Sempena sambutan Ulangtahun UMNO pada hari ini, saya siarkan titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah Alhaj, sewaktu baginda membuka Persidangan Kongres Melayu di Selangor yang kemudian membuat tiga resolusi, salah satu ialah menubuhkan UMNO. Dengan resolusi ini, UMNO ditubuhkan. Selepas itu, barulah UMNO dilancarkan secara rasmi di Istana Johor. Ucapan ini disiarkan dalam akhbar "Majlis" Mac 1946. Dalam ucapan ini, Tuanku Sultan memberikan nasihat yang cukup bermakna kepada semua orang Melayu: Kami dengan penuh kesukaan melihat tuan-tuan sekelian datang berkumpul di sini dari segenap negeri di dalam Tanah Melayu. Sangat-sangat sukacita kami melihat tuan-tuan semua datang berhimpun kerana hendak menubuhkan persatuan umat Melayu yang sebenar-benar bersatu dari segala pihak. Bersatu itu memanglah satu perkara yang amat baik dituntut oleh adat, dituntut oleh akal dan dituntut oleh agama. Banyak perkara besar-besar yang boleh dapat dibuat apabila betul-betul bersatu walaupun pihak yang bersatu itu kecil-kecil sahaja. Tuan-tuan sekelian tentulah sedia maklum benar-benar akan faedahnya bersatu itu istimewa pula dalam keadaan yang terhadap kepada umat Melayu sememangnya pada masa ini. Bahkan sekiranya tuan-tuan tidak sedar faedahnya bersatu tentulah tuan-tuan tidak berkumpul di sini pada hari ini hendak bersatu. Tentang tahu dan sedar akan faedahnya dan mustahaknya mesti bersatu itu pada segala hal kami yakin memang dari beberapa lama dahulu pun tuan-tuan sekelian telah sedia tahu. Tetapi dari dahulu belum dilorongkan Tuhan jalan dan sebab-sebab memperolehnya dengan secukup luas seperti yang telah dilorongkan pada hari ini. Adapun sekarang dengan pertolongan Allah telah dibukanya jalan itu dengan didatangkannya sebab-sebab yang menyeru kepada bersatu lebih-lebih luas dan padu lagi daripada yang sudah-sudah. Maka bersatulah tuan-tuan sekelian dengan sebenar-benarnya dan marilah umat kita sekalian bersama-sama kepada bersatu itu. Kalau tidak bersatu betul-betul nescaya satu pun kerja besar tidakkan boleh disempurnakan. Satu perkara kami suka mengingatkan yang itu dalam sesuatu segala pekerjaan bersatu itu sebagaimana dalam segala pekerjaan lain-lain juga hendaklah jangan sekali-kali lupa akan hal agama. Tuan semua tahu bahawa agama kita tidak lupa akan perkara bersatu. Agama memang menyeru dan mengajar kita bersatu sebab itu kita bersatu itu janganlah lupakan agama pula. Misalnya tuan-tuan semua bermesyuarat ini bila sampai waktunya tentulah akan pergi menunaikan sembahyang dan mengingatkan Tuhan serta memohonkan pertolongannya dijayakan segala kerja dan tujuan-tujuan mesyuarat ini. Demikian awal dalam segala tujuan yang telah mendorongkan tuan-tuan mengikat pertubuhan bersatu ini. Janganlah dikhaskan semuanya bagi perkara dunia dan siasah dan pelajaran dunia yang akan tuan-tuan rundingkan. Perkara agama dan hal ehwal kewajipan kita bagi akhirat pun mustahaklah juga termasuk sama jangan ketinggalan. Tuan-tuan tentu bersetuju bahawa agama itu ialah panduan yang sangat mustahak bagi kehidupan manusia sama ada untuk keselamatan dunia atau diri kita yang zahir ini dan untuk keselamatan akhirat dan diri kita yang batin alam rohani. Orang-orang yang tidak beragama dan tidak mengaku ada Tuhan dan balasan baik jahat tentulah tidak ada tempatnya yang layak dalam pergaulan manusia dan dalam bahagian kebajikan, walau berapa tinggi pun bahasanya dan ilmunya pada pihak dunia. Oleh sebab itu kami kuatkan sangat-sangat supaya tuan-tuan semua jangan melupakan agama, istimewa pula melupakan Tuhan sesekali dalam segala pekerjaan yang tuan-tuan akan jalankan. Kami berdoa barang diberkati Tuhan pekerjaan tuan-tuan semua. |
Saturday, May 21, 2011
DAULAT TUANKU
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment