Friday, March 11, 2011

PRN SARAWAK : Tugas getir SUPP pikat pengundi Cina

Tugas getir SUPP pikat pengundi Cina

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PADA pilihan raya negeri Sarawak 2006, kekalahan lapan calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di kawasan majoriti penduduk Cina mencemaskan Barisan Nasional (BN). Ia satu amaran kepada BN supaya lebih teliti menangani isu yang dimainkan oleh pihak pembangkang.

Ketika itu parti-parti komponen Cina BN mahu satu post mortem disegerakan sebab pengundi Cina tidak memihak kepada parti gabungan BN itu. Alasannya, kerajaan telah merancang dan melaksanakan banyak pembangunan di Sarawak tetapi sokongan tidak diterjemahkan ke atas kertas undi.

Pembangkang ketika itu membuat kejutan besar dalam tempoh 19 tahun apabila berjaya meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua pada pilihan raya negeri 2001. Sembilan kerusi yang dimenangi pembangkang ialah Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili dan Ngemah.

Pada pilihan raya negeri kesembilan itu, BN memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 daripada 71 kerusi untuk kembali memerintah. Ketika awal post mortem, antara alasan yang dibangkitkan oleh parti Cina komponen BN dari Semenanjung ialah kekalahan sembilan kerusi itu mungkin akibat laporan kurang tepat daripada sesetengah media yang memainkan isu pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat.

Dikatakan kerajaan telah mengamalkan keterbukaan dalam bersuara tetapi didakwa pula media membuat laporan kurang tepat. Apabila ada penjelasan, ia tidak diberi liputan sama besar sehingga menimbulkan persepsi negatif. Apakah trend pengundi Cina di Semenanjung yang kuat menyokong pembangkang sudah mula menular ke Sarawak?

Di Semenanjung, sebahagian besar penyokong DAP adalah pengundi Cina yang tinggal di bandar seperti di Ipoh, Melaka dan Pulau Pinang. Di sebalik itu, ramai melihat keciciran sembilan kerusi ini sebagai satu wake-up call dan atau friendly wake-up call. Friendly kerana BN tidak menghadapi kehilangan dua pertiga kerusi. Tidak seperti 1987 yang hanya menang simple majoriti.

Jika diimbas pilihan raya negeri 2006, sokongan daripada masyarakat Melayu Melanau, kukuh 100 peratus. Demikian juga sokongan masyarakat Iban, Bidayuh, Orang Ulu ataupun masyarakat Dayak. Ia juga solid. Yang berubah ketika itu ialah sokongan masyarakat Cina. Daripada 19 kerusi, sebanyak 40 peratus (lapan kerusi) jatuh kepada DAP.

Untuk lebih adil, umum tidak boleh menilai kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud berasaskan undi masyarakat Cina sahaja. Ia perlu melibatkan orang Sarawak keseluruhan. Mengambil pengajaran daripada Amerika Syarikat (AS) misalnya, seorang pemimpin khususnya Presiden tidak boleh memerintah lebih daripada dua penggal berturut-turut. Alasannya mudah - tiada seorang manusia yang akan ada idea yang terbaik sepanjang zaman.

Maknanya, kalau dia ada idea yang baik, dia semestinya telah dapat melaksanakannya dalam tempoh tersebut. Kalau dia tidak mampu melaksanakan maknanya dia tidak ada idea.

Pada 2006, penyusutan sokongan kepada BN lebih ketara daripada masyarakat Cina. Namun ia tidak begitu ketara daripada masyarakat Melayu Melanau dan Dayak. Tetapi jika dilihat dengan lebih mendalam, ada banyak isu lain. Sejauh mana isu-isu itu menyebabkan BN hilang kerusi di kawasan Cina tetapi juga menurun majoriti di kawasan lain.

Jika dalam masyarakat Dayak, isunya ialah pembangunan tanah adat. Kalau dalam masyarakat Melayu Melanau pula adalah tentang ketidaktentuan dari segi peralihan kuasa.

Apa yang nyata, keputusan pilihan raya negeri 2006 suatu petanda menjadikan BN sebuah parti pemerintah yang lebih kuat. Cuma kekalahan BN pada pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei tahun lalu sepatutnya menyuntik daya juang SUPP untuk mengembalikan kekuatan parti itu. Penguasaan parti itu perlu digarap dan dijana keberhasilannya dengan menarik minat dan sokongan daripada semua lapisan masyarakat terutama golongan muda.

Umum di Sarawak maklum DAP mempunyai tekad yang tinggi untuk menakluk kerusi negeri di Miri yang sejak sekian lama menjadi kubu kuat BN. Namun dengan trend dan pola pengundian yang diperlihatkan di Sibu khususnya dalam kalangan pengundi Cina, timbul tanda tanya mampukah SUPP - parti tertua Sarawak itu terus dengan keyakinan bahawa Miri mampu dikuasainya.

Dari segi pecahan undi, pengundi Cina menyumbang sebanyak 66.7 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar di Sibu. Dalam pilihan raya kecil lalu, terdapat peningkatan yang ketara daripada 62 peratus pada pilihan raya umum 2008 kepada 69 peratus menyokong DAP.

Kekalahan di Sibu merupakan tamparan hebat kepada SUPP dan pimpinan Ketua Menteri. Kerana itu, jika faktor masyarakat Melayu Melanau dan Dayak diyakini memberi sokongan kepada BN pada 'April ini', peluang dan harapan kini bersandar kepada SUPP. Hanya padah ditolak pengundi jika parti yang ditubuhkan pada 1959 itu gagal membaiki kelemahannya serta memenuhi aspirasi masyarakat Cina.

Dengan pakatan pembangkang dikatakan meraih simpati sesudah wakil rakyatnya, Dominique Ng (PKR-Padungan) dan Chong Chien Jen (DAP-Kota Sentosa) digantung selama 12 bulan, selain ADUN Ting Tze Fui (DAP- Meradong) menerima nasib sama, SUPP harus pantas mengorak langkah membendung 'kebangkitan' DAP. Ini kerana isu penggantungan itu hanya akan menyemarakkan kemarahan pengundi Cina yang pastinya akan terus menyokong calon DAP.

Realitinya, pilihan raya negeri Sarawak ke-10 yang diuar-uarkan bulan depan bakal menyaksikan persaingan sengit parti-parti bertanding di kawasan bandar.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]