Rakyat Pulau Pinang Sudah Mula Beri Mesej Mahukan Perubahan Oleh: Azlina Rosdy. BALIK PULAU, 18 Feb – Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, rakyat Pulau Pinang sudah muak dan mula hilang keyakinan terhadap Dap. Tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang sering pilih bulu dan tidak adil menyebabkan rakyat memberontak.
“Sebagai contoh kita lihat kes roboh gerai. Tidak habis-habis kerajaan Pulau Pinang menindas nasib peniaga kecil. Kerana tindakan Dap yang jelas pilih kasih inilah menyebabkan rakyat semakin muak dan sedar Dap bukanlah pembela nasib rakyat,” jelas beliau.
Hilmi yang juga merupakan Setiausaha Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata, selepas tiga tahun Dap memerintah Pulau Pinang, rakyat dapat melihat bahawa hanya BN dan UMNO yang membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik.
“Orang Melayu juga kini sudah kembali menyokong BN termasuklah kaum India. Sokongan dari kaum Cina juga sudah ada peningkatan yang baik. Saya percaya, jika UMNO dan parti-parti komponen terus bersatu dan memberi pendedahan kepada rakyat Pulau Pinang, kita akan meraih sokongan yang total,” katanya.
Jelas beliau, perkara ini jelas dapat dilihat semasa sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Dap baru-baru ini tidak mendapat sambutan yang baik. “Mereka sasarkan 30 ribu orang akan hadir tetapi hanya sekitar lima ribu orang sahaja yang datang.
“Ini berlainan dengan sambutan yang kita anjurkan. Orang ramai datang berpusu-pusu sehinggakan ramai yang terpaksa berdiri kerana tidak cukup tempat. Ini adalah petanda yang baik,” katanya lagi.
Hilmi turut menjelaskan, statistik dari Penang Development Corporation (PDC) menunjukkan tiada satupun kilang baru yang dibina oleh Kerajaan Dap sepanjang tiga tahun pemerintahan mereka.
“Ini maknanya tiada peningkatan dari segi ekonomi. Selain itu, dapat dilihat juga pelancongan di sini juga semakin merundum.
“Dahulu, pelancongan di Penang jauh lebih baik berbanding Melaka tetapi kini Melaka terus berkembang pesat dan Penang, mula hilang daya tarikan. Tiada iniasitif dari Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pelancongan di sini,” ujar Hilmi.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 13 akan datang, beliau berkata, sasaran BN Pulau Pinang adalah memenangi lima kerusi Parlimen.
“Ini sasaran kita. Sebab itulah kita sedang berusaha keras mengenal pasti pengundi Penang yang telah berhijrah ke luar. Kita akan membawa pulang mereka untuk mengundi di Pulau Pinang. Undi mereka amat penting untuk membantu BN di sini,” jelas beliau kepada UMNO-Online. - MediaUMNO |
No comments:
Post a Comment