Thursday, March 3, 2011

Pengundi tolak calon luar



Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

JASIN 2 Mac – Rata-rata pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau mahukan wakil rakyat mereka seorang calon tempatan yang tulen dan berdaftar sebagai pengundi di kawasan tersebut.

Penduduk Merlimau, Arshad Aman, 63, berkata, wakil rakyat yang dipilih nanti harus datang daripada kalangan penduduk tempatan yang tentu dapat memahami masalah di kawasan tersebut.

“Ketulenan seseorang calon itu boleh diukur dengan melihat di manakah beliau berdaftar sebagai pengundi, kita tahu (calon Barisan Nasional) Roslan Ahmad bakal mengundi di Merlimau Pasir tetapi bagaimana dengan Yuhaizad?

“Jadi, saya minta Yuhaizad tampil menjelaskan di mana beliau akan membuang undi pada pilihan raya kecil Ahad ini atau adakah beliau tidak ‘mampu’ mengundi dirinya sendiri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Yuhaizad berdaftar di DUN Bemban.

Sebaliknya calon BN merupakan pengundi berdaftar di Merlimau dan akan membuang undinya di peti undi Merlimau Pasir.

Suri rumah, Hamidah Abdul Rahman, 50, pula mempersoalkan profil Yuhaizad sebagai seorang usahawan seperti dikemukakan oleh pentadbiran Pas.

Ini kerana, Pas tidak menyatakan dengan jelas dalam borang pencalonan jenis perniagaan yang diceburi Yuhaizad.

“Selain itu melalui laporan yang dikeluarkan, Yuhaizad juga pernah mengatakan beliau seorang ahli politik sepenuh masa, jadi siapa sebenarnya beliau,” katanya.

Bagi pengundi muda, Mohd. Sah Jusman, 36, beliau lebih selesa memilih calon dikenalinya kerana ia memudahkannya untuk mengemukakan sebarang masalah pada masa depan.

“Seperti Roslan, kita tahu beliau memang merupakan anak tempatan yang mempunyai darah politik mengalir dalam dirinya.

“Roslan juga sering ditemui di pekan Merlimau, waima sebelum pengumumannya sebagai calon BN, manakala Yuhaizad pula muncul secara tiba-tiba sebaik sahaja diumumkan sebagai calon Pas,” katanya.

Peniaga kuih, Aishah Md. Filus, 37, pula menyifatkan pemilihan Yuhaizad mewakili Pas sebagai sesuatu yang pelik kerana penduduk Merlimau kurang mengenalinya.

“Melalui perbualan harian saya dengan pelanggan, mereka sering tertanya-tanya siapa sebenarnya Yuhaizad, namun saya tidak ada jawapannya,” katanya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]