Monday, March 21, 2011

SPR KATA PRN SARAWAK MUNGKIN LEBIH AWAL


Pilihan raya Sarawak mungkin lebih awal: SPR
Oleh Haspaizi Mohd Zain

2011/03/21
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam membayangkan kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak ke-10 akan diadakan sebelum pertengahan bulan depan, iaitu lebih awal daripada tarikh yang diramal ramai pemerhati politik.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat di Kuching Rabu ini bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.
“Selepas mesyuarat itu, kita boleh mengeluarkan surat kuasa kepada pegawai pengurus pilihan raya pada hari yang sama atau pada satu tarikh ditetapkan.
“Kita tidak perlu mengambil masa lama, sebaliknya ia akan dilakukan secepat mungkin walaupun SPR mempunyai tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengumumkan DUN Sarawak akan dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-10 diadakan.

Mengikut prosedur, sehari selepas surat kuasa diberikan kepada pegawai pengurus pilihan raya, SPR perlu mengeluarkan notis bagi mengadakan pilihan raya negeri.

Penamaan calon untuk pilihan raya berkenaan pula boleh diadakan empat hari selepas notis itu dikeluarkan.
Ini bermakna penamaan calon boleh diadakan pada 28 Mac, tetapi berdasarkan amalan SPR sebelum ini, penamaan calon biasanya diadakan pada Sabtu. Oleh itu, penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 kemungkinan besar diadakan pada 2 April.

Dengan mengambil kira tempoh kempen yang mesti diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hari, maka hari pengundian dijangka diadakan pada 9 April.

Desas desus sebelum ini menyatakan hari penamaan calon akan diadakan pada 6 April, manakala pengundian pada 16 April.

DUN Sarawak mempunyai 71 kerusi dengan 28 kerusi mempunyai majoriti Melayu/Melanau, Iban (19), Cina (15), Orang Ulu (tiga) dan Bidayuh (enam).

Sejak pembentukan Malaysia pada 1963, Sarawak telah mengadakan sembilan pilihan raya negeri, iaitu pada 1969-1970, 1974, 1979, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001 dan 2006.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]