Monday, March 21, 2011

TEORI 'STATE' UNTUK SARAWAK ?

Bagi tukang gosip politik, pelbagai teori dicipta, umpamanya teori STATE yang berinspirasikan teori RAHMAN yang dikaitkan dengan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri bagi merasionalkan peluang Effendi.
Menurut mereka, S merujuk kepada Ketua Menteri pertama, Datuk Stephen Kalong Ningkan, T merujuk kepada Datuk Penghulu Tawi Sli (Ketua Menteri kedua), A merujuk kepada Tun Abdul Rahman Ya'kub (Ketua Menteri ketiga), T merujuk kepada Abdul Taib dan E pula merujuk kepada Effendi.
Begitulah kreativiti tukang gosip politik, pelbagai teori dicipta namun hakikatnya Sarawak hanya memerlukan seorang sahaja Ketua Menteri dan dalam politik sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk naik ke atas.
Ia telah berlaku di peringkat kepimpinan Pusat dan negeri-negeri lain, sudah acap kali pemimpin yang tidak dijangka dilantik sebagai pemimpin nombor satu. Rezeki Allah tiada siapa yang tahu.
Kerana itu, soal kepimpinan yang bakal berubah tidak sepatutnya mengalihkan fokus Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk berhadapan dengan 'perang besar demokrasi' yang akan diadakan tidak lama lagi. Apa yang lebih penting ialah kemenangan BN kerana ia akan menjadi indikator sokongan rakyat kepada kerajaan di peringkat nasional.
Ketua Pemuda PBB, Datuk Fadillah Yusof turut berkongsi sentimen yang sama apabila meminta kepimpinan pemuda parti itu menyelami ingatan Perdana Menteri bahawa perubahan mesti dibuat secara teratur dan berhati-hati.
"Sama ada di peringkat pusat dan negeri, peralihan kuasa mesti berlaku sebaik mungkin. Paling utama ialah kesinambungan perancangan pembangunan.
"Apabila berlaku perubahan, ia mestilah memperkukuhkan apa yang telah dibina baik dari segi politik mahupun sosio ekonomi dan pemimpin baru itu mestilah menerima penghormatan dari semua sektor, bukan sahaja politik bahkan ekonomi," tegasnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Abdul Taib perlu diberi ruang untuk membuat keputusan dan beliau sebagai ahli politik yang amat berpengalaman pastinya akan melakukan yang terbaik untuk seluruh rakyat Sarawak.
"Kita berdiri teguh di belakang Ketua Menteri dan jangan ada mana-mana pemimpin baik dalam BN mahupun dari luar membuat desakan.
"Sudah pasti satu hari nanti kita akan bertemu pemimpin yang baru, bak kata pepatah Melayu, patah tumbuh hilang berganti," katanya yang merupakan Ketua Setiausaha Politik Abdul Taib.
Mengulas mengenai antara cabaran pemimpin baru kelak, Abdul Karim berkata ia adalah berkaitan mempertahankan perpaduan rakyat berbilang bangsa di Sarawak.
"Beliau (Abdul Taib) amat hebat menyatukan rakyat baik Melayu, Cina, Dayak dan Orang Ulu sehingga tiada satu pun yang tersisih.
"Sukar untuk mencari pemimpin sebegini, sesiapa yang mengambil alih kelak perlu mencari formula untuk mengekalkan apa yang telah berjaya dilakukan Pehin Sri (Abdul Taib)," katanya.
Turut mengulas hasrat pengunduran itu ialah Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan harapan supaya pemimpin baru nanti tidak mengetepikan landasan pembangunan negeri yang telah dirangka Abdul Taib.
Katanya, jika mahu melakukan perubahan sekalipun ia hanya dalam aspek pelaksanaan, bukannya misi yang digariskan.
"Kalau tidak ada kesinambungan, akan hilanglah hala tuju Sarawak yang telah dirancang dengan baik selama ini," tegasnya.
Beliau juga berharap tiada tekanan diberikan kepada Abdul Taib untuk berundur kerana sesuatu perkara yang penting tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
"Saya selalu berkata dalam persidangan antarabangsa berkaitan demokrasi, jangan paksa kita (Malaysia) untuk berbuat sesuatu.
"Negara kita ada program tersendiri, begitu juga dengan Pehin Sri, beliau ada program dan tempoh masa yang ditetapkan," katanya yang melahirkan keyakinan bahawa Sarawak tidak pernah tandus kepimpinan yang berkualiti.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]