BN Perak tuntut ahli parti sentiasa setia Oleh Jalal Ali Abdul Rahim 2011/03/23 Pembelot, sabotaj orang dalam punca utama jatuh ke tangan pembangkang pada 2008 SENARIO politik Perak ketika ini mungkin tidak sehebat di Sarawak, namun bahang lautan gelombang biru – Barisan Nasional (BN) di negeri yang pernah terkenal dalam peta dunia sebagai pengeluar bijih timah ini, semakin terserlah ketika tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir. Semangat itu ketara ketika 2,175 perwakilan daripada pelbagai parti komponen BN di Perak berhimpun dalam Konvensyen BN Perak bertempat di Marina Island, Teluk Muroh, Lumut, Sabtu lalu. Konvensyen itu yang turut melakar sejarah BN Perak kerana kali pertama diadakan di negeri berkenaan, ibarat senjata ampuh BN negeri dalam membuat persediaan terutama memberi peringatan tegas, merencanakan strategi dan tindak balas berkesan dalam memastikan BN terus menjadi juara di hati rakyat, sekali gus menafikan cita-cita pembangkang menawan semula Perak. Misi utama ialah untuk terus mempertahankan kepemimpinan BN di negeri yang pernah jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008, sebelum BN kembali memerintah apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong BN pada Februari 2009. Lantaran itu, ucapan dan perbahasan pada konvensyen itu sarat kepada isu persediaan parti untuk berdepan pembangkang yang sememangnya mempunyai dendam kesumat terhadap BN yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri ketika pembangkang hanya sempat 'menawannya' 11 bulan. Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menggunakan kesempatan itu meluahkan apa yang terbuku di hatinya secara terus kepada pemimpin dan ahli akar umbi. Begitu juga Timbalan Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Presiden MCA merangkap Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) merangkap Pengerusi PPP negeri, Datuk Seri M Kayveas; Timbalan Presiden GERAKAN merangkap Pengerusi GERAKAN negeri, Datuk Chang Ko Youn dan Pengerusi MIC negeri, Datuk S Veerasingam. Tidak cukup dengan itu, perwakilan turut mendengar petua, saranan dan teguran terbuka empat tokoh BN yang dijemput menyampaikan ucapan iaitu bekas Presiden GERAKAN, Tun Dr Lim Keng Yaik; bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang semuanya begitu arif dan ada kaitan rapat dengan perkembangan politik di Perak. Selain ingatan terarah kepada meningkatkan kesiapsiagaan jentera BN dan terus melakukan perubahan, rumusan penting terhasil daripada konvensyen sehari itu adalah meminta ahli parti tidak lupa mengambil iktibar apa yang berlaku kepada BN pada pilihan raya umum lalu termasuk sikap dan tindakan pemimpin serta penyokong BN sendiri yang melakukan sabotaj kepada parti. Zambry mengakui kekalahan BN Perak di tangan pembangkang bukan kerana pihak lawan kuat tetapi berpunca kelemahan dalam BN. Buktinya, kemenangan pembangkang di kerusi tertentu hanya dengan majoriti terlalu kecil. Beliau turut menyatakan rasa kecewanya terhadap sabotaj dilakukan sesetengah ahli parti dalam BN sendiri. “Selepas PRU-12, kita tahu siapa kawan dan siapa lawan. Pada pilihan raya itu, hari ini kita kalah, esok sudah ada yang membawa bendera DAP. Kita juga kecewa apabila rakan yang minum, makan, malah 'makan atas tapak tangan kita pun' rupa-rupanya bersikap begitu (belot). “Patutlah apa yang dibuat UMNO, MCA, GERAKAN, MIC dan PPP, semuanya pembangkang tahu kerana perbuatan orang seperti ini yang main kayu tiga,” katanya. Menteri Besar yang juga ADUN Pangkor turut menuntut semua ahli setia kepada parti dengan menghormati siapa saja yang akan dipilih sebagai calon serta saling menghormati dan membantu antara parti komponen kerana ia resipi kejayaan BN Perak. BN Perak perlu berpegang kepada konsep 4A iaitu 'Adopt' (mengadaptasi dengan suasana), 'Accept' (menerima hakikat kekalahan berpunca kelemahan BN), 'Avoid' (mengelak kelemahan) dan 'Alter' (memperbetulkan perkara yang tidak betul), selain memastikan setiap ahli parti dalam BN bergerak senada bersesuaian konsep 1Malaysia, dalam mendepani cabaran pembangkang. “Saya berharap semangat yang ditunjukkan dalam konvensyen ini dapat memugarkan semangat baru dalam BN di Perak,” katanya sambil mengingatkan BN Perak akan berdepan suasana 'peperangan baru' yang menuntut komponen itu melaksanakan strategi, pendekatan dan 'senjata' baru, selain bijak membaca hasrat, gerakan dan perencanaan pihak lawan jika mahu menang,” katanya. |
Wednesday, March 23, 2011
PEMIMPIN JUGA PATUT KENA PEMUTIHAN , BUANG SAJA YANG BOCOR RAHSIA?
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment