Roti canai ikan pelaling
|
|
JASIN 21 April – Roti canai merupakan sarapan pagi paling popular bagi masyarakat di negara ini baik di warung-warung tepi jalan sehinggalah ke hotel bertaraf lima bintang.
Antara ‘keluarga’ roti canai yang digemari termasuk roti sardin, roti telur, roti planta, roti bawang dan murtabak yang akan dicecah dengan kuah dal atau kari ayam.
Untuk menikmati hidangan itu pula, restoran mamak akan menjadi pilihan kerana roti canai sememangnya menjadi hidangan wajib di restoran tersebut di seluruh negara.
Namun, pernahkah di antara kita terbayang sekiranya roti canai dimakan selain bersama kuah dal atau kari? Bagaimana kalau menu itu dinamakan ‘roti canai ikan pelaling’.
Roti canai ikan pelaling bukanlah sesuatu yang asing bagi penduduk sekitar pekan Merlimau di sini atau lebih tepat lagi di Warung Izat yang terletak berhampiran stesen teksi di pekan itu.
Bagi pemilik warung itu, Rohaizat Mat Diah, 47, dia mula menjual pelbagai jenis roti canai termasuk roti canai ikan pelaling yang juga dipanggil ikan kembung sejak 20 tahun lalu.
“Ketika itu saya menjual ikan ini bersama nasi lemak tetapi cuba mencipta kelainan dengan menambah ikan pelaling ini bersama roti canai sebagai lauk yang dibakar bersama hirisan nipis bawang besar.
“Sejak itu, saya lihat menu roti canai ikan pelaling ini begitu digemari bukan sahaja oleh penduduk setempat, bahkan ada yang datang dari Johor, Selangor dan Perak untuk merasai keenakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini .
Menurut Rohaizat, bagi mengekalkan kesegaran ikan dan kualiti hidangan, dia memastikan setiap ekor ikan pelaling yang dibeli dipasar habis dijual pada hari yang sama.
Tambahnya, setiap hari dia boleh menjual sehingga 30 ekor ikan pelaling segar dari pukul 7.30 pagi sehingga warungnya ditutup pada pukul 11 pagi.
Selain menu tersebut katanya, warungnya itu juga menjual menu sarapan pagi yang lain seperti nasi lemak, mi, nasi, kuetiau dan bihun goreng.
“Tetapi saya bangga kerana telah menjadikan roti canai ikan pelaling sebagai antara hidangan unik dan sukar didapati di tempat lain. Ia mempunyai penggemar tersendiri walaupun cara penyediaannya ringkas,” katanya.
Tambahnya, sekeping roti canai ikan pelaling yang dicicah bersama kuah dal, sambal atau kari dijual pada harga RM2.30 sepinggan.
No comments:
Post a Comment