Thursday, May 19, 2011

HARTA KARUN DI MELAKA

Gerbang Negeri: Melaka pelawa kerjasama swasta keluar harta karun
Oleh Amirullah Andi Nur
arullah@bharian.com.my
2011/05/19
BARU-BARU ini cerita mengenai harta karun yang tenggelam di dasar Selat Melaka di beberapa lokasi berhampiran Melaka kembali dibangkitkan semula. Peninggalan bernilai bilion ringgit itu dilaporkan masih berkubur bersama bangkai kapal pada zaman penjajahan Belanda sekitar 1600 hingga 1700.

Kisah mengenai perkara ini mulanya didedahkan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik, sebelum diulas secara lebih panjang lebar oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Pemimpin Melaka itu menjelaskan betapa kerajaan negeri amat berminat untuk mengeluarkan harta karun berkenaan, namun tidak dapat melakukannya sehingga kini kerana tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.
Dikhabarkan proses mencari dan mengeluarkan barangan bernilai ini memerlukan kira-kira RM3 juta. Itu pun hanya membabitkan sebuah kapal.

Kita tidak pasti berapa jumlah sebenar kapal berada di dasar Selat Melaka ini, namun mengikut beberapa laporan sebelum ini, terdapat sekurang-kurangnya 13 bangkai kapal Belanda meliputi jenis dagang dan perang berkubur di situ.

Semua kapal yang tenggelam ini dikatakan singgah dan berlabuh di Melaka kerana ketika itu ia adalah pelabuhan perdagangan paling terkenal di rantau ini

Antaranya, adalah kapal Middleburg yang dilaporkan tenggelam pada 16 Ogos 1606, selain Wieringen pada 2 Jun 1636; Franeker (pada 18 Januari 1642), Bambeek (pada 12 Januari 1702) dan Overduin (pada 27 Jun 1884).
Semua kapal lama ini dilaporkan berada di dasar Selat Melaka berhampiran Tanjung Tuan (berhampiran Port Dickson, Negeri Sembilan), Tanjung Kling, Tanjung Pinang, Pulau Undang dan Permatang Rumput.

Selain kapal ini, ada juga dilaporkan sekurang-kurangnya enam kapal Portugis turut tenggelam di sepanjang perairan Melaka ini. Ini tidak termasuk 12 bangkai kapal yang berjaya ditemui di perairan Tanjung Tuan oleh sebuah syarikat, Serena Zone Sdn Bhd.

Sehingga laporan ini ditulis, kita tidak pasti apa sebenarnya berlaku kepada semua bangkai kapal terbabit bersama harta karun berharga yang berada di dalam ‘perutnya’ kerana pihak berkuasa terbabit sendiri belum memberi informasi lengkap mengenainya.

Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), agensi kerajaan Melaka yang dipertanggungjawabkan mengurus muzium dan berkaitan harta karun, pada awalnya dilaporkan sudah mengadakan usaha peringkat awal bagi mengenal pasti lokasi tepat semua kapal terbabit.

Bagaimanapun menurut pengurus besarnya, Khamis Abas, pihaknya menghentikan operasi berkenaan selepas kira-kira seminggu berbuat demikian kerana usaha itu diambil alih oleh Jabatan Warisan Negara.

Namun jabatan terbabit juga sehingga kini masih belum memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Berita Harian difahamkan, penyelidikan yang dilakukan oleh mereka juga masih pada peringkat awal sekali gus belum dapat memberi sebarang maklumat lengkap dan tepat mengenai semua harta karun itu.

Kita percaya harta karun yang tenggelam ini bukan saja menarik minat kerajaan Melaka dan Pusat, malah pencari harta karun seluruh dunia pun ramai yang turut tertarik kerana harganya yang tidak ternilai itu.

Bagi pengkaji sejarah pula, tentunya kejayaan membawa naik harta karun bersama bangkai kapal yang tenggelam itu sangat dinantikan kerana ia akan memberi peluang kepada mereka untuk membuat kajian baru mengenai Melaka sebagai pusat perdagangan terkenal rantau ini satu masa dulu.

Malah ia juga mungkin boleh mendedahkan lebih banyak penemuan baru yang selama ini masih tenggelam di dasar Selat Melaka.

Kita tidak pasti jika ramai yang masih ingat pada 2004, sejumlah tembikar dipercayai berusia lebih 200 tahun ditemui kira-kira dua batu nautika di perairan Limbongan, tidak jauh dari pusat Bandaraya Melaka Bersejarah.

Tembikar itu dipercayai adalah dari kapal yang tenggelam di dasar Selat Melaka. Artifak ini berupa produk keluaran China dan Vietnam berjaya dikesan oleh sepasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan alat pengesan sonar.

Mengikut laporan, kerajaan Melaka membelanjakan kira-kira RM171,000 bagi membiayai operasi ini.

Ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri minggu lalu, Mohd Ali berkata pihaknya memerlukan sokongan dan kerjasama dari sektor swasta untuk melaksanakan usaha membawa keluar harta karun terbabit.

Beliau memaklumkan ganjaran akan diberikan kepada mana-mana pihak terbabit yang sedia bekerjasama iaitu berupa satu perempat daripada nilai harta karun berkenaan. Separuh daripada nilai harta karun itu menjadi milik kerajaan Persekutuan, manaka satu perempat lagi milik kerajaan Melaka.

Sebenarnya, tawaran ini bukan pertama kali dibuat oleh Mohd Ali. Beliau pernah berbuat demikian pada 2000 iaitu selepas baru dilantik Ketua Menteri. Bagaimanapun tidak ada maklum balas diterima sehinggalah cerita ini dibangkitkan semula.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]