Rugi sia-siakan usia dengan kemaksiatan Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh 2011/03/24 Muslim mesti sentiasa beringat manfaat kehidupan di dunia untuk kesejahteraan di akhirat NIKMAT kehidupan yang dikurniakan Allah kepada setiap hamba-Nya ialah gambaran cinta dan kasih sayang yang tidak terbanding. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan. Terlalu banyak nikmat dilimpahkan kepada isi dunia ini, tinggal lagi kita memanfaatkan setiap satunya dengan harapan untuk mendapat keberkatan dari-Nya. Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup dihadapi, lalu ternyata kemewahan hidup yang Allah kurniakan tidak terkira dengan jari. Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kehidupan penuh kasih sayang tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan. Tentu kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18) Ada kala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat, bahkan ada orang lain yang tidak dapat merasainya. Sebab itu kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah SWT menganugerahkan sebuah kehidupan lengkap. Cuma, ada kemudahan yang Allah sediakan tidak dapat dimanfaatkan akibat sikap manusia yang tidak tahu menghargai nikmat. Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa menyebabkan nikmat dikurniakan tidak memberi apa-apa faedah kepada manusia itu sendiri. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan dan faedah kepada diri sendiri serta orang lain. Malangnya, ada yang menghabiskan kehidupan dari awal hingga saki bakinya dengan judi dan zina. Tidak pula terkilan dengan kezaliman dan kejahatan meragut atau merompak, bahkan ada kehidupan orang lain yang terkesan dengan kejahilan ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk apakah ia gunakan dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Hadis riwayat At-Tirmizi) Buat orang yang berhati-hati menjaga amanah Allah, mereka tidak akan alpa dengan kemewahan dunia kerana sedar semuanya adalah pinjaman saja, sebaliknya berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu. Ia supaya nikmat Allah yang ada padanya dapat dikongsi dengan orang kurang berkemampuan kerana orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya sebagai manusia. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahan, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanya ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentu mereka tidak akan melupakan hari akhirat.” (Surah Al-Ankabut, ayat 64) Diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi: “Daripada Abdul Rahman Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia? Berkata Rasulullah: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi: Siapakah sejahat-jahat manusia? Maka Rasulullah berkata: Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan.” Usia panjang adalah satu nikmat tidak ternilai kerana dengannya kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia ini diambil semula pemiliknya maka kita tiada peluang untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur. Sebab itu jika kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya, maka usia adalah satu peringatan sangat bermakna. Justeru, jika kita mengerti nikmat Allah yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita. Sedangkan bertahun lamanya Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan lebih abadi. Janji-janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadar-Nya, dan kita sepatutnya sedar bahawa kematian adalah pengakhiran. Oleh itu, sedang pintu taubat sentiasa terbuka, jangan kita longlai usaha untuk menjadi insan berguna. Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom |
Thursday, March 24, 2011
RENUNGAN HARI INI
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment