Oleh MOHD. RAFIE AZIMI rafie.azimi@utusan.com.my KUALA LUMPUR 8 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan kesempatan bertemu Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pagi ini bagi memberi ingatan agar mereka lebih menumpukan terhadap tanggungjawab merapati dan memberi 'sentuhan' kepada rakyat. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Perdana Menteri dalam pada itu turut mengingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk menjadi benteng menangkis segala tohmahan yang dibangkitkan pembangkang. ''Sebagai contoh, kaitan isu Asia Barat dengan negara ini yang kita semua tahu hanyalah gendang kosong yang dipalu pembangkang. ''Meskipun ia tidak terpakai di sini kerana situasi kita berbeza, namun penjelasan harus diberikan agar tidak ada pihak yang bersifat ekstrem atau keterlaluan termakan dakyah-dakyah mereka," katanya kepada pemberita selepas turut serta dalam pertemuan tersebut. Pertemuan itu berlangsung lebih sejam bermula 8.15 pagi di Dewan Taklimat, Bangunan Parlimen dengan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri Kabinet lain. Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk SK Devamany memberitahu, Perdana Menteri dalam pertemuan itu memberi penekanan terhadap projek yang dapat memberi manfaat kepada rakyat apabila disiapkan kelak. "Beliau meneliti projek-projek yang diminta Ahli Parlimen BN. Perbincangan itu berjalan dengan amat teliti kerana Perdana Menteri mahu memastikan projek yang diminta itu benar-benar bermanfaat kepada rakyat. "Selain itu, pelbagai nasihat turut diberikan seperti sentiasa turun padang, berusaha menjadi relevan kepada rakyat serta mengelak daripada timbul pergeseran sesama sendiri di bahagian masing-masing," ujarnya. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula menyifatkan pertemuan itu sebagai perkara rutin yang dilakukan sebelum bermulanya persidangan Dewan Rakyat. "Ini membolehkan anggota Parlimen BN mendapat taklimat awal mengenai perkara yang akan dibahaskan termasuk soalan yang diajukan dan bilangan rang undang-undang yang akan dibentangkan pada kali ini," katanya. |
Wednesday, March 9, 2011
PM minta terus dampingi rakyat
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment