Monday, May 2, 2011

Penyertaan PAS hanya rugikan Melayu-Islam

Minda Pengarang: PAS sepatutnya sedar penyertaan dalam pakatan rugikan Melayu-Islam


2011/05/02
SEJAK menyertai pakatan pembangkang, PAS dilihat lebih mengikut telunjuk rakan sekutunya terutama DAP. PAS langsung tidak mempunyai ruang untuk menyuarakan pendirian mereka, apatah lagi untuk menegakkan sebuah negara Islam yang menjadi dasar perjuangan mereka. Setiap kali PAS cuba melaksanakan sesuatu usaha berdasarkan kepentingan Islam, awal-awal lagi rakan sekutunya akan menyatakan kurang senang mereka dengan program PAS dengan alasan ia mencetuskan kebimbangan penyokong pakatan khususnya kepada bukan Islam. Hakikatnya, PAS terpinggir dalam pakatan pembangkang dan suara serta tindakannya semata-mata mahu menjaga hati DAP. PAS hanya digunakan untuk meraih sokongan orang Melayu, tetapi apabila sudah berkuasa DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memonopoli kuasa dan menentukan corak pemerintah seperti yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Justeru, kenyataan Datuk Seri Najib Razak ketika di Terengganu, kelmarin supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang adalah wajar kerana ia bukan saja merugikan PAS, tetapi orang Melayu-Islam di negara ini. Perdana Menteri yakin tiada sebab lagi bagi PAS untuk terus berbaik-baik dengan rakan sekutunya itu kerana sudah jelas bahawa DAP tidak pernah memperjuangkan Islam, malah menolaknya sama sekali sejak awal lagi.

PAS seharusnya mampu untuk menentukan arah perjuangannya sendiri tanpa perlu didalangi DAP atau PKR. Banyak pihak melihat PAS sebenarnya memiliki jentera parti yang lebih tersusun berbanding rakan sekutunya itu, tetapi kekuatan yang ada hanya diperkudakan oleh DAP untuk kepentingan politik sempit mereka yang berasaskan perkauman. Kita percaya orang Melayu dapat melihat situasi ini dan kita tidak menolak ia antara punca utama PAS tewas kepada calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil lalu. Kerjasama rapuh PAS-DAP ini hanya menguntungkan sebelah pihak iaitu DAP yang mendapat banyak manfaat. Sokongan terhadap DAP semakin kuat terutama daripada orang Cina seperti yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak pada pertengahan April lalu. Kita percaya di kalangan ahli dan pemimpin PAS sendiri turut merasai keadaan yang sama bahawa ‘berkawan’ dengan DAP hanya merugikan PAS.
Apapun, pertelingkahan tanpa kesudahan antara UMNO dan PAS hanya merugikan orang Melayu-Islam. Apabila orang Melayu yang menjadi majoriti dalam negara ini berbalah dan berpecah mereka sebenarnya akan menjadi lemah, malah menjadi minoriti. Jika keadaan itu berlaku sudah pasti ia akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu terutama DAP untuk memperluaskan pengaruhnya. Kita percaya DAP secara senyap hanya mentertawakan PAS kerana mereka berjaya dipergunakan. Persoalannya, dapatkan PAS melihat keadaan yang berlaku ini. Seperti kata Perdana Menteri jika PAS serius mahu memperjuangkan Islam maka parti itu tidak boleh bekerjasama dengan DAP kerana itu adalah realiti politik, mereka mempunyai ideologi sangat berbeza. Kita tidak mengharapkan antara UMNO-PAS sebagai parti mewakili orang Melayu-Islam terbesar di negara ini dapat bergabung dalam waktu yang singkat ini. Namun, kita mengharapkan PAS sedar penyertaan mereka dalam pakatan pembangkang tidak menguntungkan orang Melayu-Islam. PAS sewajarnya keluar daripada pakatan pembangkang. Saranan Perdana Menteri ini tidak wajar dilihat sebagai satu muslihat politik, tetapi perlu dipertimbangkan secara rasional. PAS perlu memikirkan perkara ini semasak-masaknya. PAS mungkin lupa musuh sebenar mereka bukan UMNO tetapi DAP dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]