Wakil rakyat perlu kekal sihat, cergas Oleh Liow Tiong Lai 2011/03/23 Mengekalkan rutin hidup sihat penyelesaian masalah sakit kronik HARI mengundi tiba. Seperti anda semua, saya ke pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara dan sistem demokrasi yang kita dokong. Dengan mengundi, saya terbabit dalam proses memilih seorang wakil ke Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, untuk membawa suara, hasrat dan harapan saya bagi sebuah negara yang lebih baik dengan suasana hidup yang aman dan sejahtera. Kita mengundi mereka yang dapat memperjuangkan hak kita serta berkhidmat untuk masyarakat tanpa mengenal penat lelah. Ini bermakna kita mahu mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat, cergas dan kuat bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik biar di bawah apa juga cabaran dan tekanan. Sebagai seorang wakil rakyat, saya lebih daripada sedar beban tanggungjawab ini dan kesannya kepada saya sebagai seorang manusia. Lazimnya, sesuatu hari itu bermula sebaik-baik saja siang berganti malam. Saya bangun pada waktu subuh selepas menikmati tidur selama beberapa jam saja. Sebaik saja membuka mata, saya terus teringat 1,001 macam perkara yang perlu saya lakukan pada hari itu. Jadual bagi satu-satu hari itu biasanya padat dengan mesyuarat, acara dan perjalanan ke sesuatu tempat kerana itulah tugas wakil rakyat – berjumpa dan mendengar – tanpa mengira hujan atau panas. Kerana terpaksa bergerak dengan cepat ke sana sini, kadang kadang tidak sempat makan dan ada kalanya pula terlalu banyak makan. Yang tinggal untuk diri sendiri hanyalah waktu malam. Masa inilah yang dicuri untuk meluangkan sedikit masa dengan keluarga atau menyiapkan kerja saya. Inilah juga masa untuk merenung kembali apa yang telah dibuat dan apa yang hendak dibuat untuk hari esok pula. Jadual ketat ini bersambung dari hari ke hari dan perlahan-lahan tekanan pun mula meningkat dari segenap sudut. Tiada siapa kata kerja ini mudah. Semua wakil rakyat cukup sedar akan hakikat ini. Pun begitu, kami tetap melakukannya kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan untuk rakyat. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana seorang wakil rakyat hendak menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan jika dia tidak menjaga kesihatannya? Dalam masa dua setengah tahun yang lalu, kita telah kehilangan sebilangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sakit dan meninggal dunia. Ada yang diserang sakit jantung dan strok dan ada yang mati akibat penyakit kronik seperti kanser dan kencing manis. Ada juga yang kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya. Hidup mati kita di tangan Tuhan. Serangan penyakit tidak dapat diramal. Tetapi ada cara dan ikhtiar yang boleh diambil bagi mencegahnya. Awal tahun ini, pada masa kita menghadapi pilihan raya kecil ke-14 sejak Pilihan Raya Umum 2008, saya membuat cadangan supaya wakil rakyat menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan bagi memastikan kesihatan mereka berada dalam keadaan baik. Apa yang saya cadangkan itu adalah apa yang saya harap dapat dilakukan oleh semua orang kerana ia elok dijadikan satu amalan hidup kita. Bagaimanapun, bila saya membuat cadangan itu, ada pula yang mengatakan bahawa pemeriksaan tahunan semata-mata tidak boleh mencegah kematian. Ini memang betul. Sesungguhnya, pemeriksaan itu hanyalah langkah pertama ke arah mengecapi kesihatan yang lebih baik. Pemeriksaan yang kerap, sebaik-baiknya setahun sekali, ada beberapa faedah. Pertama, ia membolehkan kita memantau petunjuk penting kesihatan kita seperti berat badan, tekanan darah, tahap kolesterol dan gula dalam darah. Jika ada sesuatu yang tidak kena, doktor akan dapat mengenal pastinya pada peringkat awal lagi. Ini membolehkannya memperakukan langkah yang boleh diambil bagi mencegah komplikasi. Ada kalanya, langkah itu membabitkan perubahan gaya hidup atau dengan mengambil ubat, dan ada kalanya pula, prosedur tertentu perlu dilakukan atau dengan menjalani terapi. Dalam banyak keadaan, langkah awal mengenal pasti masalah kesihatan dapat menyelamatkan nyawa. Satu lagi faedah yang tidak begitu disedari ramai ialah, pemeriksaan kesihatan sebenarnya mendorong kita untuk menjadi bertambah sihat. Bila kita tahu bahawa kita perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan ‘report card’ kesihatan kita, kita akan lebih bersungguh-sungguh kerana sudah tentu kita ingin melihat keputusan yang baik. Untuk mengekalkan satu rutin hidup sihat iaitu makan dengan betul, bersenam dengan kerap dan menghindar diri daripada rokok dan minuman keras, bukanlah mudah. Kebanyakan kita memerlukan sesuatu untuk mendorong kita – dan sesuatu itu ialah pemeriksaan kesihatan yang kerap. Semoga selepas ini, jika ada orang rasa terdorong untuk tambah nasi bagi kali ketiga atau ponteng senaman petang atau terasa hendak nyalakan sebatang rokok, dia akan terdengar suara doktor menegurnya. Saya juga percaya jika wakil rakyat menjalani pemeriksaan tahunan, mereka sudah tentu akan menunjukkan contoh yang baik dari segi kepemimpinan melalui teladan. Mana boleh kita bercakap tentang gaya hidup sihat, membelanjakan wang untuk kempen hidup sihat dan menyuruh orang ramai mengubah tabiat makan, jika kita sendiri tidak mengamalkan apa yang kita cakap? Kita, sebagai wakil rakyat, meminta pengundi memberi kepercayaan kepada kita, maka kita perlu membuktikan yang kita layak diberikan kepercayaan itu dan mampu memikulnya. Bagaimanapun, bukan ahli politik saja yang terdedah kepada risiko komplikasi kesihatan. Dengan masyarakat yang semakin moden dan bergerak pantas, pekerjaan yang membawa tekanan serta gaya hidup tidak sihat, tercetus bersamanya ruang yang cukup tepat bagi kemunculan penyakit kronik seperti serangan jantung, strok, kencing manis dan kanser. Alangkah baiknya jika saya mempunyai penyelesaian ajaib bagi menolong mereka yang berkenaan itu untuk hidup sihat. Jika ada, sudah tentu saya akan memberikan rahsianya kepada semua rakan saya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Sebenarnya, tidak ada jalan mudah. Kita perlu berdisiplin dan berusaha, samalah seperti manusia berusaha untuk mencapai perkara lain dalam hidup mereka. Pemakanan sihat, bersenam dan bergiat cergas dalam aktiviti fizikal, dan menghindarkan diri daripada rokok dan minuman keras - inilah penyelesaiannya. Tidak ada jalan mudah. Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia. Ikuti blognya (www.liowtionglai.com/blog), atau Twitter (@liowtionglai). |
Wednesday, March 23, 2011
WAJARKAH CALON PRU 13 JALANI UJIAN KESIHATAN DAN KECERGASAN?
Label:
PRU 13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment