Thursday, March 24, 2011

JANGAN "OVER CONFIDENT"

BN Sarawak yakin kekal majoriti


2011/03/24
Calon muda parti komponen diterajui PBB mampu tarik sokongan pengundi

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak yang ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin mengekalkan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 yang ditetapkan pada 16 April ini dengan penamaan calonnya pada 6 April.

Dengan suntikan ramai muka baru termasuk golongan muda, BN Sarawak yang dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP) yakin mampu membentuk semula kerajaan yang selesa.

Selain itu, trend pengundi yang masih mahukan BN serta pergolakan sesama parti pembangkang dijangka membolehkan BN terus mendapat sokongan pengundi walaupun ada yang menyatakan majoriti undi BN di kawasan tertentu akan merosot, terutama di kawasan yang dimenangi dengan majoriti tipis pada pilihan raya 2006.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Dr Stephen Rundi Utom memberitahu Berita Harian semalam, majoriti muka baru BN kali ini adalah golongan muda berusia 30-an hingga lewat 40-an terdiri daripada kumpulan profesional yang memenuhi ciri-ciri calon boleh menang, seperti dikehendaki Datuk Seri Najib Razak.

“Seperti yang dikatakan Ketua Menteri sendiri, kita akan menampilkan ramai muka baru dan saya yakin mereka diterima pengundi. Namun, di sebalik keyakinan mengulangi kemenangan dua pertiga, kita tidak mahu jentera parti memandang rendah kemampuan lawan apa lagi pembangkang sanggup melakukan apa saja termasuk memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata parti itu akan bermesyuarat hari ini (Khamis) untuk membincangkan persiapan menjelang pilihan raya.

Pagi semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, yang mempengerusikan mesyuarat khas SPR mengumumkan 6 April sebagai tarikh penamaan calon dan 16 April hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10.

Daftar pemilih mengandungi 979,796 pengundi terdiri daripada 961,433 pemilih biasa dan 18,363 pengundi pos yang didaftarkan pada 25 Mac 2011, akan digunakan untuk semua 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

SPR melantik 71 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 165 Penolong Pegawai Pengurus, manakala bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya, SPR menubuhkan 80 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR), diketuai seorang pegawai penguat kuasa bagi setiap pasukan.

Kelmarin, Abdul Aziz menerima notis pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak ditandatangani Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng daripada Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Sementara itu, sumber parti berkata, PBB yang diterajui Abdul Taib dijangka mengulangi kemenangan 100 peratus di semua 35 kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu, tetapi tidak menolak kemungkinan menghadapi tentangan di kawasan tertentu seperti pada pilihan raya lalu.

Begitu juga yakin PRS dan SPDP akan turut menang 100 peratus di masing-masing sembilan dan lapan kerusi yang diperuntukkan kepada mereka. Namun SUPP dijangka berdepan saingan sengit daripada DAP di 15 daripada 19 kerusi majoriti pengundi Cina.

Sebelum DUN dibubarkan Isnin lalu, BN menguasai 63 kerusi, iaitu 35 oleh PBB, SUPP 12 kerusi dan masing-masing lapan bagi PRS dan SPDP. Enam lagi kerusi dikuasai DAP, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]