Wednesday, April 6, 2011

BN perlu kaji sikap, kehendak pengundi Cina

header
Rencana

BN perlu kaji sikap, kehendak pengundi Cina

Kepemimpinan parti komponen ambil iktibar, perbaiki kesilapan untuk dapat kembali sokongan

PILIHAN raya kecil Sibu dan Hulu Selangor memperlihatkan dengan nyata pola pemilihan pengundi bandar, khususnya pengundi Cina, masih tegar menyokong pakatan pembangkang. Walaupun profil dan demografi pengundi di Sibu dan Hulu Selangor sangat berbeza, trend pemilihan pengundi Cina di kedua-dua kawasan pilihan raya terbabit hampir sama. Dianggarkan lebih 70 peratus pengundi Cina di Sibu dan Hulu Selangor menolak Barisan Nasional (BN). Hal sama berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil sebelumnya di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Bukit Gantang, malah di Kuala Terengganu pada 2009.

Justeru, boleh disimpulkan pengundi bandar rata-ratanya masyarakat Cina, masih menolak BN. Apakah trend begini akan terus kekal atau berubah menjelang pilihan raya umum akan datang? Persoalan ini barangkali adalah isu penting yang perlu difahami kerana ia bakal menentukan landskap politik dan arah aliran politik nasional pada masa depan. Persoalan besar yang belum terungkai ialah, apakah yang membuatkan pengundi Cina masih tegar menolak BN? Apakah mesej penting yang mereka ingin sampaikan? Apa yang mereka mahukan? Inilah antara persoalan asasi yang perlu dipecahkan BN, khususnya parti komponen yang mewakili masyarakat Cina dalam BN dan kerajaan.

Mereka perlu jujur mencari jawapan dan ikhlas bertindak mengatasi isu dan masalah yang timbul. Parti yang mewakili masyarakat Cina di dalam BN tidak harus terlalu cepat menuding jari kepada orang lain bagi menutup kelemahan sendiri. Mereka perlu jujur dan ikhlas mengakui dan memperbaiki kelemahan yang ada jika tidak mahu melihat nasib mereka menjadi lebih buruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 daripada apa yang berlaku pada Mac 2008.

Hakikatnya, selama ini undi pengundi Melayu yang banyak menyelamatkan mereka sehinggakan pemimpin mereka menang pada pilihan raya dan berjaya mengekalkan kedudukan sebagai menteri dan timbalan menteri atau sebagai ahli exco dalam kerajaan negeri yang dikuasai BN.

Persoalannya, bersedia dan mampukah MCA dan Gerakan serta parti yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak dan juga Sabah menyelesaikan semua isu ini sebelum PRU akan datang? Atau mereka kini ‘lemas dan kebuntuan’ dalam mencari jalan keluar dan hanya terus bergantung kepada Umno bagi membantu mereka atau sering kali cenderung menyalahkan Umno jika mereka gagal mendapatkan sokongan pengundi Cina?
Sebelum persoalan ini dijelaskan, kita harus menyedari asas yang membentuk dan mempengaruhi pemikiran politik masyarakat Cina di Malaysia. Bagi masyarakat Cina, ada tiga teras utama yang sangat berpengaruh membentuk sikap dan pendirian politik mereka. Malah ketiga-tiga aspek ini juga dianggap sebagai ‘the three pillars of Chinese identity in Malaysia (Tiga Teras Identiti Cina– TTIC). Pertamanya ialah Pendidikan Cina; kedua, Media Cina dan ketiganya, ialah Huatuan (Pertubuhan Cina).

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sikap dan pemikiran politik masyarakat Cina dibentuk oleh ketiga-tiga unsur teras ini. Parti politik Cina juga tidak berupaya untuk mempengaruhi sikap politik masyarakat Cina berbanding dengan apa yang boleh dilakukan oleh TTIC ini. Sebaliknya, dalam kebanyakan isu dan senario sosio-politik, parti politik Cina sering menari mengikut rentak paluan TTIC.

Lebih ironis, parti politik Cina harus memperlihatkan simpati dan berkongsi perjuangan dengan TTIC jika tidak mahu dihukum dalam pilihan raya. Identiti Cina dipelihara, dicorakkan dan ditentukan oleh TTIC. Parti politik Cina pula dilihat hanya berperanan sebagai ejen menjayakan agenda perjuangan TTIC.

TTIC mempunyai fungsi dan peranan penting dalam mempertahankan serta memperjuangkan isu mengenai identiti etnik Cina di Malaysia. Misalnya, teras pertama Pendidikan Cina– berfungsi mempertahan dan mengembangkan kebudayaan dan bahasa Cina di kalangan masyarakat Cina supaya jati diri generasi Cina akan datang tidak hilang ditelan proses sosialisasi dan pembudayaan masyarakat Malaysia.

Pemimpin pendidikan Cina percaya bahawa tanpa sekolah Cina, bahasa dan kebudayaan Cina tidak mungkin dapat dipertahankan di negara ini. Dong Zhong dan Dhong Jiao Zhong adalah dua pertubuhan penting yang sering menjadi pejuang kepada pendidikan Cina di Malaysia.

Media Cina seperti akhbar, media elektronik dan media mayanya berperanan membangkitkan kesedaran isu dan masalah masyarakat dan identiti Cina di negara ini. Ia juga sangat berpengaruh membentuk sikap dan pemikiran masyarakat Cina.

Huatuan atau pertubuhan Cina pula mewakili dan menjaga pelbagai kepentingan masyarakat itu dalam bidang ekonomi dan perniagaan, bahasa dan kebudayaan serta pelbagai minat, kecenderungan masyarakat Cina. Terdapat hampir 3,000 pertubuhan Cina di Malaysia pada hari ini yang mewakili dan menjaga pelbagai kepentingan masyarakat Cina. Nyatalah betapa masyarakat Cina sangat kuat berpersatuan dan mementingkan perpaduan dan penyatuan fikiran dalam memperjuangkan pelbagai kepentingan mereka. Justeru, tidak hairanlah apabila pertubuhan Cina ini sangat aktif menjalankan pelbagai aktiviti mereka yang amat berpengaruh ke atas pemikiran masyarakat Cina dalam hampir semua hal termasuk politik. Huatuan inilah NGO Cina yang sangat kuat pengaruhnya ke atas pemikiran dan sikap politik masyarakat Cina di Malaysia.

Persoalannya sekarang, apakah pada hari ini MCA, Gerakan dan BN mendapat sokongan TTIC? Atau sebaliknya TTIC sudah memutuskan sejak Mac 2008 untuk mengalihkan sokongan mereka dan terus memihak kepada DAP dan Pakatan Rakyat? Kalau inilah pendirian TTIC, apakah perkara ini akan berubah menjelang PRU-13 nanti? Inilah cabaran terbesar MCA dan Gerakan serta parti Cina lain dalam BN. Inilah juga cabaran paling sengit dan paling besar yang mesti dihadapi BN daripada sekarang dalam usahanya mendapatkan kembali undi dan sokongan masyarakat Cina untuk mempertahankan kerajaan semasa.

Kenapakah masyarakat Cina lebih cenderung melihat DAP - parti sosialis berbilang kaum yang lebih dekat di hati mereka berbanding MCA dan Gerakan? Apakah ini isu yang ada hubung kait dengan soal imej parti, kepemimpinan dan agenda perjuangan antara MCA dan DAP? Atau ia berkait pendekatan keras dan perkauman dibawa oleh DAP? Atau apakah masyarakat Cina melihat MCA dan Gerakan serta SUPP di Sarawak serta kepemimpinan parti ini sudah lesu dan gagal dalam memperjuangkan agenda politik, ekonomi dan sosio-budaya masyarakat Cina? Atau mungkinkah ini soal pilihan lebih besar antara BN dan pakatan pembangkang? Semua ini perlu dicari jawapannya secara jujur oleh MCA, Gerakan dan BN jika mereka ingin mengubah keadaan.

Penulis ialah Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]