Tuesday, March 8, 2011

Rombak beberapa portfolio DUN Melaka minggu depan

Rombak beberapa portfolio DUN Melaka minggu depan

MELAKA 7 Mac - Kerajaan negeri akan merombak beberapa portfolio barisan Exco termasuk pelantikan baru bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian yang akan diumumkan minggu depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, rombakan portfolio itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang pengguguran Exco daripada jawatan yang disandang ketika ini.

Menurutnya, pelantikan Exco baru itu adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan yang meninggal dunia 20 Januari lalu.

"Kita hanya mengubah beberapa portfolio Exco yang ada tetapi rombakan ini tidak melibatkan pengguguran mana-mana Exco.

"Pelantikan Exco baru bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri akan tetap dipilih daripada kuota Parlimen Jasin," katanya kepada pemberita di Seri Negeri Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis mengangkat sumpah Roslan Ahmad, 44, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan perasmian persidangan Penggal Keempat DUN ke-12 yang disempurnakan oleh Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Roslan yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau dengan majoriti 3,643 menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah.

Menurut Mohd. Ali, beliau akan mengadakan perbincangan sebelum memutuskan sama ada ADUN dari Rim, Sungai Rambai atau Serkam di bawah Parlimen Jasin akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri yang baru menggantikan tempat arwah Mohamad Hidhir.

Mereka yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan Exco baru itu ialah ADUN Sungai Rambai, Hasan Rahman; ADUN Serkam, Datuk Ghazale Mohamad dan ADUN Rim, Mohd. Yazed Khamis.

"Saya akan pilih salah seorang daripada mereka selewat-lewatnya minggu depan. Saya akan umumkan siapa yang akan dilantik sebagai Exco baru kerajaan negeri," katanya.

Sebelum ini, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri dipangku oleh ADUN Air Molek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md. Yunos Husin.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]