Thursday, March 10, 2011

PR Tidak boleh gabung secara rasmi

Tidak boleh gabung secara rasmi

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 9 Mac - Pakatan pembangkang tidak boleh membentuk satu gabungan rasmi kerana tidak memenuhi syarat tujuh anggota yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pakatan itu yang dikenali sebagai 'pakatan rakyat' ketika ini dianggotai Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, beliau tidak tahu-menahu jika ada tanggapan atau kenyataan sebelum ini menyebut pakatan pembangkang boleh membentuk satu gabungan parti walaupun hanya ada tiga anggota.

Beliau juga menolak dakwaan Pendaftar ROS sebelum ini, Datuk Md. Alias Kalil bahawa pakatan itu boleh mendaftar sebagai sebuah parti gabungan kerana syarat tujuh anggota yang digariskan tidak terpakai bagi parti politik.

"Undang-undang cakap syarat nak wujudkan sebuah pertubuhan ialah perlu ada tujuh anggota.

"Jika ada andaian seperti itu (cukup dengan tiga anggota), dikhuatiri nanti akan timbul kekeliruan dan banyak orang tafsirkan macam-macam ke arah kita (ROS), dalam hal ini biar mahkamah putuskan.

"Bagaimanapun sama ada ROS sudah menerima permohonan rasmi daripada pakatan pembangkang untuk menubuhkan gabungan rasmi, itu saya tidak pasti, kena semak dulu. Tapi syarat yang ditetapkan oleh undang-undang ialah kena ada tujuh anggota, barulah boleh tubuh pertubuhan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau ditanya tentang gesaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 Mac lalu supaya parti-parti dalam pakatan pembangkang mengusahakan dengan serius rancangan mereka untuk membentuk gabungan rasmi seperti Barisan Nasional (BN).

Ini bagi mengelakkan masalah kepada SPR dan polis pada setiap kali pilihan raya kecil kerana Pas, PKR dan DAP tidak dibenarkan untuk menaikkan bendera dan sepanduk bagi tujuan kempen. Ini adalah juga disebabkan tidak berdaftar sebagai satu gabungan di peringkat nasional.

Md. Alias dalam kenyataan ROS sebelum ini menjelaskan, pakatan pembangkang boleh mendaftar sebagai sebuah parti gabungan kerana syarat tujuh anggota yang digariskan tidak terpakai bagi parti politik.

Syarat itu hanya terpakai untuk pertubuhan tidak berstatus kebangsaan yang ingin menjadi pertubuhan kebangsaan sedangkan parti politik sudah berstatus nasional.

Kali terakhir pembangkang membuat kenyataan berhubung gabungan secara rasmi itu ialah pada tahun lepas oleh sekretariat yang ditubuhkan khusus untuk merangka dan meneliti soal penggabungan.

Ketika itu salah seorang anggota sekretariat memaklumkan bahawa pakatan itu sedang meneliti dan dalam tahap akhir merangka draf mengenai penggabungannya sebagai sebuah parti di peringkat nasional.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]