Ummah digalak berdoa hadapi ujian kesusahan, kesenangan Oleh Shahril Anuar Abdul Ghalim 2011/04/07 MANUSIA dalam apa juga keadaan pasti akan berdoa dan bersyukur. Tidak kira berita gembira mahupun duka, seharusnya kita berserah kepada-Nya. Masyarakat dunia kebelakangan ini sering diuji. Ujian yang hadir akibat tindakan manusia dan juga takdir daripada-Nya. Bencana dan tragedi yang menimpa adalah ujian agar kita selalu ingat kepada-Nya. Di Malaysia, banjir yang melanda di beberapa negeri di Utara Semenanjung adalah salah satu daripadanya. Walaupun keadaan masih di bawah kawalan tetapi musibah ini adalah ujian yang amat besar kepada mangsa yang terbabit. Kerugian yang dialami membabitkan wang ribuan ringgit, kehilangan harta benda, kepayahan kehidupan selepas banjir dan juga mungkin mengalami trauma di masa mendatang. Kesan psikologi rentetan kejadian banjir ini juga harus dipandang serius. Rasa takut, bimbang dan terancam mungkin akan mengambil masa untuk hilang dalam diri mangsa banjir. Bersyukurlah kerana dugaan dan ujian ini tidak seteruk dan sedahsyat negara jiran kita di rantau ini dan berdoalah agar kita tidak ditimpa bencana sedemikian. Jika kita imbau mengenai kejadian gempa bumi yang berlaku di Jepun baru-baru ini, kita amat terharu dengan berita yang dilaporkan. Antaranya ialah dianggarkan berbilion ringgit jumlah kerugian, ribuan nyawa yang menjadi korban, ratusan bangunan mengalami kemusnahan, puluhan negara yang menawarkan bantuan dan satu doa diungkapkan agar kejadian seumpama itu tidak berulang. Semua insan tidak kira bangsa, warga negara dan agama meratapi kesedihan yang melanda rakyat Jepun. Memetik salah satu tajuk berita di akhbar yang berbunyi ‘apabila alam tunjuk kehebatan, tiada kuasa manusia dapat menghalang’. Ungkapan ini sememangnya benar jika dihayati secara mendalam. Alam yang diciptakan untuk manusia menghuninya adalah suatu anugerah dari Pencipta. Dan harus diakui juga akan segala kebinasaan dan kejadian alam juga adalah ketentuan dan ujian-Nya ke atas nikmat yang diberikan selama ini kepada manusia. Semua itu adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan daripada terjadi. Tetapi bagaimana pula akan bencana yang terjadi atas dasar tindakan manusia itu sendiri? Jika kita bertanya khabar pada negara di Timur Tengah, kita dapat lihat bagaimana pertelingkahan politik yang berlaku atas dasar kerakusan perilaku manusia. Kekacauan politik di Tunisia, Mesir, Yaman, Bahrain dan juga Libya yang membawa kepada kesengsaraan rakyat dan kehilangan nyawa. Kuasa menjadi punca kepelbagaian penderitaan dan huru-hara. Manusia sendiri yang menciptanya (kuasa) dan manusia sendiri yang memusnahkannya. Ekoran konflik berkenaan, kita dapat lihat betapa pelajar Malaysia yang belajar di negara terbabit terpaksa dipanggil pulang demi keselamatan. Sekali lagi kita bersyukur dan berdoa tatkala mereka menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Harapan menggunung untuk menuntut ilmu di negara orang akhirnya diuji dengan cabaran yang getir ini. Ini adalah antara contoh kekalutan yang wujud di dunia ketika ini. Malah masyarakat dunia turut terkena tempias ekoran kejadian ini. Masyarakat dunia menyaksikan dan mengalami dua kejadian yang amat menyedihkan. Suka duka dirasai bersama atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan. Bagi masyarakat Malaysia, begitulah antara tiga keadaan atau tragedi yang membawa kepada satu tindakan. Emosi yang dirasai berbeza atas kejadian yang berlainan tetapi disusuli dengan tindakan yang sama iaitu bersyukur dan berdoa. Apa yang cuba dikupas adalah mengenai emosi seorang manusia apabila berdepan dengan sesuatu keadaan. Manusia dalam apa juga keadaan sama ada suka mahupun duka, ada susulan emosi dalam luahan perasaan yang berbeza. Suka apabila mendapat sesuatu yang diinginkan dan duka apabila gagal mengecapinya. Dua emosi dalam dua keadaan berlainan, tetapi memungkinkan seseorang insan itu mengambil langkah yang sama iaitu berdoa. Doa tanda kesyukuran dan doa agar dipermudahkan. Inilah suatu persamaan yang kekal dalam kedua-dua keadaan iaitu menyandarkan diri kepada-Nya kerana Dialah yang mencipta kedua-dua keadaan itu. Perkara yang mudah tetapi tidak semua secara sedar mengakui betapa hebatnya apa yang diucapkan hanya atas nama doa. Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Ghafir ayat 60 yang bermaksud: “Berdoalah, nescaya aku perkenankan untukmu”. Manusia sering kali berdoa hanya pada ketika mereka berasa lemah dan tidak mampu untuk menempuh cabaran, kesusahan atau dugaan yang menimpa dirinya. Secara fitrahnya apabila manusia berada dalam kesenangan, doa itu adalah perkara yang terakhir terlintas difikiran. Sedangkan ketika berada dalam kesenangan manusia sepatutnya lebih bersyukur dan berdoa agar kesenangan, kemudahan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT itu berpanjangan. Walaupun umum mengetahui bahawa doa itu adalah senjata bagi orang mukmin tetapi ia tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Kesusahan sering kali dianggap sebagai rintangan oleh-Nya dan kesenangan pula dianggap sebagai kejayaan individu. Walhal semuanya itu adalah dugaan dan ujian daripada-Nya sama ada kita ini sentiasa ingat dan taat pada perintah-Nya. Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka |
Thursday, April 7, 2011
Ummah digalak berdoa hadapi ujian kesusahan, kesenangan
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment