Sentimen pengundi Cina dan propaganda DAP Kelolaan LUKMAN ISMAIL lukman@utusan.com.my BIARPUN keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 sudah diketahui hampir seminggu lalu, namun sehingga kini cakap-cakap mengenainya masih lagi kedengaran di mana-mana terutama perihal sokongan pengundi kaum Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) amnya dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) khususnya. Pada pilihan raya negeri itu, sokongan pengundi Cina terhadap pembangkang (DAP) telah meningkat sekali ganda sekali gus menyaksikan sokongan terhadap calon SUPP merosot teruk apabila hanya memenangi dua daripada 19 kerusi yang ditandingi. Ruhanie Ahmad (kuda-kepang.blogspot.com) berkata, tindakan pengundi Cina memilih pembangkang perlu disambut dengan ketegasan BN negeri dan Pusat dalam memberikan layanan mereka kepada masyarakat Cina Sarawak berasaskan status quo keputusan pilihan raya tersebut. "Layanan mesra kepada masyarakat Cina Sarawak dalam semua bidang perniagaan yang membabitkan kerajaan negeri perlu dikaji semula. Kemesraan pula perlu diberikan kepada masyarakat pribumi (bumiputera) Sarawak yang selama ini mendakwa mereka jadi masyarakat kelas kedua. "Kewujudan parasit dan oportunis dalam semua bentuk yang sebelum ini didakwa oleh segolongan rakyat Sarawak sebagai keterlaluan dan berlebih-lebihan juga perlu segera dihapuskan supaya kredibiliti kerajaan Sarawak meningkat, (dan) pribumi Sarawak benar-benar rasa terbela," katanya. Kata beliau, dengan cara tersebut kerajaan negeri dan kaum pribumi Sarawak akan berjaya mewujudkan sinergi dan kerjasama bagi mengukuhkan lagi kuasa BN Sarawak untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Ibrahim Yahaya (duniatiger.blogspot.com) pula berkata, kaum Cina di Sarawak nyata telah mengabaikan ingatan Perdana Menteri bahawa setiap kaum itu tidak mungkin akan dapat memerintah secara bersendirian tanpa sokongan kaum lain dan perlunya perkongsian kuasa seperti mana yang diamalkan oleh BN. "Jika Melayu dan bumiputera boleh berfikir rasional dan tidak berdasarkan semangat perkauman untuk memberi peluang kepada calon BN yang baik dan hebat, tidak ada sebab kaum Cina membuat sebaliknya. "Penolakan calon Cina dari BN memperlihatkan bahawa strategi kempen agresif pembangkang membuahkan hasil, di samping kegagalan parti orang Cina di Sarawak untuk memahami denyut nadi mereka," kata beliau. Justeru katanya, SUPP, MCA dan Gerakan perlu bekerja keras lagi bagi memastikan mereka layak mewakili kaum Cina dan bukannya DAP, parti cauvinis yang sentiasa memainkan sentimen perkauman sejak dahulu lagi. Sementara itu blog UMNO Reform II (umno-reform2.com) berkata, walaupun politik di negara ini sedang merangka pembaharuan atau transformasi tetapi kematangan politik masih pada tahap yang rendah dan dengan jelas masih lagi berada dalam kerangka politik perkauman. Katanya, melihat perkembangan DAP mengatur sokongan kaum Cina, jelas mereka masih berpaksikan kepada politik perkauman yang dimanipulasikan sebagai demokrasi total sedangkan BN atau UMNO masih terikat kepada perjuangan realiti untuk mengubah negara dengan kemajuan yang lebih pesat. "Sehingga hari ini, dominan Cina dalam politik semakin terserlah. Kehadiran mereka sudah diterima dan mereka telah dikatakan sebagai pejuang kaum yang lebih signifikan daripada MCA. BN/UMNO perlu melihat serius perkara ini tetapi tidak mengambil langkah merasuah mereka untuk sokongan politik. "Banyak petunjuk telah ada. Memberi mereka apa yang mereka mahu tidak menjamin sokongan. Toleransi Melayu masih di tahap tertinggi dan sanggup sekali lagi akur kepada kehendak," kata blog ini. Katanya, dengan DAP yang semakin jelas membawa sentimen perkauman dan mendapat sokongan kaum Cina, maka BN perlu segera mencari formula bagi mengaut kembali sokongan khususnya orang Melayu bagi mengimbangi sokongan menyeluruh kaum Cina terhadap DAP. Blog Malaysia Heaven (malaysiaheaven.blogspot.com) pula menyentuh pandangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu dan menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan menyatakan bahawa kaum Cinalah yang paling kuat sentimen perkauman. Katanya, akhbar-akhbar mereka sentiasa memainkan isu-isu perkauman tanpa mempedulikan sentimen kaum dengan alasan itu adalah kebebasan bersuara tetapi apabila akhbar Melayu mengkritik kaum mereka, mereka akan melenting dan menuduh orang Melayu mengamalkan sikap perkauman. "Aku syorkan semua artikel yang disiarkan dalam akhbar Cina diterjemahkan di dalam bahasa Melayu dan disiarkan di semua akhbar Melayu setiap hari. Biar semua orang Melayu baca apa yang disiarkan oleh akhbar Cina. "Selama mereka sangka orang Melayu tak tahu bahasa Cina, maka mereka boleh siarkan apa saja artikel yang menghina orang Melayu," katanya. |
Friday, April 22, 2011
Sentimen pengundi Cina dan propaganda DAP
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment