti itu sendiri

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]