Saturday, March 26, 2011

SETELAH DENGAR PENERANGAN AHLI PARLIMEN KINI PM TURUN MELAWAT KAWASAN PULA....



PM jumpa rakyat dalam kunjungan mesra di Muar


2011/03/26
MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dalam lawatan kerja ke bandar ini, hari ini mengadakan kunjungan mesra bertemu rakyat khususnya peniaga di pusat bandar Muar.

Perdana Menteri dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tiba pada jam 9.35 pagi, untuk beramah mesra dengan rakyat di bandar Maharani.
Turut serta Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam dan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek.
Sejurus tiba di Jalan Meriam dan Jalan Sayang, Perdana Menteri dan rombongan disambut mesra oleh rata-rata peniaga yang tidak putus-putus menghulurkan salam kepada beliau dan isteri.

Najib turut melihat carta proses bagi mengatasi banjir kilat serta menaik taraf sistem perparitan dalam kawasan bandar Muar.

Dalam kunjungan mesra itu, Perdana Menteri turut berkunjung ke gerai perniagaan dan pinggir bandar di Jalan Sisi dan Jalan Abdullah sebelum melawat pondok kawalan polis yang disediakan di situ.

Cuaca panas membuatkan Perdana Menteri dan rombongannya tidak melepaskan peluang untuk menikmati cendol di sebuah gerai berdekatan sebelum beredar ke Pasar Awam Maharani dan Terminal Bas dan Perhentian Teksi Bentayan, untuk berjumpa peniaga di kawasan berkenaan.
Bagi peniaga cendol, Shamsu Bibi Hassan, 55, kunjungan Perdana Menteri dan rombongan ke gerai cendol miliknya adalah sesuatu yang tidak diduga.

"Siapa sangka Perdana Menteri dan isteri sanggup mencuba cendol di sini. Terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri. Saya sangat gembira hari ini," katanya yang berniaga di gerai berkenaan bersama suaminya Abdul Nasir Miras, sejak 30 tahun lalu.

Seorang pekerja kedai cat yang hanya mahu dikenali sebagai Bala, 56, berkata, kunjungan Perdana Menteri di kawasan pusat bandar diharap membawa kebaikan terutamanya bagi menyelesaikan isu perparitan.

"Ini pertama kali saya lihat Datuk Seri Najib dari dekat. Mengenai masalah longkang, memang ada bau busuk, kita harap ianya dapat diatasi," katanya yang bekerja di kedai tersebut sejak lima tahun lalu.

Bagi seorang wanita, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 36, kunjungan Perdana Menteri ke Muar adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk melihat pemimpin nombor satu negara dengan lebih dekat.

Lim yang tinggal di Jalan Haji Jaib di sini berkata, beliau bersama suami yang mahu dikenali sebagai Soo, 40 dan dua anak perempuan mereka Soo Jia Ling, 8 dan Soo Jia Yi, 3, sanggup ke menunggu ketibaan Perdana Menteri sejak jam 8 pagi.

"Kita jarang dapat peluang macam ini. Anak-anak saya pun sangat gembira dapat bersalam dengan Perdana Menteri, isteri dan beberapa orang kenamaan lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]