Terlebih dulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia, Jack Straw atas ucapan pengenalan beliau yang begitu indah; Dr Farhan Nizami, seorang cendekiawan terkemuka yang telah saya kenali sejak sekian lama; dan semua wakil daripada dunia akademik, perniagaan dan diplomatik yang hadir di sini hari ini.
Saya amat berbesar hari kerana dapat bersama-sama anda sekalian sebagai tetamu Universiti Oxford di mana, pada awal tengah hari tadi, saya telah berpeluang mengadakan perjumpaan dengan beberapa penuntut muda yang berbakat besar dan melawat bangunan OCIS, suatu persekitaran yang sungguh mendamaikan, hasil daripada percantuman tradisi Islam dan Melayu dengan warisan Oxford yang begitu kaya dengan kehebatannya.
Saya berasa amat bertuah kerana berpeluang untuk berada di Sheldonian Theatre, dewan yang telah menjadi pentas ucapan tokoh-tokoh terkemuka sejak lama dulu. Setiap tahun, berpuluh rakyat Malaysia datang ke Oxford untuk melanjutkan pelajaran, menjadikan Kelab Malaysia Universiti Oxford sebagai kampung halaman mereka ketika berada di perantauan. Biasiswa Khazanah-OCIS Merdeka, yang diwujudkan pada 2006 sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia, menjadi pemangkin kepada pertambahan jumlah pelajar Malaysia yang datang ke sini. Hasil daripada kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan OCIS untuk mengadakan kajian tentang isu baru yang muncul dalam bidang kewangan Islam, hubungan antara negara kita, Insya- Allah, akan menjadi bertambah kukuh.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Kepelbagaian, dialog dan perkongsian hidup secara aman merupakan tema penting dalam Islam. Dalam kitab suci al-Quran, Allah SWT berfirman bahawa Dia mencipta manusia daripada pelbagai kaum dan keturunan sebagai suatu rahmat agar mereka boleh berkenal-kenalan dan memanfaatkan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan mereka. Oleh itu, sejak bilakah Islam sinonim dengan keganasan? Kenapakah mereka yang menganjurkan kebencian dan tindakan melampau sanggup mencemarkan Islam, agama yang menganjurkan keamanan dan kasih sayang? Adakah tindakan melampau oleh segelintir umat Islam ini boleh dianggap mencerminkan ajaran Islam yang sebenar dan perangai penganutnya? Tafsiran yang amat salah ini sungguh mendukacitakan saya dan seluruh umat Islam.
Mungkin empat pemuda yang menuju ke selatan Yorkshire pada suatu pagi Julai berpendapat bahawa dengan membawa bom buatan sendiri dalam beg galas masing-masing, mereka membuktikan bahawa mereka adalah "umat Islam sejati". Mungkin mereka berfikir bahawa dengan meletupkan diri masing-masing, mereka bertindak seperti yang diperintahkan oleh Allah atau mematuhi ajaran al-Quran? Mereka tersilap besar.
Saya ingin menegaskan bahawa mereka yang memasang bahan letupan pada tubuh masing-masing dan meletupkan diri mereka, bukan tergolong sebagai syuhada. Mereka tidak mewakili ajaran Islam. Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya sesat dan melakukan dosa yang amat besar. Begitu juga halnya, semua mereka yang menganjurkan kebencian dan menyalakan api permusuhan yang membawa kepada tindakan kufur itu, turut berdosa seperti pihak yang menganjurkan kejahatan tersebut juga. Kita bersimpati dengan mangsa mereka yang terdiri daripada golongan tidak bersalah, orang awam yang menjalani kehidupan seharian masing-masing. Islam tidak pernah menghalalkan tindakan jahat sedemikian. Ia juga bukan sebahagian daripada ajaran islam.
Malah, Islam mencegah perbuatan membunuh diri; seperti yang disebut dengan jelas dalam kitab suci al-Quran, Surah 2 Ayat 195, bermaksud: “Janganlah sekali-kali kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan". Ini menunjukkan bahawa tindakan membunuh diri dilarang sama sekali dalam sebarang keadaan. Dalam Islam, nyawa adalah sesuatu yang diamanahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan nasib seseorang manusia itu hanya ditentukan oleh-Nya.
Perlu dijelaskan bahawa menurut “maqasid syariah”, kewajipan paling utama ialah melindungi dan memulihara nyawa.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Mewujudkan sebuah dunia yang bebas daripada keganasan bukanlah sesuatu yang mustahil. Kita mampu mencapainya. Bagaimanapun, ia memerlukan lelaki dan wanita yang memiliki sikap berkasih sayang terhadap sesama insan, tanpa mengira kaum; ia memerlukan mereka yang menganjurkan sifat sederhana; ia menuntut agar kita tidak lagi menjadi golongan majoriti yang hanya berdiam diri, tetapi mula mempamerkan keberanian dan keyakinan dalam menunaikan tanggungjawab. Kita perlu menangani perkara yang menjadi punca berlakunya keganasan global. Tindakan hanya memburu individu tertentu, menghancurkan pertubuhan mereka, memporak-perandakan kekuatan kewangan mereka dan memburuk-burukkan ideologi mereka semata-mata, adalah jauh daripada mencukupi. Kita perlu mampu membezakan antara gejala dan punca utama yang menyebabkannya berlaku. Melalui cara ini sajalah, kita akan dapat mencapai penyelesaian berkekalan.
Memang amat mudah untuk mengatakan bahawa penyelesaian bagi fahaman pelampau Islam boleh dicapai apabila lebih ramai umat Islam diberi peluang untuk menyuarakan pandangan mereka. Ya, itu memang menjadi tanggungjawab kita, tetapi ia bukanlah tanggungjawab di pihak kita saja. Seperti mana umat Islam perlu menyuarakan pandangan mereka, begitu jugalah halnya bagi penganut agama Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan golongan ateis yang bencikan sifat tidak mahu bertolak ansur, keganasan dan kekejaman. Kita perlu mendengar suara golongan yang berpendirian sederhana di semua negara dan dari semua lapisan kehidupan. Jika ini dilakukan, kita semua akan dapat melihat wujudnya keamanan sebagai ganjarannya.
Sekiranya seorang lelaki yang berdiri di tengah jalan raya hanya dianggap sebagai seorang pengacau, tetapi jika 10 orang berdiri bersama-sama di situ, tentu tindakan mereka tidak boleh dipandang sebelah mata saja. Dan jika jumlah 10 orang itu bertambah menjadi seratus, seribu, sejuta dan malah satu bilion orang dan seterusnya membentuk suatu kumpulan besar dan bersatu dalam memperjuangkan niat mereka, maka golongan yang menganjurkan kebencian akan hanya mempunyai satu pilihan saja. Mereka sama ada menyertai kita atau kekal dengan pendirian mereka, sebelum hancur, hasil daripada kesungguhan kita untuk bertindak sebagai satu pasukan.
Oleh itu, semua pihak yang menghargai kesederhanaan, maruah dan keadilan, tidak kira di mana jua mereka berada, perlu berdiri teguh dan dengan penuh bersemangat untuk menghapuskan golongan yang menganjurkan keganasan dan menafikan hak mereka yang berpendirian sederhana untuk memastikan kekecewaan, biar di mana jua ia dirasai, diberi perhatian, dan setiap pandangan yang disuarakan, didengari.
Ringkasnya, kita tidak boleh membiarkan saat ini dikuasai oleh puak pelampau, di mana mereka yang bersuara paling lantang, akan memperoleh manfaat paling besar.
Sebab itulah kita semua berada di sini pada petang ini iaitu untuk memupuk kemajuan, bukan menyebabkan berlakunya pertembungan budaya, tetapi untuk meningkatkan persefahaman, dan malah, mungkin untuk meraikan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita atau berkongsi segala yang kita miliki. Kemodenan dan kesederhanaan perlu bergerak seiring. Dialog antara kita perlu diteruskan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Izinkan saya bercerita tentang pengalaman Malaysia. Takdir dan sejarah menghadiahkan kepada kami sebuah negara bangsa yang menjunjung tinggi kepelbagaian. Malaysia bukan saja dianugerahi dengan kepelbagaian etnik, tetapi juga dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan agama. Sejak negara kami mencapai kemerdekaan pada 1957, kecuali ketika berlaku Peristiwa 13 Mei, rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan stabil.
Di Malaysia, Islam adalah sinonim dengan kesederhanaan, keterangkuman dan tadbir urus yang baik. Enam puluh peratus daripada rakyat Malaysia beragama Islam, manakala 40 peratus lagi menganut pelbagai kepercayaan lain seperti Buddha, Tao, Confusianisme, Kristian, Hindu dan Sikh. Walaupun Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi ia melindungi hak semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni.
Dengan wujudnya kepelbagaian ini, perpaduan nasional terus menjadi objektif utama kami. Sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada April 2009, saya terus menjadikan matlamat penting ini sebagai keutamaan dalam pentadbiran saya dengan berpandukan falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Dalam mengurus masyarakat kami yang bersifat majmuk, kami mengamalkan integrasi, bukan asimilasi. Rakyat Malaysia menerima kepelbagaian yang wujud dalam kalangan mereka. Kami bukan saja bertolak ansur antara satu dengan lain, tetapi juga menjadikannya sebagai suatu amalan dan meraikannya. Melalui kekuatan dan dinamisme yang wujud dalam kepelbagaian ini, kami menjadikannya asas ketahanan negara.
Dalam tempoh hanya 50 tahun, rakyat Malaysia berjaya mengubah negara mereka daripada sebuah ekonomi pertanian berpendapatan rendah yang bergantung pada beberapa komoditi, kepada sebuah negara kepelbagaian industri moden berpendapatan sederhana tinggi. Program Pembangunan Bangsa Bersatu kini mengklasifikasikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai Indeks Pembangunan Manusia yang tinggi.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Islam diamalkan sebagai suatu cara hidup di Malaysia. Kerajaan mengamalkan pendekatan Wasatiyah atau kesederhanaan berimbang dalam menggubal dan melaksanakan dasar domestik atau dalam melaksanakan hubungan antarabangsa. Izinkan saya menjelaskan perkara ini agar tidak wujud kekeliruan atau salah tanggapan.
Saya ingin menegaskan bahawa prinsip kesederhanaan bukan sesuatu yang baru dalam Islam. Wasatiyah berulang kali disebut dalam al-Quran. Ayat 143 Surah 2 menyebut, marfumnya: “Kami jadikan kamu umat yang seimbang". Kitab suci ini seterusya menyebut bahawa kesederhaan menghasilkan keadilan dan keadilan bererti ilmu pengetahuan dan kebebasan. Oleh itu, perlu diingatkan bahawa pendidikan, yang disertai prinsip demokrasi kebebasan, membolehkan kita memilih apa yang baik dan terpuji. Adalah sesuatu yang logik bahawa kesederhanaan bererti memilih jalan yang lurus dan betul. Mereka yang berfahaman sederhana perlu mempertahankan ideal ini. Apa yang palsu atau mengelirukan, perlu ditolak dan dibuang.
Kesederhanaan juga dianjurkan oleh agama Kristian. Izinkan saya memetik kandungan Bible, Philippians Bab 4 Ayat 5, yang bermaksud: “Sebarkanlah kesederhanaan kepada semua manusia..."
Ayat itu menyeru semua penganut Kristian supaya menjalani kehidupan mereka secara sederhana dan tidak melakukan sesuatu secara berlebihan. Agama Yahudi juga menyeru kepada kesederhanaan. Kitab Taurat mengajarkan kesederhanaan dan etika, sikap dan sifat yang perlu diamalkan dalam kehidupan sebagai suatu cara hidup dalam erti kata yang sebenar-benarnya mengenai adat resam bangsa Yahudi. Dalam ajaran Tao, prinsip kesederhanaan dianggap sesuatu yang amat penting dalam pembangunan diri seseorang dan menjadi satu daripada tiga tiang utama ajarannya.
Tidak wujud apa yang dikenali sebagai Islam liberal atau Islam pelampau, Islam konservatif atau Islam makrifat, Islam jihad atau Islam penyerahan atau Islam pertengahan. Yang ada hanyalah Islam, satu cara hidup yang lengkap. Mengamalkan sikap sederhana bukan bererti bersikap bacul, tidak berprinsip, lemah atau menyerah saja.
Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,
Dalam mematuhi tradisi Islam terbaik, Malaysia tidak akan menyimpang daripada menyokong apa yang betul dan adil, tidak kira sama ada sesuatu perjuangan itu diterajui oleh dunia Islam atau bukan. Kami tidak akan berundur daripada mempertahankan golongan yang lemah dan tertindas, tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Kami tidak akan kelu daripada menyuarakan kebenaran.
Kini, kita semua amat menyedari tentang bahaya keganasan dan kekejaman puak pelampau. Akibat serangan 9/11, hinggalah kepada pengeboman di Madrid dan Bali, kepada kemusnahan yang dilakukan di London ini, banyak manusia terus dilanda ketakutan akan kehilangan nyawa.
Ketika sejarah keganasan dan kekejaman yang melampau terus dilakar, plotnya tetap berkisar pada satu soalan - kenapakah manusia mengambil langkah yang begitu teruk hingga sanggup mencabut nyawa orang lain atau nyawa mereka sendiri? Saya yakin ramai yang hadir di sini sedar tentang faktor umum yang menyebabkan manusia sanggup melakukan kekejaman itu. Sering disebut bahawa kekurangan pembangunan ekonomi dan pendidikan menyebabkan manusia mengambil langkah yang bersifat pelampau, termasuk melakukan keganasan. Dalam kes lain, ia berpunca daripada perasaan kecewa dan hilang harapan. Penghinaan juga merupakan satu lagi puncanya. Walaupun ramai yang mengakui tentang kebenaran faktor ini, tetapi, jika kita amati, kita akan dapati bahawa sesetengah pengganas berasal daripada keluarga berada dan yang berpendidikan tinggi.
Dalam kebanyakan kes, keganasan terus wujud hasil daripada gabungan semua faktor itu. Bagi mereka, keganasan merupakan suatu cara untuk mencapai matlamat politik. Mereka juga bersembunyi di sebalik topeng agama untuk memperjuangkan matlamat itu. Sesetengahnya pula percaya bahawa agama dan tamadun lain menjadi musuh mereka dan tidak memberi ruang untuk memungkinkan wujudnya kehidupan secara bersama secara aman. Bagi mereka, dalam dunia ini, sesuatu golongan itu hanya boleh menang apabila pihak lain, kalah. Mereka menganjurkan fahaman ini untuk mendorong pihak lain supaya berjuang dan berkorban untuk mencapai matlamat mereka. Oleh itu, dengan cara tersendiri, peranan agama secara ironisnya, meningkatkan skala dan bahaya ancaman pengganas.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Keganasan dan gerakan pelampau merupakan ancaman serius. Untuk mengatasinya memerlukan pemikiran secara jelas, yang berpandukan kepada penilaian terhadap sesuatu keadaan dibuat secara objektif. Faktor utama yang menyebabkan wujudnya gerakan pelampau secara global ialah masalah Timur Tengah yang masih belum selesai dan nasib malang yang menimpa rakyat Palestin. Perkara ini telah menghantui masyarakat global sejak sekian lama. Setiap negara yang cintakan keamanan dan ingin melihat wujudnya dunia yang lebih baik, perlu berusaha ke arah mencari penyelesaian berkekalan, berdasarkan prinsip penubuhan dua negara yang berdaya maju serta keadilan bagi semua pihak yang terbabit.
Malaysia secara tegas menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mempunyai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan berdaya maju di bawah naungan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu. Dunia berkewajipan menebus maruah rakyat Palestin; rakyat Palestin telah menderita terlalu lama. Mereka telah diusir dari tanah air mereka, rumah mereka dimusnahkan di depan mata mereka; mereka dihina dan ditakluk, tetapi dunia hanya melihatnya sambil berpeluk tubuh. Mereka ditindas dan dinafikan hak asasi kehidupan. Sudah tiba masanya tindakan sebenar diambil, bukan lagi sekadar melihat serta bersuara dengan penuh retorik.
Dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan perjuangan lain yang luhur, Malaysia tidak akan menyokong keganasan yang dilakukan terhadap mereka yang tidak mengangkat senjata, orang awam, wanita, kanak-kanak, orang tua dan mereka yang lemah. Ringkasnya, mereka yang tidak mampu mempertahankan diri, biar apa pun alasannya. Ada yang berhujah bahawa keadaan terdesak membawa kepada wujudnya kaedah peperangan yang tidak bersifat ortodoks. Saya ingin menggesa mereka supaya menjunjung prinsip Islam bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.
Sebab itulah, di PBB pada September tahun lepas, saya menyeru agar ditubuhkan Gerakan Golongan Berpendirian Sederhana Global yang akan menyaksikan kerajaan, golongan intelek, cendekiawan agama dan pemimpin perniagaan dari seluruh dunia, mengamalkan pendirian bersepadu. Inilah semangat Wasatiyah – ‘kesederhanaan atau berimbang – yang perlu wujud di seluruh dunia sekarang.
Tidak syak, skala dan kepantasan peristiwa yang berlaku di seluruh dunia Arab dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ada kalanya dilihat hampir tidak mampu diatasi. Bagaimanapun, di tengah-tengah keadaan kacau-bilau dan kecelaruan ini, kita tidak sepatutnya lupa bahawa negara berkenaan dan rakyatnya kini berdepan dengan pilihan yang sukar untuk dibuat – pilihan antara gerakan pelampau dan yang bersifat tidak bertolak ansur, yang tampil untuk mengisi kekosongan yang wujud, dan sikap sederhana yang aman serta demokratik, yang akan memberi kepada mereka lebih banyak kebebasan untuk bersuara.
Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,
Seperti yang dikatakan oleh Samuel Johnson, masyarakat tidak boleh wujud hanya melalui hasil daripada timbal balas sikap bertolak ansur dan begitulah caranya bagaimana Malaysia yang moden, yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, pelbagai agama dan pelbagai budaya, bukan saja boleh wujud, tetapi juga boleh maju dan berkembang. Jauh daripada menggalakkan "budaya yang berbeza menjalani kehidupan secara berasingan, berasingan daripada satu sama lain dan berasingan daripada arus perdana", integrasi dan keterangkuman yang sentiasa menjadi amalan Malaysia, menjadi kunci bagi negara kami untuk mencapai kejayaan.
Sekiranya pendirian saya ini dianggap sesuatu yang idealistik, ia memang sebenarnya sesuatu yang idealistik. Ramai cendekiawan Islam tersohor sedang memikirkan bagaimana Islam, dengan pandangan agama, budaya, politik, etika dan ekonominya boleh membantu menyelesaikan sesetengah daripada cabaran besar yang kita hadapi sekarang. Persoalan ini amat menarik perhatian saya -- bagaimana kesederhanaan mampu menyelesaikan masalah sikap pelampau dan lebih penting, bagaimana ia boleh membantu kita melepaskan diri daripada cengkaman krisis ekonomi global.
Bukannya satu kebetulan bahawa institusi-institusi yang merumuskan prinsip-prinsip Islam berjaya mengharungi krisis ekonomi terburuk. Kewangan Islam mementingkan hak orang ramai daripada keuntungan individu. Dan mungkin amat bernilai untuk mengetahui bahawa bank Islam tidak dibenarkan untuk membelanjakan dan meminjamkan wang pada jumlah yang lebih banyak daripada apa yang berada dalam tangannya.
Dunia Islam sudah pun menunjukkan yang ia mampu menjadi kuasa ekonomi. Malaysia ialah peneraju kewangan Islam di dunia. Malaysia juga peneraju di dunia dalam pengeluaran sukuk atau bon Islam dengan 60 peratus daripadanya berasal dari Malaysia.
Potensi besar kewangan Islam bukan sukar untuk dilihat. Terdapat lebih daripada satu setengah bilion umat Islam tinggal di negara di seluruh dunia. Terdapat lebih daripada 400 bank Islam di lebih 50 negara, termasuk di sini di United Kingdom.
Dalam hubungan ini, saya percaya kita patut melihat secara dekat mengenai bagaimana struktur kewangan Islam boleh membantu kemunculan ciri baru ekonomi global. Sebenarnya, kewangan Islam menawarkan kesederhanaan dan ketelusan. Berbanding dengan ketamakan, kewangan Islam menawarkan kesamarataan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Kesederhanaan bukannya konsep yang asing kepada manusia. Begitu juga ia bukan bersifat teori saja. Ia merupakan prinsip kehidupan sebenar yang dapat diteladani daripada peribadi mulia Nabi Muhammad (SAW) selepas bertahun-tahun dihina, dikecam dan ditindas oleh kaum Quraisy jahiliah, beliau memulakan pemerintahan di Makkah kemudiannya, dengan penuh bermaruah, bersikap pemaaf dan penuh kasih sayang.
Kesederhanaan juga boleh dilihat daripada peribadi Nelson Mandela yang selepas dipenjarakan selama 27 tahun, 18 tahun daripadanya dikurung dalam sel seluas lapan kaki kali lapan kaki, hanya dibenarkan menerima sepucuk surat dan seorang pelawat setiap enam bulan. Selepas beliau dibebaskan dan apabila ditanya oleh wartawan Sir David Frost “bagaimana anda mengharunginya selama 28 tahun, anda dikurung secara salah dan anda tidak berasa marah dan kecewa?” Mandela menjawab “David, saya ingin sekali untuk berasa marah dan kecewa, tetapi tidak ada masa untuk berasa marah dan kecewa. Ada kerja yang perlu dibuat...".
Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden pada 1994, Nelson Mandela membuat seruan yang amat mengesankan: “Let there be justice for all. Let there be peace for all. Let there be work, bread, water and salt for all. Let each know that for each body, the mind and the soul have been freed to fulfil themselves.”
(Pastikan keadilan untuk semua. Pastikan keamanan untuk semua. Pastikan ada peluang kerja dan makanan untuk semua. Pastikan setiap orang mempunyai kebebasan untuk mencapai impian masing-masing)
Kesederhanaan peribadinya dan kepimpinannya terbukti apabila tiada tindakan balas dendam berdarah di Afrika Selatan bagi semua kekejaman dan ketidakadilan terhadap majoriti kaum kulit hitam semasa rejim aparteid.
Begitu juga, kesederhanaan ditonjolkan dalam diri Mahatma Gandhi, bapa kepada perjuangan tanpa keganasan, yang memerdekakan negara menerusi kepercayaannya bahawa semuanya boleh dicapai menerusi kebaikan.
Kesederhanaan juga dicerminkan dalam perjuangan Reverend Martin Luther King Jr. Dalam impiannya untuk kesamarataan di kalangan semua rakyat Amerika, beliau mencontohi pegangan Ghandi untuk tidak melakukan keganasan dalam perjuangannya dengan enggan meletakkan dirinya pada tahap serendah lawannya.
Dalam kes di United Kingdom, mari kita imbas kembali pada zaman gelap di Utara Ireland. Berpandukan Perjanjian Good Friday, kumpulan ekstremis daripada kedua-dua pihak cuba menjerumuskan negara itu ke kancah keganasan. Tetapi sebahagian besar puak sederhana, daripada puak nasionalis dan yang setia kepada negara, berpadu tenaga dan suara dengan tegas menyatakan "tidak".
Tidak, mereka tidak mahu kembali ke kancah peperangan.
Tidak, mereka tidak bersedia untuk mengorbankan kemakmuran dan keamanan yang sedang dikecapi.
Tidak, mereka tidak rela membiarkan tindakan jahat segelintir manusia menentukan nasib seluruh masyarakat.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Edmund Burke, ahli falsafah, dipetik sebagai berkata: "all that is necessary for the triumph of evil is that good men do nothing." Pilihan kita adalah jelas. Marilah kita sama-sama bertindak demi masa depan keadilan, kebebasan, harapan, ihsan dan semangat muhibah demi anak-anak kita atau ia akan digantikan dengan masa depan yang dipenuhi ketidakadilan, kezaliman, tiada harapan, kekejaman dan kebencian. Kerana jurang sebenar bukanlah di antara Timur dan Barat, atau antara negara maju dan membangun atau malahan di antara Islam dan bukan Islam. Ia adalah antara golongan sederhana dan ekstremis daripada semua agama. Bersama-samalah kita mengamalkan kesederhanaan sebagai cara terbaik untuk bertindak dan cara terbaik untuk maju ke hadapan. Terima Kasih. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment