Monday, May 2, 2011

Kenapa Pas perlu tinggalkan DAP?

Kenapa Pas perlu tinggalkan DAP?

ZACK BEE
Pulau Pinang

APABILA Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Pas meninggalkan pakatan pembangkang jika benar-benar ingin memperjuangkan Islam ia bukanlah satu seruan yang berlandaskan kepada retorik politik.

Tetapi ia seruan ikhlas kepada Pas memandangkan DAP bukanlah parti yang benar-benar jujur bekerjasama dengan sesiapapun.

DAP adalah parti cauvinis yang hanya mementingkan kuasa politik mereka sahaja dan akan bertindak tanpa mempedulikan perasaan rakan-rakan sekutunya.

Mereka bekerjasama dengan Pas bukan kerana hendak membantu Pas mencapai cita-cita perjuangan parti berkenaan tetapi semata-mata untuk memperalatkan Pas bagi mendapat sokongan orang Melayu.

Sebab itulah, jika Pas masih berada dalam pakatan berkenaan, Pas harus melupakan soal perjuangan Islamnya kerana DAP sama sekali tidak akan mengizinkan ia direalisasikan.

Sebelum ini kita sudah menyaksikan bagaimana ada pemimpin DAP dengan lantang memberi amaran kepada Pas supaya 'langkah mayat dia dahulu' kalau mahu menegakkan perjuangan Islam.

Semua itu sepatutnya memberikan peringatan kepada Pas bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak sensitif dan akan melakukan apa sahaja bagi membolehkan ia menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang.

Ertinya, apabila Pas sudah berada dalam pakatan berkenaan apa pun mereka hendak lakukan terutamanya dalam soal dasar Islam harus mendapat restu DAP terlalu dahulu.

Selama ini pun kita sudah menyaksikan bagaimana DAP mahu menjadi 'taiko' apabila mereka bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas memerintah di Selangor dan Pulau Pinang.

Di Selangor, walaupun Menteri Besar adalah daripada PKR tetapi exco-exco daripada DAP dilihat jauh lebih berkuasa.

Ia jelas apabila terdapat tindakan-tindakan yang dilakukan tanpa mengambil kira apa pandangan Pas yang turut berada dalam kerajaan negeri.

Di Pulau Pinang tidak perlu dihebahkan lagi kerana semua orang dapat menyaksikan bagaimana cauvinisnya DAP mentadbir di negeri itu, segala-galanya mereka mahu kuasai dan semakin ramai orang Melayu di negeri itu berasa tertindas.

Wakil Pas yang berada dalam kerajaan negeri boleh dianggap hanya sekadar memenuhi kuota sahaja, suara mereka tidak begitu didengari.

Selain itu, apa yang perlu difahami DAP mengamalkan pendekatan politik yang cukup berbahaya kepada masa depan negara.

Politik perkauman yang digunakan oleh DAP seperti mana berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini sudah menjadi bukti bahawa DAP bergantung kepada pendekatan seumpama itu bagi meraih sokongan.

DAP berusaha meraih sokongan kaum Cina dengan mengapi-apikan mereka dari sudut perkauman.

Mereka memburuk-burukkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum Cina dengan melemparkan pelbagai tuduhan.

Semua tindak tanduk DAP ini sepatutnya menginsafkan Pas bahawa mereka hanya membuang masa berada di dalam pakatan.

Nasib Pas menjadi lebih buruk kerana PKR dilihat memihak kepada DAP berbanding Pas.

Sebab itulah seruan Perdana Menteri kepada Pas tidak boleh dipandang sepi, sebaliknya Pas perlu mengkaji dengan mendalam perkara berkenaan.

Ini bukanlah soal Pas hendak bergabung dengan BN atau tidak tetapi soal kita tidak mahu melihat Pas hanya menjadi mangsa buli kepada DAP selagi mereka berada dalam pakatan.

Jika Pas terlalu yakin bahawa DAP sudah berubah dan mampu menerima perjuangan Islam yang diketengahkan oleh parti itu, cubalah pemimpin-pemimpin Pas bercakap berhubung perkara berkenaan,.

Kita percaya jika itu berlaku, pemimpin-pemimpin DAP akan melenting dan bantahan mereka pasti akan mendapat sokongan pemimpin-pemimpin PKR yang talian hayat politik mereka bergantung kepada DAP.

Justeru sebagai orang Melayu, kita berharap kalau pun Pas begitu ingin berkuasa, janganlah terperangkap dengan mainan politik DAP kerana kesudahannya Pas sendiri yang akan rugi.

Apa yang lebih malang lagi, kerugian berkenaan bukan sahaja akan memberi kesan kepada parti itu sahaja tetapi juga orang Melayu keseluruhannya.

Ia kerana orang Melayu akan terus berpecah-belah akibat perbezaan fahaman politik. Tidak salah untuk Pas terus menjadi pembangkang tetapi jadilah pembangkang yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan DAP.

Melalui cara itu Pas akan lebih bebas untuk bercakap soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Pandangan ini diberikan kerana kita tidak mahu melihat sebuah parti yang memperjuangkan Islam hanya dilayan bagaikan melukut di tepi gantang oleh DAP.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]