Monday, May 2, 2011

Ahli PAS kena desak kepimpinan buat keputusan keluar pakatan.....

Keluar pembangkang mampu selamatkan PAS
Oleh Manja Ismail

2011/05/02
Gabungan dengan PKR, DAP tak banyak bantu prestasi parti

JIKA prestasi dalam pilihan raya boleh dijadikan ukuran, kekalahan PAS berturut-turut dalam beberapa pilihan raya kecil dan sekali lagi gagal menapak di Sarawak dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, ternyata sokongan pengundi khususnya Melayu/Islam terhadap parti itu mulai menurun.

Dalam siri pilihan raya kecil yang menyaksikan pertembungan UMNO dengan PAS, parti pembangkang itu hanya berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu tetapi kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan. Dalam beberapa pilihan raya kecil membabitkan kerusi yang disandang Barisan Nasional (BN) selepas itu, PAS bukan saja, kalah tetapi majoriti yang dicatat oleh calon-calonnya menurun secara ketara.
Kegagalan berturut-turut PAS di Tenang, Kerdau dan Merlimau turut mengundang kritikan bukan saja di kalangan parti itu tetapi daripada pemimpin parti lain dalam pakatan pembangkang. Kekalahan calon PAS di DUN Tenang misalnya, mula menghilangkan keyakinan sekutu kuatnya DAP apabila Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng secara terang-terangan menyifatkan jentera kempen PAS lemah. Walaupun PAS berjaya meningkatkan sedikit undi popularnya di lima kerusi DUN di Sarawak, ia lebih berpunca daripada undi protes pemilih di negeri itu berbanding sokongan terhadap perjuangan parti.
Justeru, apabila Datuk Seri Najib Razak kelmarin mempelawa PAS untuk menyertai BN dalam usaha memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara, ia bukan sekadar permainan politik, tetapi lebih kepada survival parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu sendiri.

Ini kerana penyertaan PAS dalam pakatan pembangkang selama ini dilihat tidak pernah menguntungkan mereka dalam politik.

“PAS tak dapat apa-apa keuntungan, sebab itu tak ada makna (mereka) kekal dalam pakatan pembangkang, sama ada dia nak bergabung dengan kita (BN), itu soal lain. Tapi yang saya nak tekankan, dia (PAS) tidak ada mendapat apa-apa manfaat malah secara tidak langsung menguntungkan parti DAP,” kata Najib di Kuala Terengganu kelmarin.

Memang jika dilihat kepada keputusan pilihan raya, PAS paling sedikit menerima manfaatnya daripada pakatan pembangkang berbanding DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini kerana kehadiran dan bantuan PAS di kawasan majoriti bukan Melayu atau kawasan bandar memberi kemenangan besar kepada calon DAP atau calon bukan Melayu daripada PKR.
Bagaimanapun, bagi kawasan luar bandar dengan majoriti pengundi Melayu, PAS terpaksa berjuang sendirian kerana kehadiran DAP bukan saja tidak banyak membantu, malah boleh mengalihkan sokongan pengundi terhadap parti itu. Senario ini jelas dilihat kepada dua pilihan raya kecil terakhir yang menyaksikan BN dapat meningkatkan majoriti kemenangannya baru-baru ini.

Ini belum termasuk prinsip asas perjuangan PAS dan DAP yang jelas amat jauh berbeza. Bukan rahsia lagi, PAS dilihat lebih banyak mengalah kepada DAP terutama membabitkan matlamat perjuangannya seperti yang sering dicanang oleh parti itu, mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Seperti kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang tidak ubah sebagai ‘strange bed partner’, dengan kepentingan dan tujuan parti itu amat berlainan berbanding parti lain dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mungkin tidak berfikir sedemikian. Seperti sebelumnya, Menteri Besar Kelantan itu, kelmarin menegaskan bahawa PAS tidak akan keluar daripada pakatan pembangkang.
“Tolak, tolak, itu perkara lama,” kata Nik Aziz kepada pemberita di Kota Bharu sebagai mengulas kenyataan Najib supaya parti itu meninggalkan pakatan pembangkang. Begitupun, umum mengetahui kebanyakan kenyataan Nik Aziz sejak akhir-akhir ini tidak lagi mencerminkan pendirian rasmi PAS.

Hakikatnya, di kalangan kepemimpinan PAS sendiri sudah menyedari risiko jalinan kerjasama parti itu dengan DAP sejak dulu lagi. Itulah sebabnya timbul cadangan kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO yang dicetuskan sendiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti dua tahun lalu, bagi membincangkan kepentingan umat Islam di negara ini.

Namun, Nik Aziz bukan saja menentang cadangan itu, malah mendesak PAS mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyingkirkan beberapa pemimpin parti itu yang dikategorikan prokerajaan perpaduan iaitu Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Kalau PAS dilihat tidak sekata dengan DAP dari segi prinsip perjuangan yang berbeza, masalah parti itu dengan PKR dilihat lebih menjurus kepada layanan terhadapnya. Lihat saja apa berlaku kepada Hassan Ali bila menyuarakan pandangan parti itu terhadap beberapa keputusan kerajaan PKR di Selangor.
Terbaru ialah kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terhadap kenyataan Mustafa bahawa PAS akan mengkaji semula masa depannya bersama pakatan pembangkang, jika siasatan pihak berkuasa membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lelaki dalam rakaman video seks.

“Apakah benar Mustafa Ali keluar kenyataan begitu untuk menyinggung Keadilan (PKR) dan DSAI (Anwar)? Rakyat tuntut penjelasan. Pimpinan perlu akur (dengan) kerangka besar agenda bersama pakatan rakyat. Jangan jadi jaguh kampung yang tidak lagi relevan tapi mahu perhatian,” kata Azmin seperti dipetik dari laman Twitternya. Walaupun Mustafa kemudian menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian, komen Azmin dilihat oleh kebanyakan ahli PAS agak kasar yang tidak sepatutnya dinyatakan apalagi terhadap seorang pemimpin kanan dan veteran parti itu.

Berdasarkan beberapa perkembangan ini, tidak salah rasanya kepemimpinan PAS menilai secara jujur kedudukan mereka dalam pakatan pembangkang sekarang walaupun cadangan itu datang daripada musuh politiknya. Dalam politik, tidak ada kawan dan musuh yang kekal. Yang utama ialah survival parti untuk mencapai matlamat perjuangan.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]