Thursday, March 10, 2011

PUSAT INTERNET DESA : BERMASALAH?

Pusat Internet Desa lesu


Penolong Pengurus Pusat Internet Desa, Zamila Omar Mohammad menampal notis rosak pada komputer di pusat itu di Tanjung Kling, Melaka, semalam.


MELAKA 9 Mac – Lapan tahun lalu Pusat Internet Desa (PID) Tanjung Kling yang diwujudkan kerajaan bertujuan mengurangkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar mendapat sambutan menggalakkan daripada ribuan penduduk di sekitarnya.
Ketika itu, semua golongan seperti warga emas, pendidik, usahawan, belia, pelajar dan suri rumah berlumba-lumba menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang disediakan secara percuma di pusat itu.
Bagaimanapun, kemudahan disediakan itu tidak kekal lama apabila hari ini pusat itu hampir tidak dapat berfungsi gara-gara segala kemudahan itu tidak diselenggara dengan baik.
Jika dahulu PID itu mempunyai enam komputer, kini yang tinggal hanya dua komputer, itu pun dalam keadaan daif dan tidak dapat berfungsi dengan sempurna.
Agak mengejutkan tinjauan Utusan Malaysia di pusat itu hari ini mendapati dua komputer itu terpaksa dikongsi oleh kira-kira 2,442 ahli PID Tanjung Kling sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Keadaan ini menimbulkan kemarahan ahli kerana mereka selalu tidak dapat menggunakan komputer sedangkan mereka memang layak menggunakan kemudahan ini secara percuma.
“Walaupun selalu dikutuk dan dimarahi ahli, kami hanya mampu meminta mereka supaya bersabar,” kata Pengurus PID Tanjung Kling, Nor Arifah Che Wahab.
Menurut Nor Arifah, PID itu mula dilanda masalah sejak tiga tahun lalu apabila kerja-kerja penyelenggaraan enam unit komputer tidak dilakukan dengan sempurna.
Beliau berkata, pada masa itu PID berkenaan yang turut menawarkan kelas komputer mempunyai 60 pelajar iaitu 12 pelajar pada empat sesi pembelajaran sehari selama lima hari.
“Namun, lama kelamaan semakin banyak komputer rosak akibat tidak diselenggara dengan baik sehingga akhirnya hanya satu komputer boleh digunakan pada Januari tahun lalu sehingga November lalu.
“Akibatnya, bukan sahaja pembelajaran pelajar terganggu, malah pekerja di sini puas dimarahi penduduk kerana mereka tidak dapat menggunakan komputer,” jelasnya.
Tambahnya, sehingga hari ini hanya dua komputer meja dapat digunakan di PID tersebut manakala tujuh lagi dibiarkan berlonggok akibat rosak.
Pelajar kelas komputer di pusat itu, Siti Nur Shafiqah As Saad, 18, berkata, dia tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya pada kelas kerana ketiadaan komputer.
“Saya simpati apabila melihat penduduk hampa kerana tidak dapat menggunakan komputer di sini setiap kali saya menggunakannya pada kelas dua kali seminggu, selama dua jam bermula pukul 9 pagi,” katanya.
Bagi Normah Abdul Yasin, 52, dia kecewa kerana tidak dapat menggunakan kemudahan di pusat itu setiap kali berkunjung ke situ.
“Jika masalah ini berlarutan, sia-sia sahaja usaha kerajaan selama ini mahu membuka minda masyarakat luar bandar terhadap dunia Internet.
“Sebagai peniaga makanan, saya ingin menyahut seruan kerajaan supaya memperluaskan perniagaan secara dalam talian tetapi bagaimana saya hendak melakukannya sekiranya kemudahan ini tidak dapat digunakan sebaiknya,” katanya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]