2011/03/10 PADA saya pembangkang kini bukan seperti pada akhir 80-an dulu. Hari ini pembangkang menguasai beberapa negeri dan mula mengintai peluang untuk menguasai Parlimen pula. Ibarat tukang sorak perlawanan bola sepak yang sering mencemuh dan memaki pemain, bila sudah bermain sendiri baru dirasai betapa payahnya menjaringkan gol dan lebih payah lagi untuk menjadi juara. Begitulah pembangkang, selepas berjaya memenangi beberapa negeri dalam pilihan raya lalu, baru mereka memahami kedudukan sebenar dan kerenah dalam pentadbiran. Baru mereka tahu kenapa lesen arak dikeluarkan dan mengapa hudud belum dapat dilaksanakan. Di Terengganu isu hudud menjadi senjata makan tuan apabila pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 lalu kerana hudud yang dijanjikan gagal dilaksana. Hari ini pembangkang dilihat lebih terbuka dan mesra. Sudah ada slogan parti mereka untuk semua. Pembangkang sudah faham selok-belok pentadbiran dan sedar untuk menguasai Parlimen mereka juga memerlukan sokongan ramai termasuk kaum lain. Ia sebenarnya satu perkembangan yang baik dan kita tidak boleh menafikan pembangkang yang baik boleh membantu menjadikan kerajaan lebih baik. Bukan pembangkang yang hanya tahu mencemuh seperti penonton di luar padang tetapi tidak pernah dan pandai bermain. Usaha pembangkang mengadakan kerjasama dengan kaum Cina dimulai sejak mereka menguasai Kelantan pada akhir tahun 80-an dulu. Mereka menubuhkan ‘Chinese Consultative Council’ (CCC) untuk menarik kaum Cina menyokong parti itu. Bagaimanapun, ia gagal kerana pada masa itu penyokong mereka tidak boleh menerima lantaran tuduhan UMNO kafir kerana bekerjasama dengan bukan Islam iaitu MCA dan MIC masih baru dan diingati. Pimpinan muda pembangkang kini lebih memahami dan mereka juga lebih terbuka dan realistik. Usaha mereka lebih fokus ke arah mewujudkan alternatif kepada parti pemerintah hari ini dengan membicarakan isu perpaduan antara kaum, ekonomi, sosial dan integriti, bukan lagi isu agama seperti hudud, lesen arak dan assabiah sebagai modal utama. Presiden parti juga tidak sekeras dulu dalam isu agama. Tetapi malangnya masih ramai pimpinan yang menguasai parti dan penyokong masih belum dapat menerima hakikat ini. Ia terbukti dengan sambutan dingin terhadap buku Menuju PAS Baru yang ditulis oleh seorang pemimpin muda parti itu sendiri. Buku itu mengulas sejarah parti, cabaran yang dilalui dan perubahan yang perlu dibuat untuk ‘survival’ parti pada masa depan. Ia juga secara jujur mengungkit kesilapan lalu dan apa yang perlu untuk menjadikan parti diterima ramai. Perkara ini menjadi dilema dalam PAS. Pada masa parti cuba membawa imej baru yang lebih realistik dan mesra, masih ada kepemimpinan lama atau yang dikenali sebagai pimpinan ulama masih membangkitkan isu berkaitan agama dan mencemuh kerajaan dengan gelaran jahiliah, kafir dan nasionalisme bertentangan Islam seperti dalam kempen pilihan raya kecil di Tenang, Johor baru-baru ini. Di persimpangan inilah presiden parti pembangkang dilihat sudah mengubah haluan, sementara golongan pendukung kepemimpinan ulama yang gemar mencaci mula menjadi liabiliti kepada parti dan semakin ketinggalan. Jika perubahan ini berjaya, walaupun PAS kalah teruk di pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau baru-baru ini, sudah tiada lagi beza antara parti kerajaan dan pembangkang kecuali dari sudut calon atau tokohnya saja. Ketika itu juga dapat difahami sebenarnya slogan PAS ganti UMNO sama dengan PAS jadi UMNO. KHAZAN CHE MAT, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit. |
Thursday, March 10, 2011
Ulama caci maki liabiliti kepada parti
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment