PM arah siasatan rapi kematian pegawai kanan kastam KUCHING 7 April - Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan satu siasatan rapi yang telus serta profesional dalam kes kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56. Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan melindungi apa-apa maklumat mengenai insiden itu kerana rakyat juga berhak mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku. Katanya, pada masa ini biarlah kes itu disiasat oleh polis terlebih dahulu sebelum membuat keputusan adakah ia memerlukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja. "Setakat ini apa yang saya diberitahu, dia (Ahmad Sarbani) datang (ke SPRM) secara sukarela untuk menukar kenyataannya yang dibuat sebelum ini, bukan SPRM yang panggil dia. "Dalam masa SPRM memanggil pegawai penyiasat, beberapa minit sahaja kejadian itu berlaku," katanya. Semalam, Ahmad Sarbani yang ditahan SPRM pada 1 April lalu sebelum dibebaskan keesokannya bagi membantu siasatan Operasi 3B, ditemui mati di pekarangan Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur. Dalam Operasi 3B, seramai 62 pegawai kastam ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta pelbagai kesalahan lain. Sementara itu, Najib berkata, kejadian itu mungkin menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada SPRM namun harus diingat bahawa suruhanjaya itu bertindak untuk menyelamatkan wang negara. Katanya, semua pihak tidak sepatutnya lupa bahawa penyelewengan yang berlaku adalah serius dan berlarutan bertahun-tahun lamanya malah kerajaan sendiri mahu membersihkan nama baik kastam. "(Kerajaan) tiada apa-apa niat, ini sesuatu yang kita tidak sangka berlaku," katanya. Najib juga tidak menolak kemungkinan kejadian itu akan mengganggu siasatan Operasi 3B namun ia akan diteruskan demi manfaat rakyat keseluruhannya. |
Friday, April 8, 2011
PM arah siasatan rapi kematian pegawai kanan kastam
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment