Analisis: Pembangkang di Sarawak kian terdesak 2011/03/23 PARTI pembangkang di Sarawak semakin terdesak dalam usaha mereka untuk mengejar 'mimpi disiang hari' bersama rakan-rakan yang ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’. Bukan saja usaha parti pembangkang untuk menjalin kerjasama hampir mustahil menjadi kenyataan tidak menjadi akibat tiada persefahaman dan tolak ansur sesama mereka, malah perkembangan terkini menyaksikan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) bagaikan melakukan provokasi terhadap rakan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR). Semalam, Presiden SNAP, Edwin Dundang, yang mengumumkan 11 lagi calonnya, menjadikan jumlah calon SNAP yang sudah diumum setakat ini berjumlah 27 orang, hanya membenarkan PKR bertanding di kerusi majoriti Dayak dengan syarat menggunakan lambang SNAP. Lebih mengejutkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang akan bertanding di kerusi DUN Ba'kelalan turut diminta oleh SNAP bertanding atas tiket parti itu kerana kawasan berkenaan juga majoriti pengundinya Dayak. Ini adalah satu tamparan hebat kepada PKR terutama kepada presidennya kerana ia sama sekali tidak masuk akal, aneh dan provokasi buat PKR yang ingin menjadi ‘ketua’ di kalangan pembangkang di Sarawak. “Di mana maruah PKR jika Pengerusi PKR pun terpaksa bertanding atas tiket SNAP. Saya melihat ia sebagai satu provokasi dan SNAP kini ibarat duri dalam daging dalam pakatan pembangkang. Saya yakin PKR tidak akan menerima syarat aneh SNAP ini,” kata penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Jeniri Amir. Lebih daripada itu, SNAP - parti berusia 50 tahun di Sarawak, turut menuntut supaya PKR mengiktiraf SNAP sebagai parti tempatan paling dominan dan mahu mengetuai kerajaan jika mereka menang. Ini kerana sebelum ini PKR telah mengisytiharkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, bakal menjadi Ketua Menteri jika pembangkang berjaya merampas kerajaan negeri pada pilihan raya negeri kali ini. Belum pun apa-apa, kedua-dua parti pembangkang itu sudah berebut jawatan Ketua Menteri. Ini kerana semalam, Edwin berkata, SNAP lebih dominan berbanding PKR dan lebih layak menerajui kerajaan negeri. Ahad lalu, SNAP yang dikatakan masih mempunyai pengaruh terutama di kawasan luar bandar ‘berpatah arang, berkerat rotan’ dengan PKR yang dianggap terlalu bongkak dan tamak apabila mahu membolot 52 kerusi dalam perundingan pengagihan kerusi sesama pembangkang sehingga mengumumkan tidak akan lagi berunding dengan PKR dalam soal pengagihan kerusi. Pada sidang media semalam, Edwin berkata, berdasarkan pertemuan dan perbincangan pihaknya dengan pemimpin tertinggi PKR kelmarin, SNAP berharap dapat mengetuai kerajaan Sarawak seperti PKR di Selangor, DAP di Pulau Pinang dan PAS di Kelantan. “Adalah jelas kami masih bersama pakatan pembangkang serta tiada isu bagi kami meninggalkan pembangkang, namun apa yang diharapkan adalah PKR mengiktiraf kami sebagai parti pembangkang yang dominan berdasarkan pengalaman kami. “Sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas ini apa yang akan terjadi? Disebabkan itu kita mahu majoriti kerusi diberikan kepada SNAP serta mahu mengetuai kerajaan,” katanya. Bagi Dr Jeniri, tidak mungkin akan wujud kerjasama dan persefahaman tulen antara pembangkang, apa lagi SNAP bertegas untuk mengemukakan ramai calon dengan menamakan 27 nama setakat ini, ketika pembangkang belum memuktamadkan lagi rundingan pengagihan kerusi. “Saya tidak fikir pakatan pembangkang bersedia bertolak ansur dan berkompromi dengan tuntutan SNAP ini, apa lagi SNAP meminta supaya ia diisytiharkan sebagai parti dominan. Ini akan memberi implikasi besar jika pembangkang menang dengan berlaku perebutan jawatan Ketua Menteri. “Malah, saya sudah meneliti senarai calon yang diumumkan SNAP setakat ini, dengan kebanyakan calon adalah muka yang sudah lesu dan tidak meyakinkan pengundi. “Perkembangan terbaru ini akan memberi kesan negatif kepada hasrat dan impian pembangkang untuk memberi impak besar pada pilihan raya kelak,” katanya |
Wednesday, March 23, 2011
PEMBANGKANG DARI SEMENANJUNG PUN SAMA TERSEPIT.
Label:
PRN SARAWAK
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment