Penduduk Flat Padang Tembak tagih janji Khabar Dari Georgetown JUMAAT minggu lalu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng meninjau Flat Padang Tembak di Air Itam. Mungkin disebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan di situ pada keesokan harinya, maka beliau bergegas berkunjung ke flat yang dihuni kira-kira 20,000 penduduk pelbagai kaum. Dalam lawatannya, Guan Eng melahirkan kesediaan untuk membantu mengecat flat yang dibina pada 1969 itu. Bagaimanapun, kerja-kerja tersebut tidak dapat dilakukan berikutan penduduk masih berhutang tunggakan sewa dan penyenggaraan sebanyak RM1.6 juta. Justeru, beliau mengesyorkan kos mengecat dan naik taraf yang dianggarkan RM2.7 juta dibiayai kerajaan DAP Pulau Pinang sebanyak 80 peratus manakala selebihnya ditanggung oleh penduduk. Namun, bagi Liew Yeow Hooi, 42, tawaran itu diibaratkannya hanyalah ‘wayang’ Guan Eng. Sudah tiga tahun penduduk tunggu pembangkang tunai janji mahu cat kediaman mereka. “Semasa dia datang pertama kali ke sini dua tahun lalu, dia janji macam-macam. Nak atasi tekanan air rendah, baiki pendawaian, sampah-sarap tapi satu pun tak ditunaikan. Janganlah buat ‘show’ (pertunjukan) lagi. Kita rakyat bukan bodoh. Kalau betul ada hati nak tolong, biayai semua kos,” katanya ketika ditemui. Lantas, dia mendedahkan perkara sebenar yang menyebabkannya cukup berang apabila Guan Eng membuat tawaran tersebut. Masih segar dalam ingatan, detik pertemuannya dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya, empat tahun lalu. Ketika itu dia menjadi Penyelaras Pusat Khidmat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Flat Padang Tembak. Pada pertemuan tersebut, Anwar beria-ia mahu dia membantu PKR merampas Pulau Pinang daripada Barisan Nasional (BN). “Dia beritahu kalau PKR memerintah, Pulau Pinang boleh maju, boleh beri keadilan kepada semua kaum. Dia kata bukan macam BN yang hanya beri tumpuan kepada kepentingan orang Melayu,” jelasnya. Terpedaya dengan kata-kata ‘manis’ Anwar, Yeow Hooi bertungkus-lumus membantu jentera pilihan raya parti tanpa mengira penat lelah bagi mencapai cita-cita itu. Pada 11 Disember 2007, Anwar datang untuk berkempen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 2008. Dalam ceramahnya, Anwar berjanji sekiranya pembangkang berjaya menawan Pulau Pinang, sebagai ganjaran kepada penduduk yang mengundi, kesemua sembilan blok di situ akan dicat dengan percuma dalam tempoh sebulan. Ternyata penduduk yang mendengar amat gembira kerana kali terakhir flat berkenaan dicat adalah pada 1995. Mungkin termakan dengan janji-janji Anwar, ramai mengundi pembangkang pada PRU 12 , menyaksikan Pulau Pinang yang diterajui Gerakan tumbang. Di kawasan tersebut, calon DAP, Liew Ching Tong memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera manakala Jason Ong Khan Lee dari PKR menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kebun Bunga. Sebulan selepas kerajaan DAP Pulau Pinang mentadbir, Yeow Hooi berjumpa kedua-dua mereka untuk menuntut janji mengecat flat tersebut. “Ching Tong kata, ini bukan janji DAP, ini janji PKR. Jason Ong pula beritahu, pi (pergi) tanya Anwar, dia yang buat janji,” katanya yang kini menjadi Ketua Pemuda Pusat Parti Cinta Malaysia (PCM). Saban hari penduduk flat bertanyakan bila kediaman mereka akan dicat baru. Apa yang telah berlaku kepada penghuni flat berkenaan elok dijadikan pengajaran, jangan lagi pisang berbuah dua kali. Penulis ialah Ketua Biro Utusan di Pulau Pinang |
Friday, April 8, 2011
DAP TAK TUNAI JANJI DI PENANG?
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment