Monday, May 2, 2011

Relakah anak cucu anda jadi 'pengemis' di tanah air sendiri......

Melayu merempat di tanah air sendiri jika terus bersengketa
Oleh Muhammad Anwar Fahmi Abdullah

2011/05/02
SENARIO ledakan globalisasi terkini adalah pancaroba ketamadunan masyarakat dalam pelbagai aspek yang meliputi perpecahan dalam rumah tangga, organisasi, masyarakat, parti politik mahupun konflik antara negara.

Pada hakikatnya ia tidak langsung memberikan kekuatan untuk pihak berkonflik, bertegang urat, berselisih faham, prasangka, perang mulut dan cantas mencantas sesama sendiri mahupun antara puak, kabilah dan negara. Pada hakikatnya juga setiap tindakan ke arah perpecahan, konflik atau permusuhan bakal menjahanamkan masa depan keluarga, masyarakat, negara mahupun secara afdalnya dirujuk kepada bangsa itu sendiri.
Perkembangan mutakhir ini amat membimbangkan pelbagai pihak kerana konflik ini mampu merencatkan road map atau perancangan serta agenda yang ingin dicapai oleh mana-mana pihak demi kepentingan umum khususnya agama, bangsa dan negara.
Islam malah mana-mana budaya dan norma masyarakat melarang perpecahan antara manusia, perang mulut antara negara malah perpecahan yang menjurus kepada konflik berpanjangan.

Merujuk firman Allah dalam surah al-Anfaat ayat 46 yang bermaksud: “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati, sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.”

Namun, dunia pancaroba yang mengharungi ledakan perkembangan globalisasi mengheret manusia saling bersaing sehinggakan kita lupa tanggungjawab sebagai khalifah di bumi yakni menyeru kebaikan dalam setiap urusan kebajikan dan menuju kebenaran serta membawa kesejahteraan.

Namun, benarlah firman Allah SWT, bahawa perbalahan, saling membantah dan kecelaruan berpanjangan bukan saja bakal menjahanamkan masa hadapan antara pihak berbalah, malah nikmat dunia diberikan Allah SWT juga bakal ditarik tanpa disedari kedua-dua pihak yang berbalah.
Perselisihan, percanggahan pendapat, perjuangan kepartian sesama pemimpin, golongan dan parti akhirnya membuka peluang luas untuk pihak tidak bertanggungjawab mengutarakan isu kepentingan hak pribumi dan penghapusan keistimewaan Melayu di negara ini.

Individu berkaitan juga menyatakan beliau akan menyokong penuh parti yang sanggup menggugurkan hak pribumi yang sedia terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga di bawah kemuliaan serta pemeliharaan di bawah kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Sedar atau tidak walaupun pahit bak hempedu, rakyat wajar sensitif dengan kenyataan terbuka dan juga menyentuh hak Bumiputera di negara ini yang sudah lama terpelihara mengikut tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu dan juga Undang-Undang tertinggi di Malaysia yakni Perlembagaan Persekutuan.

Namun, lantaran sikap ingin menegakkan perjuangan mengikut rentak tari sedia ada kita lupa, Temasek melayang dari Malaya, Pulau Batu Putih dihanyutkan Kapal Dagang Singapura kini apa lagi yang tinggal.

Biar seribu ucapan dilaungkan, suatu hari kita akan merempat di tanah air sendiri. Setiap warga negara tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan wajar memahami sensitiviti kaum, jauhi usaha menggugat hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah, Sarawak.

Kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuka ruang cukup luas, demi menjaga perpaduan kaum di negara ini. Beliau merealisasikan Gagasan 1Malaysia, maka keseluruhan rakyat mendapat pelbagai peluang secara realistik dari semasa ke semasa tanpa menggugat hak keistimewaan golongan Bumiputera.

Namun, perselisihan antara tiga perkara pokok yang membabitkan retorik komunikasi antaranya Ethos, Pathos dan Lagos mengheret pemimpin berkonflik malah penyokong parti turut mengikut rentak tari, apapun perjuangan kita, jangan sampai kita lupa akan keruntuhan tamadun yang sudah lama kita bina.

Sejarah Kesultanan Melayu Melaka turut menjadi saksi lantaran perpecahan pemimpin, umat Islam serta rakyat menyebabkan penjajah mencuri peluang meluaskan sayap dan mengaut segala hasil bumi Malaya, namun siapa yang masih mengenang sejarah lagi, kita bangsa yang jarang sekali ingin merenung apa lagi untuk berfikir.

Penulis ialah Pensyarah Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]